4 Okt 2011

Kasihannya... Budak 3 Tahun Cedera Diserang Beruk

Lembah Beriah – Ketika sedang leka bermain, seorang kanak-kanak di sini, tiba-tiba diserang seekor beruk dipercayai milik jirannya dalam satu kejadian baru-baru ini.

Kejadian itu mengakibatkan Nurul Iman Abdullah, 3, cedera parah di bahagian belakang badan setelah di serang seekor beruk di halaman rumahnya di Penempatan Penduduk Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Beriah, Bukit Merah, di sini.

Datuknya, Rosli Adom, 45, berkata, beruk itu dikatakan berang dan mengamuk secara tiba-tiba sebelum menyerang cucunya yang leka bermain.

Menurutnya, beruk yang tidak ditambat itu telah menggigit bahagian belakang badan Nurul sehingga menyebabkan luka parah.

“Nurul kehilangan banyak darah dan hampir pengsan, saya segera membawanya ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, dia telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut berhubung kes itu supaya kejadian sama tidak berulang ke atas kanak-kanak lain.

Pemilik haiwan nafi dakwaan

Sementara itu, pemilik haiwan itu, Yahya Abdullah, 56, atau lebih dikenali sebagai Pakya Ular menafikan dakwaan yang mengatakan beruk yang menyerang anak jirannya itu adalah beruk peliharaannya.

Beliau yang juga pemain ular terkenal di daerah Kerian berkata, dia mempunyai dua ekor beruk betina yang telah didaftar dan diluluskan lesen pemeliharaannya

“Selain itu, kedua-dua beruk saya ini sentiasa di rantai di bawah pokok besar bersebelahan rumah.

“Cuma beberapa hari sebelum kejadian berlaku, beruk betina ini sering didekati oleh seekor beruk jantan liar yang mencari pasangan,” katanya.

Amaran tak diendah

Yahya berkata, sudah beberapa kali dia cuba menasihati dan memberi amaran kepada anak-anak jiran supaya jangan mengganggu beruk itu apatah lagi mendekatinya kerana khuatir beruk berkenaan akan bertindak agresif.

“Sebelum kejadian, saya sudah merancang membina sebuah perangkap khas bagi menangkap beruk jantan liar yang sering menghampiri beruk betina saya kerana khuatir menimbulkan kecederaan penduduk.

“Namun amaran saya tidak di endahkan kanak-kanak ini selain gemar melemparkan batu dan buah sawit ke arah beruk-beruk ini, padahnya mereka di serang,” katanya.

Berjaya tangkap beruk liar

Tambahnya turut bersimpati kerana ketika kejadian berlaku dia masih di Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan termasuk mencuci luka lama akibat dipatuk ular tedung selar kira-kira tiga minggu lalu.

“Selepas pulang saya dengar ada anak jiran diserang beruk jantan liar itu sehingga cedera parah dan pengsan di dalam kereta sebelum tiba di Hospital Taiping.

“Saya nekad menangkap beruk jantan liar ini supaya tidak ada lagi anak jiran yang dicederakannya,” katanya.

Katanya, kini beruk jantan itu sudah berjaya di perangkap dan di dalam simpanannya dengan harapan tiada lagi kes serangan beruk terjadi terhadap anak-anak jirannnya selepas ini.

Usaha Pakya patut dipuji

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Merah, Mohamad Nor Hassan berkata, sebelum ini Pakya tidak pernah melepaskan beruk peliharaannya yang digunakan untuk membantu memanjat pokok kelapa.

“Mengikut cerita, beruk jantan yang liar itu datang ke kawasan beruk betina peliharaan Pakya untuk mencari pasangan namun, bertindak agresif apabila mendapati kanak-kanak semakin galak membaling batu dan buah sawit ke arah pasangan beruk itu.

“Kita bersimpati ke atas nasib yang menimpa adik Nurul, bagaimanapun usaha Pakya menangkap beruk jantan yang liar itu perlu diberi pujian kerana dia sendiri terpaksa berhadapan dengan risiko diserang,” katanya.

Siasat kejadian diserang beruk

Manakala, Adun Semanggol, Ramli Tusin sempat meluangkan masa menziarahi adik Nurul yang cedera diserang beruk dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, 26 September lalu.

Ramli berkata, pihaknya berharap pihak terlibat menyiasat perkara itu dan jika perlu ambil tindakan kepada pemilik beruk berkenaan agar dapat menjadi peringatan untuk lebih berhati-hati termasuk menambat binatang peliharaan tersebut.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku lagi selepas ini dan berharap pemilik haiwan ini mengambil iktibar di atas apa yang telah berlaku,” katanya. -sh

3 ulasan:

Unknown berkata...

huih...kesiannya...luka dalam pulak tue..

Jom terjah sini:
1)Apabila Butang “Mute” Wujud Dalam Dunia Realiti
2)5 Manusia Paling Berat Di Dunia
3) Kena Kejar Sebab Mandi Bogel
4) Cerita Lawak Di Kedai Emas Habib Jewels

Awanama berkata...

Molek jugok... Kkecek hal2 beruk pulok... Boring doh dgr crito politik...

Terima kasih, bos..

Awanama berkata...

Kasihan .. Mudah2an adik tu cepat sembuh.

Dlm kes ni nak salahkan sapa tak tau le kita ye, sbb:

Yg bela beruk tu bukan suka2 bela, bantu dia utk mata pencariannya.

Kanak2 pula --> sbb namanya pun kanak2. Sehari dua mereka bulih patuh, tapi hari2 lain?

Beruk jantan? Tu mmg fitrah dia, mcm kita bela kucing le .. cukup tempuh mengiau le cari kucing betina .. tu yg kadang2 tuan empunyanya tertanya2 'mana kucing aku menghilang ni, tak balik2?'

Pening, pening..
Cuma yg bela ular, musang ke, tu aku rasa tak pekdah, lain le klu nak buat kajian mcm National Geog tu, dapat juga duit. Tapi kita org Islam ni, klu buat sesuatu yg tak menambah iman --> tu namanya sia2. Ape lagi, duit pun tak dapat. Berganda2 le sia2.