1 Feb 2011

Cabul Anak Murid, Hukuman Ke atas Nasruddin Kekal

Seorang guru agama kelu apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 kerana mencabul seorang kanak-kanak di sebuah rumah yang dijadikan pusat Qiraati lima tahun lepas.

Gambar: Nasruddin Niamat, 36, (tengah) keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar setelah gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 atas kesalahan mencabul anak muridnya lima tahun lalu, di Alor Setar, 31 Jan. - UM/KAMAL BASIR

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menolak rayuan Nasruddin Niamat, 36, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 13 Oktober 2009.

Mohd Azman berkata keputusan Majistret Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 adalah mematuhi prosedur mahkamah.

Guru agama itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

"Walaupun rayuan awak ditolak, ini bukan keputusan akhir kerana awak masih ada peluang. Awak boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan," kata Mohd Azman.

Menurut kertas pertuduhan, Nasruddin dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah bilik yang dijadikan kelas mengaji al-Quran di sebuah rumah di Lorong Teratai 1, Taman Berjaya, Jalan Pegawai pada 9.45 pagi, 8 Jun 2006.

Dalam rayuannya, tertuduh yang mempunyai seorang isteri dan empat anak, memberi alasan kanak-kanak itu masih di bawah umur dan tidak dapat memberi keterangan selain tidak memahami kepentingan mengangkat sumpah.

Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim mengendalikan kes itu manakala tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharuddeen. --Bernama

Tiada ulasan: