5 Jun 2011

Bayi Dibuang Dalam Tong Sampah

Gombak: Hanya sehari selepas seorang bayi lelaki baru dilahirkan maut akibat dicampak dari tingkat lima pangsapuri, seorang lagi bayi menjadi mangsa kekejaman apabila dibuang dalam ruang membuang sampah sebuah rumah teres di Taman Pelangi, Rawang di sini, kelmarin.

Bagaimanapun, bayi lelaki yang juga baru dilahirkan dan masih bertali pusat itu terselamat daripada maut apabila dia ditemui pemilik rumah berkenaan ketika mahu membuang sampah pada kira-kira jam 9.30 pagi.

Cik R. Punitha, 25 tahun, berkata ketika baru keluar rumah untuk membuang sampah, beliau melihat dua wanita menunggang motosikal meletakkan sesuatu di tempat membuang sampah di depan rumahnya.

'Saya nampak dua wanita itu meletak sesuatu di depan rumah saya. Saya sangka mereka membuang sampah dan saya kurang senang dengan perbuatan mereka kerana tempat itu kawasan persendirian.

'Saya membuka pintu pagar dan menjerit ke arah mereka. Namun, kedua-dua wanita itu segera memecut,' katanya.

Wanita itu berkata sebaik membuka pintu ruang membuka sampah itu, beliau terkejut apabila melihat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat diletakkan di atas bungkusan sampah.

Menurutnya, bayi itu masih mempunyai kesan darah di kepala dan dibalut dengan sehelai tuala.

Cik Punitha berkata ketika itu beliau panik dan segera memanggil jirannya sebelum mereka mengangkat bayi lelaki itu.

'Saya sering membaca kes orang buang bayi di akhbar tetapi ini pengalaman yang tidak akan saya lupakan,' katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Penolong Pesuruhjaya Abdul Rahim Abdullah, berkata keadaan bayi itu kini dilaporkan stabil setelah menjalani pemeriksaan kesihatan.

Encik Abdul Rahim berkata, pihaknya kini sedang cuba mengesan individu bertanggungjawab membuang bayi itu dan tidak menolak kemungkinan suspek tinggal di kawasan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Kes pembunuhan dan pembuangan bayi itu merupakan yang keempat berlaku di Lembah Klang dalam tempoh kurang 10 hari. -- HM,BH

Tiada ulasan: