27 Mac 2010

Kes Malek Hussein: Keputusan mahkamah retrogresif, tidak adil

Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) menyuarakan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Rayuan kerana menolak keputusan Mahkamah Tinggi menghadiahkan RM2.5 juta kepada bekas tahanan ISA Abdul Malek Hussein.

"Malek bukan sahaja dinafikan RM2.5 juta tetapi diarah oleh mahkamah untuk membayar RM50,000 pula sebagai kos," kata penyelaras SUARAM, E Nalini dalam satu kenyataan semalam.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan itu mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi berikutan dari rayuan kerajaan Malaysia dan memutuskan penahanan Abdul Malek adalah sah di sisi undang-undang.

Mahkamah juga menafikan beliau di dera ketika dalam tahanan.

Beliau berkata, "penghakiman itu bersifat retrogresif dan secara terang-terang bercanggah dengan prinsip hak asasi manusia yang asas dan universal.

Menurut beliau, SUARAM yang berkempen supaya ISA dihapuskan sejak 1989, melihat keputusan mahkamah ini sebagai satu hari yang gelap untuk hak asasi manusia di negara ini.

"Keputusan mahkamah ini dilihat sebagai memihak kepada mereka yang melanggar hak asasi manusia dan menafikan keadilan kepada mangsa-mangsa mereka," ujar beliau.

Malek ditahan pada malam 25 September 1998 selepas berceramah dalam satu perhimpunan pada sebelah petang itu di Masjid Negara.

Beliau mendakwa polis menderanya dengan teruk, secara fizikal dan mental.Ketika perbicaraan yang lalu, Malek memberitahu mahkamah beliau ditampar oleh responden, Borhan Daud ketika ditahan. Kemudian beliau ditelanjangi dan ditutup mata semasa tempoh soal siasat.

Beliau didera secara fizikal sebanyak 60 kali, dipukul dan kepalanya dipukul dengan kuat sehingga beliau membuang air besar. Beliau dipaksa minum sejenis air, dipercayai air kencing. Mereka yang menderanya juga mengancam untuk menyuntik beliau dengan virus HIV/AIDS.

Malek memfailkan saman pada Mac 1999, menamakan pegawai cawangan khas, Borhan Daud; Abdul Rahim Noor, ketua polis negara pada ketika itu dan kerajaan sebagai responden.

Pada 18 Oktober 2007, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada ketika itu, Mohd Hishamudin Mohd Yunus, dalam satu keputusan yang bersejarah memutuskan penahanan Malek dalam demonstrasi reformasi pada 1998 dibuat dengan niat jahat di bawah Artikel 5, Perlembagaan Persekutuan. Beliau dihadiahkan RM2.5 juta sebagai bayaran ganti rugi. -fmt

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

UMNO mempangaruhi segalanya menjadikan tidak adil