7 Dis 2010

Tasik Kenyir Diancam Bakteria E-Coli

Pencemaran e-coli Tasik Kenyir serius

KUALA BERANG: Kerajaan negeri mengesahkan air Tasik Kenyir dicemari bakteria e-coli dan berada pada tahap membimbangkan berikutan pembuangan sisa kumbahan daripada rumah bot.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said, berkata kajian dilakukan saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mendapati berlaku peningkatan mendadak bakteria e-coli dalam air tasik itu.

Katanya, jika tiada usaha dilakukan bagi mengawal keadaan itu, ia akan menjejaskan mutu air dan hidupan di tasik itu.

“Kerajaan negeri mengambil kira cadangan dan rumusan dibuat UMT, termasuk menyediakan sistem buangan sisa lebih sistematik terutama di rumah bot yang beroperasi di tasik itu.

"Sebagai permulaan kita membekalkan sistem buangan sisa dan kumbahan moden dan mesra alam kepada 37 rumah bot sedia ada, manakala rumah bot baru diwajibkan mempunyai sistem pelupusan sisa kumbahan baru yang mesra alam,” katanya pada sidang media menjelang penganjuran pertandingan memancing Kenyir Cup 2010 di Pangkalan Gawi, di sini, semalam.

Pertandingan yang membabitkan 60 peserta dari China dan 20 peserta tempatan, diadakan selama tiga hari mulai esok dan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Hadir sama, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Hamzah Ngah dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia negeri, Zaini Sulaiman.

ABDUL RAHIN (belakang) dan Hamzah menunjukkan sistem tandas yang diubah suai di rumah bot Pangkalan Gawi, Kuala Berang, semalam.

Abdul Rahin berkata, bagi memastikan kualiti air di Tasik Kenyir pulih, kerajaan negeri mengambil langkah drastik dengan meluluskan pe-runtukan berjumlah RM103,000 untuk pemasangan tandas dan sistem pelepasan sisa kumbahan lebih moden dan mesra alam di rumah bot.

Katanya, kebanyakan rumah bot dilengkapi tandas jenis cangkung menggunakan sistem ‘flushing domestic’ dengan sisa kumbahan tandas dan air buangan daripada sinki dapur yang mengandungi minyak masak dan sisa makanan dibuang terus ke dalam tasik.

Bagi mengelak air tasik terus tercemar, kerajaan negeri menukar sistem tandas dan kumbahan di 18 rumah bot yang digunakan dalam pertandingan Kenyir Cup.

“Pemasangan tandas itu membolehkan air kumbahan dan sisa makanan disalurkan ke tangki takungan berkapasiti 200 liter,” katanya.

Abdul Rahim berkata, isu pembuangan sisa kumbahan daripada rumah bot terus ke dalam tasik seluas 209,199 hektar itu dibentangkan pada mesyuarat Majlis Pelancongan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu.

“Kerajaan negeri mempunyai pelan besar terhadap Tasik Kenyir yang mempunyai 340 pulau, terutama usaha menjadikannya destinasi pelancongan utama negeri ini.

“Justeru, bagi memastikan flora dan fauna serta hidupan air kekal, sistem pengurusan sisa kumbahan perlu wujud di sini supaya bakteria e-coli umpamanya tidak merosakkan ekosistem di sini,” katanya. -BH

Tiada ulasan: