27 Jun 2011

Isu Lynas Akan Dibawa Ke ICJ

Bawa usul isu Lynas ke ICJ

KUANTAN- Save Malaysia akan mengusulkan isu Lynas ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),The Hague, di Belanda untuk penyelesaian jika segala ikhtiar untuk menghentikan operasi syarikat itu di kawasan perindustrian Gebeng di sini menemui jalan buntu.

Pengerusinya, Tan Bun Teet berkata usaha itu adalah langkah drastik yang diperlukan dan mengharapkan rakyat Australia memahami situasi dan tindakan itu.

Menurutnya, tindakan itu perlu memandangkan tindakan syarikat itu seperti tindakan sebuah negara maju dari Negara Dunia Pertama membuli negara dari Dunia Ke-3 dan bukan sekadar warga Kuantan menentang Lynas semata-mata.

“Malah seramai 12 ahli dari Save Malaysia termasuk saya akan membentangkan isu ini di Parlimen Australia bermula 3 hingga 9 Julai depan.

“Selain itu, kita akan melakukan demonstrasi jalanan di sini jika operasi Lynas diteruskan walaupun dihalang pihak berkuasa,” katanya selepas perjumpaan dan penerangan bersama 10 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh Malaysia serta orang ramai di sebuah hotel di sini, semalam.

Seminar bermula jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 5 petang itu berjaya menarik lebih 150 orang ramai dan mendapatkan penerangan daripada tiga ahli panel berkelayakan.

Bun Tee berkata, seminar itu antara usaha pertubuhan itu untuk menyampaikan mesej bahawa isu tersebut bukan sekadar menjejaskan warga Kuantan namun ia turut berkaitan dengan rakyat dan menjadi isu nasional.

Ditanya jika Save Malaysia mendapat jemputan untuk berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lynas, Nick Curtis, beliau berkata, pihaknya masih belum mendapat sebarang jemputan namun tidak menolak berjumpa untuk menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu, pada paginya, bermula jam 7.00 pagi, satu Perarakan Solidariti anjuran pertubuhan itu berjaya mengumpulkan kira-kira 3,000 orang ramai di Bukit Pelindung sebagai simbolik bantahan aman terhadap syarikat pemprosesan nadir bumi itu.

Orang ramai mula berkumpul di kaki bukit itu sebelum memulakan pendakian kira-kira jam 8 pagi dam berjaya sampai ke puncaknya pada jam 9.30 pagi. -SH

1 ulasan:

sam burgel berkata...

kalau tak paham gak.. nah kasi bukak ini.. http://klthugs.blogspot.com/2012/03/wtf-lynas.html