19 Feb 2011

Isu Tanah Bakal Jatuhkan BN Terengganu

PAS mendakwa rakyat Kuala Terengganu sedang marah kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dalam isu pengambilan tanah di beberapa tempat di daerah itu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut ketika dihubungi semalam berkata, isu pengambilan tanah itu akan menyebabkan kerajaan negeri akan ditawan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

“Rakyat Kuala Terengganu sangat marah kerana kerajaan negeri memindahkan mereka tanpa menyediakan tempat lain sebagai ganti.

“Ke mana mereka hendak tinggal, di mana mereka hendak pergi?,” soal beliau.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tanah beberapa kampung di Kuala Terengganu diambil kerajaan negeri untuk projek pembangunan bandar baru.

Antara kampung terbabit ialah Kampung Pak Pa dan Kampung Panji dan penduduk marah kerana kadar bayaran pampasan yang tidak munasabah.

“Berbeza ketika PAS memerintah pada 1999 hingga 2004, kita sediakan tapak rumah apabila mengambil tanah penduduk,” jelasnya.

Wahid berkata, sebaliknya kerajaan negeri BN tidak menghiraukan suara rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Syed Azman Ahmad Nawawi berkata, isu pengambilan tanah telah menjadi perbualan hangat di sini.

“Orang marah kerana kerajaan negeri secara sesuka hati mengambil tanah rakyat. Isu ini besar kepada penduduk kampung kerana tanah adalah harta paling bernilai,” katanya.

Bagaimanapun, difahamkan pejabat tanah Kuala Terengganu telah menangguhkan pengambilan tanah tersebut. -FMT

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Wahid Endut kena faham.Nak menawan Trengganu balik bukan soal isu.Soal isu ada bergantang-gantang.Yang penting soal hehendak pengundi.Kalau pengundi(termasuk ahli PAS sendiri)sudah tak mau lihat muka kuda-kuda tua yang ada dalam pimpinan PAS Trengganu sekarang,walau sebesar mana isu pun,pengundi tetap menolak PAS.Takkan tak faham.