16 Apr 2011

PRN Sarawak: Bagaimana Peluang PAS?

PAS yakin pengundi Sarawak buat kejutan esok

PAS berkeyakinan rakyat Sarawak bakal membuat kejutan esok berdasar kepada momentum penerimaan mereka terhadap kempen Pakatan Rakyat.

Gambar: Penduduk Beting Maro menyambut Ustaz Hadi di sana

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sambutan di kalangan pengundi muda terhadap PAS dan Pakatan Rakyat begitu memberangsangkan sekali sepanjang kempen diadakan.

Katanya, penerimaan orang muda terhadap kempen dilakukan calon PAS dan jenteranya begitu baik sekali.

”Saya melihat ada peluang cerah buat PAS untuk bertapak bersama rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat di Sarawak.

”Bagi penduduk bukan Islam mereka menerima baik kempen dijalankan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Malah ada yang tidak takut lagi untuk menampalkan bendera PAS di rumah mereka,” katanya ketika ditemui media sekembali dari menerima anugerah di Universiti Islam Yala di Pattani petang semalam.

Sebelum itu Ustaz Abdul Hadi menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani disampaikan Rektor Universiti Islam Yala, Dr Ismaillutfi.

Presiden PAS hadir ke Universiti Islam Yala sekembali daripada kempen membantu calon PAS di Sarawak.

Beliau bergegas dari Kuala Lumpur malam semalam menggunakan kenderaan darat selepas terlepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

Presiden PAS berkata, pilihan raya negeri ini memberi peluang lebih cerah kepada PAS untuk bertapak lebih kukuh di Sarawak.

”PAS bertanding di lima kerusi Dun bagi membawa mesej Islam kepada masyarakat. Rakyat Sarawak hendaklah menggunakan peluang terbaik esok.

”Ini kerana biar pun bumi Sarawak kaya dengan pelbagai hasil bumi, namun penduduk negeri itu masih ramai lagi miskin,” ujarnya.

Pada pilihan raya negeri kali ini PAS bertanding sebagai mewakili Pakatan Rakyat di Dun Beting Maro, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Tanjung Datu. -HD


PAS: Kita Tanding 5, nak menang juga 5

MATANG JAYA, 15 April: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS bertanding untuk menang disemua lima kerusi yang ditandingi.

(Gambar: Nasharudin bersama PJ PAS Sarawak, Adam Ahid)

Sambil meraikan pandangan yang mengatakan PAS mungkin akan menang di tiga dari lima kerusi yang ditandingi, beliau berkata "Kita tanding lima kita nak menang lima".

Beliau yang juga Pengarah PRN Sarawak berkata, PAS sedang membina keyakinan yang tinggi memandangkan momentum sokongan rakyat diluar jangkaan.

Mengulas desas desus Pakatan Rakyat bakal menafikan dua pertiga kerusi BN, beliau berkata terlalu banyak andaian yang dibuat terhadap Pakatan Rakyat.

"Kalau berdasar cakap-cakap, bukan sahaja Pakatan boleh nafi dua pertiga kerajaan negeri, malah ada yang kata kerajaan BN akan tumbang pilihan raya kali ini,"katanya lagi.

Namun ujarnya lagi, perkara itu tidak mustahil kerana isu besar yang menjadi kebencian seluruh rakyat Sarawak adalah isu Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Sebab itulah katanya, peningkatan penerimaan rakyat terhadap Pakatan untuk kali ini agak mendadak dan luar biasa berbanding pilihan raya negeri 2006.

Dalam siri kempen bertemu pengundi, beliau berkata kebencian rakyat terhadap Taib dapat dilihat dengan jelas khususnya dalam isu berkaitan tanah adat yang dirampas.

Berdasarkan faktor itu, beliau meletakkan keyakinan bahawa Pakatan mampu membuat kejutan pada pilihan raya kali ini.

"Kita telah datangkan 'full force' untuk sedia ambil alih kerajaan negeri Sarawak," tegasnya. -HD



Tiada ulasan: