31 Mac 2011

Tangkapan Video Seks: Siapa Penipu - Menteri Atau Polis?

Video seks: Belum ada tangkapan, kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Polis belum menahan mana-mana pihak berhubung isu rakaman video seks, yang didedahkan awal minggu lalu oleh tiga “Datuk T”, mendakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, berdasarkan maklumat yang pada beliau belum ada mana-mana pihak yang ditahan setakat ini.

“Setahu saya, tidak ada pihak yang ditahan lagi,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Laporan media minggu lalu menyebut bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah ditahan selepas disoal siasat selama lima di Bukit Aman, malam Khamis lalu.

Mereka dilaporkan dilepaskan dengan diikat jamin.

Bagaimanapun kedua-duanya telah menafikan ditahan polis.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar juga mendakwa tidak cukup bukti untuk mendakwa kedua-dua mereka bersama Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim – tiga “Datuk” yang mengaku bertanggungjawab atas pendedahan rakaman tersebut.

“Anda kena tanya pendakwa atau polis,” kata Hishammuddin apabila ditanya bila “Datuk T” akan ditahan kerana memiliki dan menayangkan rakaman video seks.

Kata beliau, siasatan adalah berdasarkan pada laporan polis Anwar yang dibuat pada 22 Mac lalu.


Polis Periksa Lokasi Kejadian Rakaman Video Seks

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Siasatan polis terhadap rakaman video aksi seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin pembangkang mendapat petunjuk awal apabila bilik sebuah hotel di ibu negara yang dikatakan menjadi lokasi rakaman video itu diperiksa.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Ghazali Md Amin berkata siasatan di tempat kejadian itu dijalankan bersama unit forensik PDRM selepas memperoleh maklumat.

"Dua individu telah ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis... kita turut memperoleh beberapa bahan bukti daripada mereka.

"Salah seorang daripada individu yang terbabit telah mendedahkan tempat di mana rakaman perlakuan seks itu berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, disoal siasat selama lima jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Mereka turut menyerahkan video aksi seks seorang lelaki dengan seorang wanita serta seutas jam tangan Omega.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis sedang mengenal pasti identiti individu yang kelihatan dalam rakaman video aksi seks tersebut.

Beliau berkata siasatan kes itu masuk hari ketiga pada Jumaat dan pasukan khas menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana rakaman video itu boleh wujud.

"Kita sendiri hendak tahu apa yang telah berlaku dan banyak isu lagi, justeru hentikan semua spekulasi dan beri peluang kepada pasukan polis untuk jalankan siasatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Peringatan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

Ismail berkata beliau percaya maklumat dan fakta baru akan diperoleh dalam masa terdekat hasil penyiasatan yang dijalankan.

"Siasatan mungkin akan berkembang terus dari fakta-fakta yang kita akan jumpa nanti," katanya.

Ketika ditanya sebab trio yang mendedahkan video tersebut tidak ditahan, beliau menjawab, "Atas kesalahan apa? Kalau sampai masa sudah cukup bukti dan sudah disahkan kesalahan mereka, barulah kita akan bertindak ikut undang-undang.

"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya. -- BERNAMA 25 Mc 2011


Ulasan GB

Percanggahan wujud diantara kenyataan Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman Datuk Ghazali Md Amin yang berkata

"Dua individu telah ditahan semalam bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis..."

dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkata,

berdasarkan maklumat yang pada beliau belum ada mana-mana pihak yang ditahan setakat ini

Apa tujuan penipuan itu dilakukan?