12 Dis 2010

Isu Teater Musikal TDM: Lagi Pelakon Tarik Diri Sebab Bayaran Rendah

Giliran Erra tarik diri

KUALA LUMPUR: Selepas pelakon Zizan Nin menyuarakan ketidakpuasan hatinya dalam sidang media tergempar Jumaat lalu berkaitan teater muzikal Tun Mahathir (TMTM) yang kembali dipentaskan Januari depan, timbul pula desas-desus seorang lagi pelakon utamanya, Erra Fazira menarik diri gara-gara bayaran yang dikatakan terlalu sedikit dan kurang senang dengan persembahan keseluruhan teater itu.

Malah, ada juga yang mengatakan Erra Fazira dan Zizan Nin mula ‘demand’ mengenai soal bayaran.

Bagaimanapun, segala apa yang digembar-gemburkan hanya spekulasi yang masih samar daripada kesahihan.

Erra ketika dihubungi sebaliknya menegaskan dia tidak peduli dengan dakwaan seumpama itu.

Alasan utamanya tidak lagi terikat dengan jadual teater muzikal itu berikutan masalah kesuntukan masa dan tawaran yang datang pada saat akhir hingga dia tidak mampu mengelak pertindihan jadual.

“Memang rasa ralat kerana terpaksa meninggalkan watak dan keseluruhan produksi TMTM, namun jujurnya saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana masalah pertindihan jadual menyebabkan segala perancangan terpaksa diubah.

“Bayangkan, saya hanya mengetahui mengenai penyambungan teater ini pada pertengahan November lalu sedangkan semua jadual bagi Disember dan Januari depan sudah diatur. Mana mungkin saya menganjakkan semua jadual sedangkan ia dipersetujui lebih awal.

“Saya dihubungi penerbit, Kak Roy (Siti Rohayah Atan) mengenai perkara itu dan selepas meneliti semua aspek dan jadual kerja, saya terpaksa menolak tawaran itu meskipun sedih dan kecewa.

“Saya tidak mampu mengikut jadual TMTM, termasuk sesi latihan sepanjang Disember dan pementasannya sekitar Januari.

“Justeru, saya tekankan yang penarikan saya daripada TMTM bukan kerana soal bayaran atau andaian lain, sebaliknya terikat dengan jadual lain terlebih dulu.

“Saya akan terbabit dengan program realiti Mentor serta bersetuju membintangi beberapa telefilem tayangan Astro. Itu juga kerja dan mustahil saya menolaknya,” katanya yang menghubungi Kak Roy bagi menyatakan kegagalannya membintangi TMTM.

Ketika ditanya mengenai keputusan Zizan yang juga menarik diri dan meluahkan rasa kecewanya berhubung dakwaan dilemparkan oleh ‘orang kuat’ produksi TMTM, bintang popular itu menyifatkan ia bukan membabitkan dirinya dan tidak perlu mengulas lanjut kerana hujung pangkal ceritanya tidak pernah diketahui lagi.

“Soal Zizan, saya memang tidak tahu. Seperti saya jelaskan, bukan kerana bayaran atau sentuhan naskhah itu yang membuatkan saya menarik diri, sebaliknya hanya berlaku pertindihan jadual serta komitmen lain.

“Saya juga tidak sempat berbincang mengenai soal bayaran kerana sibuk memantau jadual bagi menyelitkan masa membintangi TMTM dan soal persembahan pula, itu hak pengarah dan garapan kreativiti individu yang tidak perlu dipertikai oleh pelakon.

“Jujurnya, saya memang kesal kerana tidak dapat terus menyandang watak Tun Hasmah,” katanya.

Erra optimis dan merasakan keputusannya adalah paling bijak serta relevan.

Setidak-tidaknya, dia membuka peluang kepada pelakon lain pula bagi merasai pengalaman sama, beraksi di pentas teater dan melontarkan skrip naskhah hebat seperti itu.

Dia turut mencadangkan pelakon, Elly Mazlein bagi menggantikan wataknya kepada pihak produksi. -hm

Tiada ulasan: