25 Ogo 2011

Tak Ramai Pemimpin Mahu Terima Nasihat Ulama, Tak Ramai Ulama Berani Menasihat Pemimpin

Tak Ramai Pemimpin Mahu Terima Nasihat Ulama

SHAH ALAM 24 OGOS : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria memberitahu beliau pernah berhasrat untuk bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menasihati perdana menteri keempat itu agar tidak memecat dan mengenakan tuduhan liwat ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia "mampu memecahbelahkan Melayu".

“Banyak perkara saya minta, Dr Mahathir tidak lakukan, (ada juga) yang beliau dengar dan lakukan (mengikut) nasihat saya, tetapi ada tiga perkara beliau tidak melakukannya. Yang pertama bila nak pecat Anwar, saya nasihat agar jangan bertindak demikian (kerana) pengaruh Anwar bukan sikit dan ini mampu memecah belahkan Melayu.

"Bila nak buat tuduhan liwat, saya kata kalau nak pecat Anwar (dari timbalan perdana menteri dan menteri kewangan) buat rombakan kabinet, letak di kementerian lain... tapi saya tidak dibenarkan jumpa perdana menteri,”ujar Harussani.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian siri ke 6 yang bertajuk 'Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti?' di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Anwar dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.

Sejak kejadian itu, karier politik Anwar terus dihujani dengan pelbagai fitnah termasuk salahguna kuasa dan serangan moral.

Dalam pada itu, Harussani juga turut mendedahkan, dalam usaha untuk memastikan perpaduan Melayu-Islam, beliau juga pernah mengingatkan kepada Datuk Seri Najib Razak tentang kerajaan yang "lemah, tidak amanah dan rasuah".

"Saya kata pada Najib, Datuk Seri, perpecahan Melayu sebab kerajaan cukup lemah, tak amanah dan rasuah," kata Harussani.

Perkara tersebut didedahkan oleh Harussani bagi mengulas peri pentingnya peranan para ulama dalam menegur dan memberi pandangan kepada pemimpin dalam urus tadbir sesebuah negara.

Ujarnya, sejak dahulu lagi beliau sering mengambil pendekatan sama iaitu menegur pemimpin utama negara termasuk pada zaman Tun Razak Hussein lagi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas secara terperinci tentang teguran-teguran yang dibuatnya. -tvsnews




Ulama Bukan Tempat Dapatkan Pengesahan Semata-Mata- Tuan Ibrahim

SHAH ALAM 24 OGOS : Tugas para ulama adalah untuk membimbing dan memandu umat Islam dalam masalah-masalah agama dan bukannya sebagai tempat pengesahan kepada sesuatu perkara yang telah diputuskan oleh satu-satu pihak, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bercakap pada wacana anjuran Karangkraf, Ulama Politik Untuk Dakwah Atau Parti di sini hari ini, Tuan Ibrahim berkata, hakikatnya kini, peranan ulama semakin dinafikan di negara ini.

"Ulama yang duduk di bawah parti bukanlah menumpang untuk sahkan apa yang pemimpin kita buat tetapi ulama memandu pemimpin supaya pemimpin melakukan sesuatu yang betul mengikut syarak, bukan dia buat kemudian pandangan kita dicari nas untuk mengesahkan apa yang dia buat. Itu berbeza,"kata Tuan Ibrahim.

Para panelis yang terlibat dalam wacana ini ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan ulama muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya.

Manakala moderator yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan wacana pada hari ini ialah bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam hujahnya mengenai benarkan golongan ulama yang menyertai politik lebih mengutamakan parti hingga sanggup mengenepikan dakwah, Tuan Ibrahim memberikan beberapa situasi.

Antaranya ialah bagaimana ulama pro-pemerintah hanya diperlukan oleh pemimpin untuk mengesahkan sesuatu keadaan dan bukannya meminta nasihat dan bimbingan untuk perkara yang berkaitan dari aspek agama terlebih dahulu.

Ia termasuklah dalam kes membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keperluan beliau menjawab balik sumpah laknat yang telah dilakukan oleh Datuk Shazryl Eskay Abdullah, di mana kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional mempergunakan kepentingan agama untuk 'mengiakan' tindak-tanduk mereka.

"Kalau pemimpin baik, rakyat akan menjadi baik dan di sinilah kepentingan para ulama mengikut amanah dan tanggungjawab dengan tidak melanggar syarak. Jadi sejauh mana kita boleh memandu kalau kita duduk pun pengiktirafan tidak ada?,"katanya lagi.

Menjelaskan dengan lebih lanjut di hadapan kira-kira 500 hadirin, Tuan Ibrahim berkata, jika ilmu yang diperoleh dikhianati dengan tidak menyampaikan secara tepat dan sahih akan sesuatu perkara itu, dikhuatiri ianya akan memusnahkan generasi itu sendiri.

Oleh itu Tuan Ibrahim mengharapkan, para ulama memahami konteks dakwah dan politik itu dengan jelas supaya dapat memperbetulkan kepincangan dalam tampuk
pemerintahan negara dahulu.




Ulasan GB

Di negara kita, apa yang kita lihat ialah kedua-duanya berlaku iaitu tidak ramai pemimpin mahu mendengar nasihat ulama dan tidak ramai ulama yang mahu menasihati pemimpin.

Islam memandang tinggi kedudukan ulama tetapi dengan syarat mereka melaksanakan tuntuta ilmu yang benar yang mereka miliki.

Sebagai ulama yang benar, menjadi kewajipan mereka menyatakan sesuatu yang benar, menegur dan menyatakan kemungkaran. Kalau sekadar menegur pun tak berani kerana takut kedudukan tergugat, bagaimana masyarakat Islam dapat mengharapkan ulama untuk membuat sesuatu perubahan atau kebaikan.

Di dalam satu hadith Rasulullah s.a.w. menyatakan:

Umara (pemimpin) yang baik ialah umara yang datang menemui ulama dan ulama yang uruk (jahat) ialah ulama yang datang ke pintu-pintu umara.

4 ulasan:

Khairi berkata...

Mufti nasihat jangan pecat kerana pengaruh Anwar bukan sikit dan mampu memecah belahkan Melayu - ini satu nasihat yang tak betul, sebab pengaruh kuat maka tak patut buang, yang kita tekankan, ikut undang-undang dunia, seseorang tak bersalah kecuali dibuktikan dlm mahkamah, ini belum mahkamah putuskan, sudah buat keputusan. Dah lah perbicaraan penuh kebodohan yg menjadi bahan lawak dunia, ini yg kita tekankan, DSAI telah dihukum dgn penuh kezaliman dan ketidak adilan, soal pecah belah dsb, itu kalau terbukti pemimpin itu melakukan kesalahan, mesti hukum, jgn rakyat mcm kami saja yang dihukum, kalaulah terbukti bersalah.Sepatutnya mufti nasihatkan mereka yg menuduh akan bahaya dan azab menanti mereka diakhirat seandainya mereka mengada-adakan sesuatu tuduhan demi survival politik mereka yang sementara ini. Ingatkan mereka, usahlah jual akhirat kerana dunia yang kemewahannya terlampau sedikit. Sudah nasihat? Saya yakin, mufti telah lakukan, tapi perlulah disyarahkan kepada rakyat semua, jangan diam, bisu, nanti rakyat yang cetek ilmu agama ini akan bertambah jahil. Bila lagi mahu bangkit?

aien berkata...

ade video record tak?nk tgok full version
thanks

Tanpa Nama berkata...

Patutnya Mufti Perak ni tanya Mahathir Kutty sama ada sudah sedia dengan 4 saksi,ikut undang-undang Islam dan beri tau Kutty tu apa akibatnya tuduh liwat kalau tak ada 4 saksi.Bukan sebab perpecahan Melayu.Ini ulamak apa ni?

hussin berkata...

"ulama memandu pemimpin supaya pemimpin melakukan sesuatu yang betul mengikut syarak" - tn ibrahim

ini memperkukuhkan bahawa 'kepimpinan ulama' sudah cukup dengan 'majlis syura ulama' yang berfungsi seperti di atas. tidak salah ulama memimpin tetapi dia kena kuasai ilmu politik semantap ilmu agama yang ada padanya. jika tidak, ia akan jadi seperti seorang pakar nuklear yang kurang ilmu politik.

"tidak ramai pemimpin mahu mendengar nasihat ulama dan tidak ramai ulama yang mahu menasihati pemimpin" - gb

ini hanya berlaku dengan negara sekular!

"ulama politik - untuk dakwah atau parti?"

tajuk ini pun dilihat sudah tersasar. "ulama politik", dari kitab mana karangan siapa? disambung pula dengan "untuk dakwah atau parti'? kenapa sanggup merendahkan martabat ulama?

wallahu'alam