8 Apr 2011

Video Seks Sebagai Bahan Bukti - Mufti Perlis Bantah

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berpendirian tegas rakaman video aksi seks, didedahkan bulan lalu oleh “Datuk T” yang didakwa melibatkan pemimpin politik kanan, tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mendakwa pelaku terbabit di mahkamah syariah.

Sehubungan itu kata beliau, pandangan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainol Rijal Abu Bakar kelmarin tidak tepat dan boleh mengelirukan orang ramai khususnya umat Islam.

“Apa yang dikatakan oleh Presiden PPMM tidak selari dengan Islam dan tidak betul langsung,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mufti Perlis berkata, pembuktian dalam rakaman video seks itu tidak boleh digunakan di mahkamah syariah melainkan tertuduh sendiri mengaku ataupun tuduhan dibuat dengan menghadirkan empat saksi “hidup, lelaki Islam yang bersifat adil dan mereka melihat jenayah itu berlaku.”

“Ia umpama cincin masuk jari,” kata Juanda merujuk kepada keperluan dan syarat membawa kes berkenaan ke mahkamah syariah.

Kata beliau, surah 24 al-Nur; ayat 4-5 adalah nas qat’ie atau muktamad yang tidak boleh dilanggar berkaitan dengan hukuman penuduh pelakuan zina yang mesti cukup empat saksi dan hukuman qazaf dikenakan ke atas penuduh yang tidak cukup “syarat empat saksi.”

“Ada pun gambar, klip yang samar-samar, tetapi tidak boleh dijadikan bukti di mahkamah syariah,” katanya lagi sambil berkata, sebagaimana beratnya satu tuduhan, begitu juga soal pembuktian juga amat berat.”

Katanya, sebagaimana adanya elemen peruntukan “keraguan” yang boleh menentukan keputusan sesuatu kes, Islam juga menekankan soal kredibiliti saksi.

“Dalam undang-undang konvensional jika ada sedikit keraguan, ia akan ditolak. Jadi, dalam Islam juga soal pembuktikan dititikberatkan,” kata beliau lagi.

Katanya, kemungkinan rakaman video seks dan klip boleh digunakan di mahkamah konvensional tetapi bukan di mahkamah syariah.

Juanda berkata, kenyataan yang bercanggah berkenaan soal pembuktian di bawah undang-undang syariah boleh menyebabkan rakyat yang mula memahami kepentingan perundangan Islam terkeliru.

“Saya tidak sangka buruk dengan PPMM, tetapi sama ada laporan (media) tidak tepat atau disalah petik, saya tidak pasti tetapi jangan kita mengelirukan rakyat dengan memberi pandangan tidak tepat,” katanya lagi.

Dalam satu laporan akhbar tempatan, Zainol dipetik berkata, rakaman video aksi seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin Pakatan Rakyat boleh digunakan sebagai bahan bukti untuk mendakwa pelaku terbabit di mahkamah syariah.

Zainol berkata, ia dikategorikan sebagai bukti bayynah iaitu keterangan yang boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk antaranya dokumen, percakapan dan video.

Justeru kata beliau, klip video boleh dijadikan sebagai bahan bukti untuk mendakwa seseorang melakukan zina sekiranya pihak pendakwa tidak boleh membawa empat orang saksi lelaki.

Penolong Profesor Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Zulfakar Ramlee juga dipetik berkata rakaman video aksi seks itu boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah syariah kerana sistem perundangan Islam di negara ini menggunakan hukum ta’zir.

Katanya, hukum itu meletakkan kuasa kepada pemerintah dalam menentukan hukuman kepada pesalah zina.

Menurut Zulfakar, hukum ta’zir hanya memerlukan tahap pembuktian yang rendah iaitu melampaui syubhah munasabah, berbeza dengan hukum hudud.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohamad Isa Abd. Ralip berkata, rakaman video aksi seks itu boleh digunakan sebagai bahan bukti, tetapi ia harus mengikut prosedur iaitu hanya hakim, peguam serta pendakwa dibenarkan menontonnya. -TMI

Ulasan GB

Perbincangan di atas menarik.

Namun di dalam kes video seks yang diedarkan oleh Datuk T, bukan soal adegan seks itu saja yang perlu diteliti, tetapi "konspirasi"nya lebih utama untuk diselidiki.

Bagaimana ada orang ketiga yang mengatur rakaman yang dilihat ada di dalam video berkenaan?

Yang kedua ialah aspek teknikaliti.

Jika video seks hendak di terima sebagai bahan bukti, maka pembuktian bahawa video berkenaan adalah 100% tulen menjadi penting.

Di dalam video seks edaran Datuk T, hanya pihak polis (setakat ini dilihat tidak berkecuali di dalam siasatan mereka) yang menyatakan video itu asli. Tetapi tidak ada cross-examination dilakukan ke atas "pakar-pakar" yang menjadi rujukan polis untuk menentukan kesahihan video seks dan kesahihan kenyataan polis. Justeru di dalam keadaan sedemikian mengikut kaedah Islam tentulah ia tidak boleh diterima sebagai bahan bukti.


2 ulasan:

akueden berkata...

Adakah imej yg. samar2 dan tak tajam atau tak jelas dan kemungkinan telah didoctored/olah semula boleh dijadikan bukti?

Dalam video tu apa peranan pihak lelaki kedua dan bolehkah semua yg terlibat menghadirkan diri sbg. saksi atau yg. tertuduh?

Equiser berkata...

Apabila media spt Utusan dijadikan sumber, ni lah jadinya.. Tuduh menuduh tanpa usul periksa.. Bloggers yg takda ilmu plak join sekali mengulas.. Apa salahnya Dr Juanda hubungi Zainul Rijal dapatkan penjelasan.. Bukannya orang lain pon, mereka ni, Dr Juanda, Dr Asri, Zainul Rijal, dan ramai lagi satu sekolah dulu... ada yg seusrah.. Tapi dari sekolah sampai sekarang asyik nak berdebat je..