13 Feb 2011

Ragut Rantai Bawah Tudung

Gigit Peragut

MELAKA: “Saya bergelut hampir 10 minit dan sempat menggigit tangan peragut itu kerana mahu mempertahankan rantai leher dipakai, namun dia berjaya merentap rantai itu,” kata seorang mangsa ragut dua lelaki bermotosikal, Kamariah Salim, 52, ketika ditemui di rumahnya di Pulau Gadong, Klebang Besar, dekat sini, semalam. Gambar fail

Kamariah yang juga guru agama berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dia sedang membersihkan pokok bunga bersama seorang rakan yang ketika itu berada di laman rumahnya.

Menurutnya, ketika sibuk mengalihkan batu untuk meletakkan pasu bunga, dia terlihat seorang lelaki dipercayai berusia 30-an melalui jalan di depan rumahnya dan jalan itu memang menjadi laluan untuk orang keluar masuk.

“Dia tiba-tiba terus menerpa ke arah saya dengan mencengkam leher dan menarik tudung bagi meragut rantai yang saya pakai,” katanya.

Menceritakan detik cemas itu, dia yang terkejut dengan tindakan itu terus mempertahankan barang kemasnya yang bernilai RM20,000 itu dengan bergelut 10 minit.

“Ketika bergelut, saya menjerit meminta tolong, namun mungkin ketika itu ramai tiada di rumah dan saya bergelut seorang diri hingga menggigit tangan peragut berkenaan.

“Tudung saya hampir terbuka dan peragut berjaya meragut rantai leher sebelum berlari ke arah rakannya yang menunggu,” katanya.

Tiada ulasan: