23 Jan 2011

Novel "Ku Bawa Hati Ini" Dihasilkan Untuk Dapatkan Semula Anak Yang Dilakan Suami

Ejen asing dalang

KUALA LUMPUR: Ibu malang, Elis Syuhaila Mokhtar, 35, mendakwa bekas suami melarikan anaknya, Ferris Mokhtar Ven De Ven, 8, keluar dari Malaysia hampir dua tahun lalu dengan bantuan seorang ejen luar negara.

Menurutnya, perkara itu diberitahu kepadanya oleh wartawan Belgium yang menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan mengenai perpisahannya dengan Ferris, sebelum ini.

Katanya, dia dimaklumkan oleh wartawan itu bahawa ejen berkenaan sentiasa memberi bantuan kepada pasangan berlainan negara yang menghadapi masalah dalam soal penjagaan anak mereka.

“Saya diberitahu, ejen berkenaan membantu pasangan bermasalah dengan ‘menculik’ anak mereka. Sebab itu, sampai sekarang saya masih musykil bagaimana Ferris boleh dibawa lari bapanya yang juga warga asing keluar dari Malaysia tanpa sebarang dokumen.

“Sampai sekarang juga saya tidak dengar sebarang kenyataan daripada Jabatan Imigresen mengenai kes itu, saya tidak tahu bagaimana kawalan di sempadan negara kita,” katanya.

Elis Syuhaila berkata demikian selepas majlis pelancaran novel karyanya berdasarkan pengalaman hidupnya bertajuk ‘Ku Bawa Hati Ini’ terbitan Alaf 21, di sini, semalam.

Menurutnya, penghasilan novel menjadi usaha terbarunya untuk mendapatkan anaknya semula selepas dilarikan bekas suami, Firdaus @ Frank Theodorus Van De Ven, 40, ke Belgium.

“Sudah puas saya menangis, sudah puas saya menagih simpati atau bantuan, saya perlu bangkit dengan mengumpul dana bagi mendapatkan pembiayaan kos guaman untuk menuntut semula hak saya sebagai ibu kepada Ferris.

“Saya berharap penghasilan dan penjualan novel ini dapat membantu saya mengumpul wang secukupnya dalam usaha membawa pulang semula Ferris ke Malaysia,” katanya.

Novel yang dihasilkan daripada pengalaman hidupnya menjadi isteri kepada lelaki bangsa asing dan tindakannya meninggalkan bekas suaminya selepas hampir 10 tahun hidup bersama serta pengorbanannya mengikut lelaki berkenaan tinggal di luar negara.

Menurut Elis Syuhaila, banyak idea menghasilkan novelnya adalah daripada catatan dirinya ketika masih menjadi isteri Firdaus dan mula timbul idea untuk menghasilkan novel kisah hidupnya sejak pulang ke Malaysia pada 2007.

“Mengingati semula detik awal saya untuk menghasilkan novel ini menyebabkan saya berasa sungguh sedih kerana ketika itu, Ferris sentiasa di sisi pada waktu saya menaipnya.

“Apabila dia dibawa lari oleh bekas suami, saya buntu dan tidak dapat menyiapkannya walaupun sebenarnya ia hampir siap sepenuhnya.

“Dengan terhasilnya novel ini diharap mampu membantu saya memperjuangkan usaha mendapatkan Ferris semula,” katanya yang kini bertugas sebagai pensyarah kolej swasta di ibu negara.

Kisah perpisahan Elis Syuhaila dan Ferris pernah mendapat perhatian perhatian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang kemudian meminta bantuan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, melihat kaedah perundangan bersesuaian untuk tindakan membawa pulang semula kanak-kanak terbabit.

Bagaimanapun, harapan Elis Syuhaila pudar apabila Jabatan Peguam Negara dikatakan tidak dapat meneruskan tindakan membuat permintaan kepada kerajaan Belgium bagi membolehkannya bertemu Ferris.

Pengalaman pahit Elis Syuhaila akibat pergolakan rumah tangga dengan suaminya yang menyebabkan wanita terbabit tidak membawa anak mereka pulang ke Belgium, selepas kembali ke negara ini pada Oktober 2007.

Tindakannya menyebabkan suaminya datang ke Malaysia secara rahsia dan memfailkan kes mengenai penjagaan anak mereka di Mahkamah Syariah pada Disember 2007.

Kemudian, Firdaus berjaya mendapat perintah dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk membenarkannya melawat Ferris pada Februari 2009.

Bagaimanapun pada Mac 2009, peluang itu diambil oleh Firdaus untuk melarikan anaknya melalui Rantau Panjang, Kelantan dan mendapatkan dokumen perjalanan kecemasan untuk anak dari Kedutaan Belanda di Thailand disebabkan pasport Ferris berada di tangan Elis Syuhaila.

Sebelum ini Elis Syuhaila pernah mendapat sokongan pencipta lagu, Aesar Mustafa menghasilkan lagu khas bertajuk ‘Lagu Untuk Ferris - Buaian Rindu’ untuk album single nyanyian pendatang baru, Arrora Salwa.

Melalui usaha itu, 50 peratus hasil jualan album single berkenaan dimasukkan ke tabung ‘Bring Back Ferris To Malaysia’ yang dibentuk untuk mengumpul dana membiayai pemergian Elis Syuhaila ke Belgium dan membiayai kos guaman.

Tiada ulasan: