8 Mac 2011

Lagi Kereta Terbakar, 2 Beradik Rentung

Kuala Lumpur: Dua beradik lelaki berusia 20 dan 26 tahun rentung bersama apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 57.5, Jalan Klang menghala Teluk Intan-Tanjung Karang, di sini, pagi semalam.

Gambar: KEADAAN kereta yang terbabit dalam nahas jalan raya di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang, semalam. - Foto Suzaini Sulaiman

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Mohd Fauzan Mohd Ayob dan abangnya, Khairul Amri maut di tempat kejadian manakala pemandu lelaki kenderaan pacuan empat roda berusia 30-an hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan, dua beradik terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Selangor selepas menghadiri kursus pegawai pertanian di Tanjung Karang, dua hari lalu.

Pemangku Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Deputi Superintendan Ismail Ibrahim berkata, kereta Proton Wira yang dipandu Khairul Fahmi dikatakan hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh pembahagi jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang berada di laluan bertentangan gagal mengelak dan merempuh kereta yang dinaiki mangsa menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

“Dua beradik itu gagal menyelamatkan diri dan terperangkap dalam kenderaan terbabit, namun pemandu pacuan empat roda hanya mengalami kecederaan ringan berjaya keluar daripada kenderaan sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ismail berkata, kedua-dua mangsa yang maut dan pemandu yang cedera dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: