1 Sep 2011

Mandat BN Sudah Hampiri Garis Penamat

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengingatkan Datuk Seri Najib Razak mandat kerajaan pusat Barisan Nasional (BN) menghampiri garisan penamat dan mahu perdana menteri menunaikan pembaharuan dijanjikan secepat mungkin atau menghadapi tamparan pengundi pada pilihan raya umum ke-13.

BN mempunyai 19 bulan lagi sebelum mandatnya berakhir awal 2013.

Populariti Najib telah menjunam enam mata dalam kajian terbaru kendalian Merdeka Center baru-baru ini.

“Rakyat Malaysia mengibarkan bendera kebangsaan semalam tetapi mempunyai satu persoalan yang sama - ke mana anda pergi, Malaysia?” kata penasihat DAP ini dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim berkata, pemimpin-pemimpin komponen perikatan dalam perutusan Hari Kemerdekaan Ke-54 semalam menyeru rakyat Malaysia yang berlainan latar belakang agama dan kaum agar bersatu, bersikap sederhana dan bertolak ansur antara satu sama tetapi ia kelihatan diterima dengan hambar.

Ini kerana, menurut Lim, landskap nasional yang “pecah belah dan berbalah”, di samping ketidakupayaan Najib untuk memperlihatkan kepimpinan yang berkesan.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini menekankan, usaha-usaha yang tidak bertanggungjawab dan semberono cuba memecah belah negara mengikut garisan kaum dan agama.

Beliau memberikan contoh satu laporan menerusi saluran TV1 pada Ahad lalu - didakwa mengaitkan satu laman sosial Facebook menggalakkan murtad di kalangan Muslim dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Saluran milik kerajaan itu menyiarkan bahan berkaitan kumpulan Facebook “Murtads in Malaysia and Singapore” menerusi segmen berita perdana 8 malam mengaitkan pemimpin-pemimpin seperti Tan Kok Wai, Charles Santiago, Dr Boo Cheng Hau dan Ean Yong Hian Wah.

Malah, laporan itu mendakwa Presiden Parti Sosialis Malaysia Dr Nasir Hashim sebagai seorang penyokong kumpulan tersebut.

“Pembohongan menjadi hidangan utama disajikan oleh media arus perdana,” kata beliau dengan merujuk kepada liputan bahawa DAP mahu mewujudkan sebuah negara Kristian dan mahukan perdana menteri kalangan penganut Kristian atau kecaman terbaru bahawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengagungkan komunis dan tidak menganggap Datuk Onn Jaafar dan Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.

Katanya, usaha-usaha sedemikian tidak membantu dalam menyatupadukan rakyat Malaysia, tetapi mewujudkan persekitaran sebaliknya.

Lim menegaskan bahawa jika Najib serius dan jujur sebagai perdana menteri bagi semua rakyat, maka beliau seharusnya menyediakan kepimpinan, bukan slogan-slogan kosong.

“Perhimpunan Bersih 9 Julai yang berjaya adalah bukti, jika Najib dan mereka dalam kuasa enggan bertindak, maka rakyat Malaysia sama ada orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau Orang Asli, sama ada yang beragama Islam, Buddha, Kristian, Hindu, pengikut Taoisme, Konfucius atau Sikh bersedia untuk bersatu bertindak menyelamatkan Malaysia,” kata Lim lagi.

Bersih 2.0 menuntut pembaharuan pilihan raya dengan mengemukakan lapan tuntutan sebelum pilihan raya umum ke-13.

Awal bulan lalu, Najib mengumumkan pembentukan sebuah jawatankuasa pilihan khas untuk mengkaji pembaharuan pilihan raya.

2 ulasan:

rakab berkata...

Lim kit siang desak PM percepatkan pembaharuan sebelum PRU 13 !!

Nampaknya Dap lebih percayakan Najib dan BN untuk menguruskan negara dari pemimpin Pas !!!.

Pas cuma jadi alat untuk Dap tambah undi saja !!.

ketuananCukong berkata...

setuju dgn LIM kiat siang,malaysia bukan negara yg mengamalkan politik terbuka,tapi politik perbalahan (politik of fears)yg memisahkan kaum dan agama,disamping media2 yang mengapikan isu agama dan kaum, satu fakta yang menonjolkan malaysia sbg sebuah negara yang terkebelakang dlm amalam demokrasi.