31 Jul 2011

Dr. Dzulkefly: Najib Liabiliti Besar Buat UMNO

Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS menyifatkan Datuk Seri Najib Razak sudah menjadi “liabiliti paling besar” kepada Umno, menjelang pilihan raya umum ke-13 berikutan kegagalan perdana menteri dalam menangani beberapa isu penting termasuk Bersih 2.0 dan penahanan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) di bawah Ordinan Darurat.

Justeru menurut Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat ini, Najib kini terpaksa mencari “talian hayat” dengan menggunakan apa sahaja cara untuk terus kekal berkuasa.

“Mengapa Umno terpaksa singkirkan Najib? Sebabnya banyak dan terus menonjol. Pendeknya, Najib telah menjadi liabiliti paling besar buat Umno di ambang pilihan raya umum ke-13 ini.

“Beliau (Najib) telah menjadi seumpama Tun (Abdullah Ahmad Badawi) cuma dalam masa yang jauh lebih singkat, bagi sebuah parti yang penting ialah survival atau kesinambungan hidup parti untuk terus berkuasa,” katanya dalam tulisan terbaru beliau.

Beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun memerintah negara Najib telah melakukan banyak perkara untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat, namun ia ternyata satu usaha yang sia-sia.

“Tempoh tiga tahun ini menyaksikan Najib berusaha keras membuktikan bahawa beliau punya wibawa dan wawasan. Beliau tidak lengah untuk meyakinkan rakyat dan pengundi, malah beliau telah cuba buktikan bahawa beliau peka kepada soalan pandangan awam sehingga sanggup mengungkapkankan bahawa era kerajaan tahu semua telah berlalu.

“Ketika itu kononnya beliau sanggup mendengar rakyat. Najib cuba perbaiki imej partinya yang tercalar kerana terlalu angkuh dengan mantranya ‘Rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan’, kesemua itu adalah cubaan gigih Najib untuk baik pulih persepsi (rakyat) terhadap partinya,”
katanya sambil menambah, Najib juga cuba mendekati rakyat melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Kata Ahli Parlimen Kuala Selangor ini, kegagalan Najib menangani isu-isu agama dan penyelewengan yang berlaku membuktikan anak kepada perdana menteri kedua itu adalah seorang pemimpin yang tidak tegas dalam menguruskan negara.

“Pelbagai pergolakan politik nasional, pertentangan agama dan pertelingkahan atas garis ras atau kaum, kemelut rasuah, ketirisan serta ketirisan dalam pengurusan kewangan dan pembangunan negara, semua menyerlahkan kepemimpinan Najib sebenarnya... beliau seharusnya sedar, tetapi beliau tidak begitu, beliau semacam dirasuk sindrom penafian.

“Beliau tidak mempunyai jati diri politik yang wajar disanjungi seumpama bapanya, seorang negarawan sebaliknya kata-kata tidak cermat seperti ‘you help me, I help u (anda tolong saya, saya tolong anda)’, beliau sinonim dengan tabiat ‘flip-flop’, satu ciri yang tidak membuktikan ketegasan kerana beliau hanya mahu sokongan semua,” katanya.

Menurut Dzulkefly, Najib kini berhadapan dengan pelbagai cabaran getir termasuk mendapatkan semula keyakinan dan kepercayaan ahli parti Melayu terbesar itu.

Tambah beliau, gesaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) agar transformasi sistem pilihan raya dilaksanakan menyerlahkan lagi kepimpinan buruk Najib.

“Kini rakyat dan pengundi yang mengalami pencerahaan minda dan kemerdekaan jiwa serta punya keberanian menyatakan segala yang salah yang dilakukan orang politik dan parti-parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

“Najib gagal mendepani tuntutan dan melayani desakan masyarakat sivil sekaligus meletakkan persepsi negatif terhadap diri dan kerajaannya yang semacam mahu terus melindungi yang kotor dalam sistem pilihan raya,” katanya.

Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya menguasai Selangor, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Perak namun Perak kemudian jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) awal 2009.

Selain itu, Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP berjaya menafikan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat.

Kelmarin polis telah membebaskan enam pemimpin PSM termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar yang ditahan selama 28 hari sejak 2 Julai lalu tanpa sebarang syarat. -TMI


Usia Najib sebagai PM bakal berakhir?

SHAH ALAM, 31 Julai: Perkembangan politik yang berlaku mutakhir menampakkan usia Najib sebagai Perdana Menteri dari BN bakal berakhir dalam masa terdekat.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, antara faktor paling ketara adalah bagaimana Najib dibiarkan menerima kesan negatif ekoran kegagalan beliau menangani isu Bersih 2.0 dengan baik.

Salahuddin menyatakan bacaan politik ini melalui ucapan dalam Majlis Ceramah Istiqbal Ramadhan di Markas PAS Seksyen 18, dekat sini malam tadi.

Pada sebelah siang, program menjual 500 batang lemang diketuai Ketua PAS cawangan, Haji Halim Omar telah berjaya mengisi dana Ramadhan sebanyak RM6000.

Menjelaskan isu Najib, Salahuddin berkata, amat malang sebagai seorang perdana menteri apabila beliau gagal menunjukkan sikap negarawannya berhubung isu demontrasi dan tuntutan Bersih.

Katanya, sewajarnya sebagai seorang perdana menteri, beliau boleh mengatasi isu ini dengan mudah sahaja kerana tuntutan Bersih hanya lapan sahaja, bukan lapan ratus atau lapan ribu.

Namun Najib mengambil sikap untuk berhadapan dengan rakyat sendiri menerusi cara keganasan seperti mana yang dirakamkan oleh berbagai media alternatif.

"Malah saya beranggapan isu tidak perlu tunaikan tuntutan Bersih ini sengaja dicipta oleh pihak dalaman Umno sendiri yang ingin menjatuhkan Najib sebagai perdana menteri kerana mereka sudah bosan dengan tingkah laku beliau mutakhir.

"Apatah lagi dengan sikap isteri beliau yang sangat berlawanan dengan apa yang ditunjukkan oleh semua isteri perdana menteri sebelum ini.

"Jika Muhyiddin pernah sebutkan agar Pak Lah berhenti sebagai perdana menteri dalam mesyuarat tertinggi Umno, tidak mustahil sekali lagi beliau akan berbuat demikian kepada Najib," tegas Salahuddin.

Menurutnya, terdapat banyak pihak di dalam Umno yang tidak berpuas hati dengan tingkah laku pasangan itu dalam membawa diri sebagai perdana menteri dan isteri.

Lebih-lebih lagi, bila munculnya isu cincin berharga RM24 juta, beg tangan RM1 juta dan sikap isterinya dalam membeli belah ketika di luar negara, meskipun diragui kebenarannya, tetapi ramai orang Umno yang tidak suka.

Meskipun perkara ini dinafikan oleh Najib, persoalan yang timbul sekarang, kenapa beliau terus melakukan lawatan ke negeri-negeri yang didahuluikan dengan membatalkan cuti di luar negara.

"Saya melihat ada sesuatu yang sedang dibimbangi Najib sehingga beliau terpaksa turun ke negeri-negeri sekarang bagi melihat dan memastikan tahap sokongan kepadanya kembali pulih.

"Jika beliau sendiri menghadapi masalah dalaman dalam parti sendiri, bagaimana mungkin beliau akan terus mampu menjadi seorang pemimpin negara yang baik dan berkesan," soal Salahuddin. -HD


Ulasan GB

Najib dan isterinya bukan sahaja liabiliti untuk UMNO tetapi untuk negara secara keseluruhannya. Kerana Najib bukan sekadar Presiden UMNO, tetapi PM Malaysia.

Apa-apa pun yang dilakukan memberi kesan kepada negara.

GB telah menyatakan sebelum ini bahawa Najib akan turun dari takhta PM lebih awal dan lebih cepat dari Pak Lah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Greenboc; Bolh tak check keahlian UMNO nama-nama bertindan dalam daftar pemilih tu?