7 Jul 2011

Kes Sosilawati: Cek RM1 Juta Tapi Tulisan Atas Cek Macam Kanak-kanak

Sosilawati tunjuk cek RM1 juta diterima dari Pathmanabhan

Sahabat karib Sosilawati, Junaidah Ismail, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, cek itu ditunjukkan kepadanya selepas Sosilawati berjumpa dengan Pathmanabhan.

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya pernah menunjukkan cek bernilai RM1 juta yang diterimanya daripada bekas peguam N. Pathmanabhan di Banting awal Ogos lepas.

Sahabat karib Sosilawati, Junaidah Ismail, 52, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, cek itu ditunjukkan kepadanya selepas sahabat karibnya itu berjumpa dengan Pathmanabhan, yang merupakan antara yang didakwa membunuh Sosilawati dan tiga lagi, di hadapan pejabat bekas peguam itu yang terletak berhadapan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada 3 Ogos 2010.

Junaidah yang merupakan saksi ke 13 berkata demikian pada hari ketiga perbicaraan kes Pathmanabhan dan tiga pekerja ladang, T.Thilaiyagan, R.Matan dan R.Khatavarayan yang didakwa membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.40 malam pada 30 Ogos 2010.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyagan, 20, Matan, 21, dan Khatavarayan, 31, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

“Wati (Sosilawati) suruh saya tengok dan berkata “aku dapat payment” dan semasa saya nak pulangkan cek itu semula kepadanya saya nampak cek itu cek tunda,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

“Saya tanya kenapa tarikh September sedangkan ini bulan Ogos tetapi dia (Sosilawati) kata tidak apa, sebab mereka dah bincang sebelum ini. Cek itu adalah atas nama Southern Symphony Sdn Bhd ,” katanya.

Junaidah yang mengenali Sosilawati sejak 28 tahun lepas berkata beliau juga mentertawakan tulisan di atas cek tersebut yang dilihat seperti tulisan kanak-kanak sedangkan cek itu bernilai RM1 juta.

‘Tulisan macam kanak-kanak’

“Saya tanya kenapa tulisan macam kanak-kanak dan Sosilawati kata ‘alah Kak Jun ni’,” katanya.

Terdahulu, Junaidah berkata beliau dan Sosilawati semasa dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang menaiki kereta milik jutawan kosmetik itu yang dipandu Kamaruddin bagi meraikan ulang tahun kelahiran Junaidah, mereka telah singgah di pejabat Pathmanabhan.

Semasa mereka sampai di pejabat bekas peguam itu pada kira-kira pukul 5.30 petang 3 Ogos 2010, Pathmanabhan memaklumkan bahawa beliau di dalam perjalanan ke pejabatnya.

“Kami tunggu dia di hadapan pejabat Pathma di dalam kereta. Pathma sampai kira-kira setengah jam kemudian dan Sosilawati turun kereta serta ambil satu barang daripada Pathma sebelum masuk semula ke dalam kereta. Pertemuan mereka sekejap kira-kira lima minit dan ada perbualan antara mereka,” katanya.

“Saya nampak Pathma datang dengan kereta sport Mercedes yang saya rasa Brabus. Selepas masuk dalam kereta, Sosilawati serah cek pada saya suruh saya tengok. Selepas itu kami terus ke Pelabuhan Klang untuk sambut ‘birthday’ saya selepas Maghrib. Perbualan kami selepas itu hanya bersangkut paut dengan bagaimana nak sambut puasa dan Hari Raya,” katanya sambil menambah itu adalah kali terakhir beliau menemui Sosilawati.

Menjawab soalan Idham sama ada itu mereka pertemuan pertamanya dengan Pathmanabhan, Junaidah kata “Tidak”.

Urusan tanah

“Kali pertama kira-kira tiga tahun lepas semasa Sosilawati pernah ajak saya berjumpa dengan kawan-kawannya Datuk Suhaimi dan Sabri serta peguam mereka bernama Pathma di Hotel Pan Pacific, Sepang. Saya ada di situ tetapi tidak fokus sangat dengan perbualan mereka tetapi mereka bincang tentang urusan tanah di Pulau Pinang,” kata Junaidah.

Menyentuh mengenai kekerapan beliau menemani Sosilawati berjumpa dengan Pathmanabhan, Junaidah berkata kira-kira tiga atau empat kali.

“Selepas 3 Ogos 2010, ada terima apa-apa panggilan daripada Sosilawati atau awak hubungi dia?” soal Idham.

“Sosilawati selalu telefon dan pada 29 Ogos 2010 dia ada telefon bertanya khabar serta sembang banyak pasal persiapan Hari Raya. Lepas itu dia tanya saya nak ikut tak pergi Banting besok (30 Ogos 2010) dan saya cakap saya nak rehat di rumah. Dia (Sosilawati) tidak beritahu tujuan dia ke Banting dan itulah juga panggilan terakhir daripadanya,” kata Junaidah.

Ketika dicadangkan oleh peguam Manjeet Singh Dhillon yang mewakili Pathmanabhan bahawa hubungan antara Sosilawati dan Kamaruddin bukan hanya setakat majikan dan pemandu tetapi lebih daripada itu, saksi itu menjawab beliau tidak tahu.

Junaidah juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan bahawa punca keretakan rumah tangga Sosilawati dengan bekas suaminya, penyanyi yang dikenali sebagai Nash adalah disebabkan jutawan kosmetik itu rapat dengan pemandunya.

“Mereka (Sosilawati dan Nash) tidak sependapat, mereka selalu bergaduh,” katanya.

Saksi ke-12 pendakwaan, V. Selvapandian, 46, pemandu van sekolah, dalam keterangannya berkata anak saudaranya yang bernama Suresh ada memberi seutas jam tangan kepadanya pada Ogos 2010 setelah diminta oleh tertuduh keempat.

Bagaimanapun, Selvapandian berkata beliau tidak diberitahu dari mana Suresh mendapat jam tangan itu dan ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff untuk mengenal pasti jam tangan itu, saksi tersebut gagal berbuat demikian.

Jam tangan jenama ‘Longines’ yang dirujuk Ishak adalah milik Noorhisham dan ia telah dicamkan oleh isterinya, Suzana Radin Pangat pada perbicaraan semalam. - Bernama

2 ulasan:

facepu berkata...

dia nak kata sapa tulis xtaw...

TERKINI!!:
10 SENJATA PERANG ZAMAN SILAM!!
LOKASI BERSIH 2.0 DIDEDAHKAN!!

Putra IJ80 berkata...

Crte nie panjang lagi berjela jela,

Smpai kita jemu membaca nya,

Dan....kita mula lupa.

Fatwa Mahafiaun.

Yg.mungkin ada kebenaranya.

jgn maree.