20 Dis 2011

2 Maut Sekembali Daripada Hantar Jenazah

Maut hantar jenazah

RAUB: Dua lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Subang, Selangor, selepas menghantar jenazah ke Kuala Krai, Kelantan, terbunuh selepas van jenazah milik Masjid An-Nur Kampung Melayu, Subang, Selangor yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di kilometer 333, Jalan Raub-Lipis di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, pemandu van, Zaini Tamsir, 42, dan penumpang belakang, Saffii Sajat, 61, masing-masing dari Kampung Melayu, Subang, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Dua lagi penumpang iaitu anak Zaini, Zulhilmie, 15, yang duduk di kerusi penumpang depan, cedera ringan di telinga manakala penumpang belakang, Amran Sewa, 38, dari Jalan Merbau, kampung sama, patah tangan kanan.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Daerah, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata siasatan awal mendapati, ketika tiba di tempat kejadian Zaini dipercayai hilang kawalan menyebabkan van berkenaan terbabas ke kiri dan terbalik apabila termasuk ke dalam longkang.

Menurutnya, akibat kejadian itu, Zaini dan Saffii meninggal dunia di tempat kejadian manakala Zulhilmie dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Raub (HR).

Namun, Amran terpaksa ditahan di wad hospital berkenaan kerana patah tangan.

Katanya, seorang daripada mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Raub yang mengambil masa beberapa minit.

“Kami tidak menolak kemungkinan kemalangan dipercayai akibat pemandu mengantuk kerana ketika kejadian keadaan cuaca baik manakala permukaan jalan kering.

“Jenazah mangsa sudah dituntut keluarga selepas bedah siasat selesai dijalankan di HR, petang semalam,” katanya.

Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -hm


Ajal dalam van jenazah

RAUB – Van jenazah milik Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang terbabas selepas pemandu dipercayai hilang kawalan di kilometer 333 Jalan Raub, mengakibatkan dua lelaki maut dan dua lagi cedera parah.

Ketua Bahagian Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Raub, Cif Inspektor Mohd Nazlan Othman berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 11.30 pagi melibatkan mangsa yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Melayu Subang, Selangor, selepas selesai menghantar jenazah ke Kuala Krai, Kelantan.

“Mangsa solat subuh di Kuala Krai terlebih dahulu sebelum bertolak pulang selepas urusan penghantaran jenazah selamat disempurnakan.

“Pemandu van itu, Zaini Tamsir, 42, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian dan seorang penumpang kerusi belakang, Saffii Sajat, 61, juga meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Mohd Nazlan berkata, dua lagi mangsa cedera parah termasuk anak Zaini iaitu Zulhilmie, 15, yang duduk di kerusi penumpang bahagian hadapan dan penumpang kerusi belakang, Amran Sewa, 40-an, yang patah tangan kanan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital dan dua mayat mangsa juga dihantar ke Hospital Daerah Raub untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.

“Ketika kejadian cuaca cerah dan kemalangan mengakibatkan laluan trafik menjadi sesak untuk beberapa ketika sebelum berjaya dipulihkan pegawai keselamatan bertugas,” kata Mohd Nazlan. -SH


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Innalilillah .. ajalnya ditempat yg dia selalu berada. Kita?

Ku inginkan dalam keadaan sedang mengucap syahadah ketika solat .. PadaMu ku mengharap ya Allah.