6 Jul 2011

TGNA: Kebangkitan & Kesedaran Rakyat Sudah Sampai ke Kemuncaknya

Walaupun di stadium Bersih 2.0 akan dapat sokongan, kata Nik Aziz

KUALA LUMPUR, 5 Julai — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat percaya Himpunan Bersih 2.0 Sabtu ini akan tetap mendapat sokongan rakyat walaupun terpaksa diadakan di stadium.

Menteri Besar Kelantan berkata Himpunan Bersih 2.0 akan menjadi manifestasi kepada kebangkitan rakyat yang menentang segala penyelewengan dan permainan “politik jahat” Umno-Barisan Nasional (BN).

Walau di mana pun Himpunan Bersih 2.0 diadakan pada 9 Julai ini, saya penuh yakin bahawa ia tetap merupakan manifestasi kebangkitan rakyat yang menentang segala tipu daya dan permainan politik jahat Umno-BN.

“Saya yakin Yang di-Pertuan Agong (Tunku Mizan Zainal Abidin) selaku payung rakyat jelata tentu akan bertindak untuk kebaikan seluruh rakyat
,” kata Nik Aziz dalam laman Facebook.


Tegas Nik Aziz, ekoran pendirian terbaru Yang di-Pertuan Agong dalam isu Himpunan Bersih 2.0, beliau yakin Umno-BN tidak lagi “mempunyai kuasa” untuk mempergunakan institusi diraja demi kepentingan politik.

“Umno-BN tidak usah berharap untuk mempergunakan instituti beraja untuk mempertahankan mereka.

“Segala usaha mereka untuk menudung segala penyelewengan sistem pilihan raya tidak akan berjaya kerana kebangkitan dan kesedaran rakyat sudah sampai ke kemuncaknya,” katanya.

Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (Bersih) hari ini bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk mengadakan Himpunan Bersih 2.0 pada Sabtu ini di stadium.

Menurut Pengerusi Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreevanesan, keputusan itu dibuat selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata pihaknya bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan Bersih 2.0 bagi membincangkan lokasi yang sesuai — sebuah stadium — bagi perhimpunan Sabtu ini tetapi menegaskan tawaran itu adalah bersyarat.

Kelmarin Yang di-Pertuan Agong bertitah agar setiap permasalahan yang timbul — dalam isu semasa merujuk kepada tuntutan Bersih 2.0 diselesaikan secara rundingan dan tidak mengikut perasaan.

Baginda juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan secara adil dan bijaksana.

Selain itu pemimpin Pakatan Rakyat secara sepakat menerima tawaran mengadakan Himpunan Bersih 2.0 di stadium. -TMI



Gambarkan himpunan Bersih 2.0 ganas, strategi kuno

KUALA LUMPUR, 5 Julai: Tindakan kerajaan Umno BN cuba menggambarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai ganas adalah strategi kuno dan lapuk, kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sambil menyelar tindakan itu, beliau turut mengecam tindakan pemimpin Umno BN yang dakwanya berselindung di sebalik pihak keselamatan untuk mengekalkan kuasa politik mereka.

"Provokasi demi provokasi yang ditimbulkan saban hari di media cetak arus perdana dan televisyen, untuk memberi gambaran bahawa perhimpunan aman Bersih 2.0 akan bertindak ganas dan sebagainya.

"Kami ingin memperingatkan mereka bahawa strategi kuno sebegini sudah lapuk dan tidak akan berjaya memenjarakan fikiran rakyat yang sudah merdeka pada zaman ini,"
katanya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap beberapa siri tangkapan dan juga penemuan terbaru polis yang mengaitkan Bersih 2.0 sebagai himpunan ganas.

Ianya termasuk rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang semalam antaranya 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T dengan logo BERSIH.

Semuanya dirampas semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu di sekitar kawasan pusat membeli belah Sogo, Wisma Bumi Raya dan Komplek Pertama.

Tidak cukup dengan itu, beberapa siri tangkapan termasuk anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sedang menyebarkan risalah Bersih dan maklumat kepincangan negara dibawah BN kepada rakyat Johor, juga cuba dikatkan dengan Komunis.

Antaranya ahli parlimen Sungai Siput Dr D Michael Jeyakumar dan lima anggota PSM lain yang ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat (EO).

Mengulas siri tangkapan terhadap pemimpin dan penyokong Bersih itu, presiden PAS itu mendakwa ia bukti kegelabahan Barisan Nasional yang tidak bijaksana dan semakin tidak waras dalam menangani isu.

"Dengan ini PAS mendesak pihak yang berkenaan supaya membebaskan rakyat yang sudah menjadi mangsa di tahan akibat dari tindakan rakus kerajaan pimpinan BN ini," katanya lagi.


Himpunan Bersih 2.0 ujarnya adalah untuk mendesak dibersihkan pilihanraya yang kotor, bukan himpunan untuk menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi.

Tambahnya, sememangnya sudah sekian lama Pakatan Rakyat berusaha untuk menumbangkan Barisan Nasional yang melakukan kerosakan dalam negara, dan ia bukan lagi suatu yang rahsia.

Tetapi Barisan Nasional berlagak seperti negara ini milik peribadi mereka, merasa kebal dan tidak sedia untuk kalah sehingga memperalatkan berbagai agensi kerajaan untuk kepentingan mereka.

"Kerajaan Barisan Nasional sangat mundur amalan demokrasinya, berjiwa kecil, jauh mundur berbanding negara-negara maju yang membuka pintu demokrasi seadil-adilnya.

"Di Australia, seorang Perdana Menteri yang kalah dalam pemilihan partinya, sedia duduk dibawah Perdana Menteri yang baru dengan menjawat jawatan Menteri Luar sahaja. Ini kerana mereka meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukannya jawatan untuk kepentingan dunia dan peribadi.

"Sebaliknya Barisan Nasional merasakan kerajaan ini milik mereka selama-lamanya, sehingga tidak sedia untuk kalah dan diganti dengan kerajaan yang baru.

Sehubungan itu beliau turut mengingatkan Umno BN agar sedia berundur secara terhormat, sebelum jatuh dalam kehinaan dan membebaskan SPR dan jabatan-jabatan kerajaan daripada diseleweng.

"PAS menyokong sebarang usaha memulihkan demokrasi dan menggunakan pilihanraya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan," tegasnya. -HD


Tiada ulasan: