11 Sep 2011

Mohd Sabu Buat Laporan Polis Terima SMS Ugut Ahli Keluarganya Hendak Disimbah Asid

Kepala Batas: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu telah membuat laporan polis, mendakwa beliau dan ahli kerluarganya telah menerima pelbagai ugutan, ekoran laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia pada Ogos 27 berkenaan dengan insiden Bukit Kepong.Beliau membuat laporan tersebut di balai polis Kepala Batas jam 10.36 pagi semalam, lapor NST.

Di dalam laporannya, Mohamad mendakwa ketika beliau berada di rumahnya di Guar Petai, Tasek Gelugor jam 2 petang pada Ogos 27, selepas berita berkenaan diterbitkan, beliau telah menerima pelbagai ugutan dan ancaman dan telah dilabelkan sebagai seorang pro-komunis.

Salah satu ugutan dilaporkan datang melalui SMS dimana pengirimnya dikatakan mengugut untuk meyimbah asid kepada isteri dan anaknya.

Ayat dalam SMS yang didakwa mengancam keselamatan keluarganya itu berbunyi:

"Awak memang patut bertaubat. Cakap tanpa fakta... Awak pembohong, mulut celupar. Mungkin awak tak serik, jangan sampai ada masa akan (di)simbah asid ke atas isteri dan anak perempuan awak.

"Batalkan segala debat. Sejarah adalah fakta bukan untuk didebat. Yang pasti awak putar alam."


Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, ACP Zulkifli Alias megesahkan menerima laporan polis tersebut dan menyatakan siasatan sedang dilakukan.

Beliau berkata kes itu dikelaskan di bawah Seksyen 507 Kanun Kesiksaan kerana ancaman jenayah dari individu yang tidak dikenali.

Sebelum ini, di dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS Kuala Lumpur, Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan peguam terlebih dahulu dengan peguamnya Mohamed Hanipa Maidin sebelum membuat laporan polis, malaysiakini dipetik.

"Polis kalau orang lain buat laporan, cepat sangat ambil tindakan. Kalau Mat Sabu buat report. silap-silap dia kena tangkap.

"Itu yang kita tengah bincang nak buat report atau tidak," kata Mohamed Hanipa yang menyifatkan kandungan SMS itu mengandungi unsur jenayah tersebut.

Sementara itu, harakahdaily pula melaporkan Mohd Sabu akan memenyaman akhbar Utusan Malaysia Isnin ini.

"Masanya dah tiba saya saman Utusan Malaysia sampai bankrap sesuai dengan fitnah yang sengaja diatur untuk menjatuhkan maruah saya sekaligus bertujuan melumpuhkan pengaruh PAS bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal," jelas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Beliau ketika berucap di majlis mengutip dana Pondok Turith di Kampung Sekolah, Juru, Bukit Mertajam malam kelmarin menegaskan, masa yang diberikan kepada Utusan Malaysia selama 24 jam untuk menarik balik siaran muka depan ‘Mat Sabu hina pejuang' sudah berakhir dan saman akan bermula Isnin ini.

Katanya, semua maklumat telah pun diserahkan kepada peguam dan terserah kepada peguam beberapa tuntutan yang harus dikenakan selari dengan fitnah yang tidak henti-henti selama 15 hari berturut-turut.

Tambahnya, tindakan itu bukan untuk mencari kekayaan sebaliknya mahu pengamal media di negara ini bersikap adil dan telus dalam setiap penyiaran berita dan tidak mencipta cerita yang bukan-bukan semata-mata untuk mewujudkan prasangka yang tidak baik terhadapnya, PAS dan Pakatan Rakyat.

"Saya diluku sampai hari ini padahal ceramah saya dah lama dan banyak fakta yang direka merapu dan tak wujud.

“Saya tidak langsung diberikan peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar yang ada dalam TV, saya bercakap tak dak suara, macam itik," jelasnya disambut laungan Allahuakbar dan reformasi para hadirin.

Berceramah sama pada malam tadi ialah Pengarah Pilihan raya PAS Pulau Pinang, Rosidi Husain, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar dan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Amirudin Ahmat.

Tiada ulasan: