12 Apr 2011

Tsunami Kecil Di Sungai Dungun

Dungun – Dua bot nelayan tenggelam manakala sebuah pelantar bagi mengorek pasir sungai tersangkut di sebuah jambatan akibat dihanyut oleh arus deras luar biasa yang melanda Kuala Sungai Dungun di sini awal pagi semalam.

SEBUAH pelantar bagi mengorek pasir tersangkut di jambatan Kampung Nibong Stesen dekat Kuala Sungai Dungun, Terengganu semalam akibat dilanda arus deras sungai tersebut.

Insiden tersebut mengejutkan semua mangsa memandangkan kesemua bot tersebut sudah pun ditambat tali dengan guni berisi pasir seberat kira-kira 1,500 kilogram.

Selain itu, pelantar mengorek pasir yang hanyut dan tersangkut di jambatan di Kampung Nibong Stesen, kira-kira dua kilometer dari Kuala Sungai Dungun juga sudah dilabuhkan dengan lima sauh.

Turut hanyut ialah tiga bot nelayan lain dan dua bot fiber namun kesemuanya berjaya diselamatkan.

Jumlah kerugian dianggarkan RM100,000.

Salah seorang pemilik bot, Yusuf Saleh, 67, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa bot miliknya hanyut sejauh kira-kira 100 meter dari tempat ia berlabuh kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

“Pada mulanya saya tidak percaya dan terus datang untuk melihat sendiri apa yang terjadi itu.

“Saya benar-benar terkejut apabila mendapati bot saya dan bot seorang rakan, Muhamad Jaafar, sudah hampir tenggelam,” katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Dungun semalam.

Jelasnya, sudah berpuluh tahun dia menjadi nelayan namun kejadian itu adalah kali pertama berlaku.

Tiada ulasan: