16 Ogo 2011

BERS✔H Tuntut Lakukan Pembaharuan Total, Syor Panel Perlu Didedahkan Kepada Umum

Bersih 2.0 menyambut baik langkah pentadbiran Najib yang bersedia membentuk sebuah jawatankuasa pemilih bagi menghalusi sistem pilihan raya tetapi menekankan syor-syor panel itu seharusnya diumumkan kepada publik.

Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan (gambar) menekankan bahawa kesemua lapan tuntutan yang dibawa gabungan itu seharusnya diambil kira, malah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan publik seharusnya terlibat dalam keseluruhan proses kajian semula.

“Ya, sudah pasti kami mengalu-alukan langkah ini. Tidak ragu-ragu satu langkah dalam hala tuju yang betul dan satu respons yang positif kepada aspirasi rakyat,” katanya.

“Kami berharap pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan akan terlibat dalam proses ini dan kesemua lapan tuntutan akan menerima perhatian sebelum pilihan raya umum ke-13,” kata Ambiga kepada The Malaysian Insider.

“Kami bersedia untuk membantu,” kata bekas presiden Majlis Peguam ini.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, syor-syor akhir jawatankuasa pemilih ini seharusnya merangkumi maklum balas dan pandangan daripada orang ramai.

Malah tadi, Maria memberitahu The Malaysian Insider bahawa kerajaan seharusnya mempertimbangkan pandangan rakyat Malaysia sebelum membuat keputusan mengenai syor-syor mengenai sistem pilihan raya.

“Bersih 2.0 menyambut baik jawatankuasa pemilih Parlimen tetapi kami mahukan ketelusan sepenuhnya dalam proses ini,” kata beliau.

“Perlu ada perundingan melibatkan orang ramai,” katanya lagi.

Maria berkata Bersih 2.0 akan memberikan jawatankuasa itu tiga bulan untuk bertemu, berbincang dan menyediakan laporannya.

“Kami mahukan jaminan kerajaan bahawa ia akan melaksanakan pembaharuan,” kata beliau lagi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa pemilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Perdana Menteri berkata jawatankuasa berkenaan yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.



Reformasi Praya : Kerajaan Tubuh JK Khas Parlimen

Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas parlimen bagi mengkaji cadangan-cadangan bagi mengadakan reformasi dalam sistem pilihan raya negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, jawatankuasa itu bakal dianggotai wakil daripada parti kerajaan dan pembangkang.

"Ia akan ditubuhkan dalam masa terdekat. Kita akan bincang segala reformasi pilihan raya supaya tidak ada pihak lagi syak wasangka terdapat manipulasi kerajaan,"katanya dipetik dari portal Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut butiran terperinci berhubung cadangan awal itu.

Tindakan Najib itu sebahagiannya dilihat ekoran desakan berterusan reformasi pilihan raya yang mencapai kemuncaknnya melalui perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Tidak cukup dengan itu, kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diasak teruk oleh pembangkang, terutamanya PAS yang hampir setiap hari mendedahkan apa yang didakwanya sebagai kepincangan dalam daftar pemilih.

Berucap dalam majlis berbuka puasa dengan media di Wisma Bernama di ibu negara semalam, Najib menegaskan sekali lagi bahawa beliau berharap berjaya dalam pilihan raya melalui sistem yang bersih.

"Seperti yang sering saya sebut, hari ini saya ulang sekali lagi, saya dan jemaah menteri tidak rela menjadi perdana menteri dan menteri tanpa sokongan rakyat.

"Jadi, jangan ada yang salah anggap kita tak ingin proses pilihan raya yang bersih," katanya di hadapan kira-kira beberapa ratus petugas media.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu memberikan rakyat peluang memilih pihak yang mereka suka tidak kira daripada parti mana.

"Saya serahkan nasib kepada rakyat. Kalau untuk sabut timbul, kalau untuk batu tenggelam," katanya.




Ulasan GB

Keputusan mutakhir Putrajaya membentuk Jawatankuasa Reformasi Pilihanraya adalah bukti bahawa tiada yang lebih berkuasa selain Allah s.w.t.

Walaupun SPR sebelum ini bekerja begitu keras untuk menyebelahi UMNO BN, namun apabila kita berdoa dan yakin dengan kuasa Allah s.w.t., maka Dia akan mendengar rayuan dan keluhan kita.

Kita akan terus memperbanyakkan mengingati Dia dan berdoa...
Marilah sama-sama kita berdoa lagi...


اللهُمَّ أَرِنَا الحَقَّ حَقّاً وَارْزُقْنَا التِبَاعَةَ
وَأَرِنَا البَاطِلَ بَاطِلاً وَارْزُقْنَااجْتِنَابَهُ

1) Allahumma arinaal haqqa haqqaan, warzuqnattiba’ah,
wa arinaal bathila bathilaan, warzuqnajtinaabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang haq itu sebagai haq, dan kurniakanlah kami kekuatan utk mengikutinya, dan tunjukkanlah yg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya.

رَّبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ
وَاجْعَل لِّي مِن لَّدُنكَ سُلْطَاناً نَّصِيراً
وَقُلْ جَاء الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقاً

2) Rabbi adkhilni mudkhala sidqin wa akhrijni mukhraja sidqin waj'alli min ladunka sulthanan nashiran wa qul ja alhaqqu wa zawaqal bathil innal bathila kaana zahuuqa

Ya Allah, masukkanlah kami dengan cara yang benar dan keluarkanlah(pula) kami dengan cara yang benar dan berikanlah kepada kami dari sisi-Mu kekuasaan yang menolong. Dan katakanlah yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.

Kebenaran tetap akan menang mengalahkan kebatilan.

Ulasan GB sebelum ini

Khuatir Kemunculan BERSIH 3.0, Akhirnya Najib Umum JK Reformasi Pilihanraya

Petikan:

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh JK Reformasi Pilihanraya yang bakal dibentuk oleh Putrajaya ialah MENGGANTUNG TUGAS PENGERUSI, TIMBALAN PENGERUSI DAN SETIAUSAHA SURUHANJAYA PILIHANRAYA (SPR).

Siasatan rapi MESTI dilakukan terhadap mereka dan juga perjalanan SPR sebelum ini.

Daftar Pemilih yang terbukti "kotor" setiap hari hendaklah disiasat rapi dan dibersihkan.

Penubuhan kem wataniah setiap parlimen juga tidak boleh dibiar terlepas dari siasatan. Apakah tujuan sebenar penubuhannya dan apakah nama para askar wataniah itu termasuk di dalam senarai daftar pemilih setiap parlimen dengan menggunakan nombor pengenalan yang berasingan.

Pembebasan agensi-agensi kerajaan ermasuk PDRM, SPRM, Jabatan Penerangan, JKR dan seumpamanya daripada diperkudakan oleh UMNO BN selama ini hendaklah dihentikan. Pegawai-pegawai yang didadapi melanggar etika pekerjaan seperti kes Gurubesar di Johor yang terang-terang berkempen untuk UMNO sewaktu pilihanraya kecil DUN Tenang hendaklah diambil tindakan.

Pengumuman projek-projek mee segera terutama oleh kerajaan pusat untuk sesuatu kawasan pilihanraya juga perlu dihentikan.

Semua pesalah hendaklah diheret ke muka pengadilan.

Semua 8 tuntutan BERSIH 2.0 hendaklah dilaksanakan.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perangkap untuk PR.

Khairi berkata...

Kesemua tuntutan Bersih 2.0 MESTI diambil kira. Kita bukan minta sesuatu yang salah, ini adalah hak setiap rakyat Malaysia, kalau orang lain boleh undi 2 kali,setiap kita juga mesti diberi hak undi 2 kali. SPR & BN sudah tidak relevan, teruskan rakyat dengan agenda perubahan kearah Malaysia yang lebih sejahtera & adil.