20 Nov 2010

Sebenarnya, DSAI Yang Sudah Banyak Dilayan

Anwar: Zaid sudah banyak dilayan, bebas tinggalkan PKR

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Zaid Ibrahim bebas untuk meninggalkan PKR jika mahu sambil menegaskan bahawa partinya telah memberikan ruang secukupnya termasuk memilihnya sebagai calon pilihan raya kecil Hulu Selangor April lalu.

Kata Anwar, PKR telah memberikan banyak peluang dan layanan khas kepada bekas menteri Kabinet dan bekas pemimpin Umno itu.

Anwar menyatakan pendiriannya ketika ditemui wartawan di Permatang Pauh, Pulau Pinang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Beliau juga pernah meminta untuk menjadi calon (pilihan raya kecil) Hulu Selangor meskipun ditolak oleh bahagian dan mereka membawa bantahan kepada presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail).

“Tetapi kami memberikan beliau satu peluang dan beliau tewas di Hulu Selangor, kami berikan beliau peluang untuk mengetuai PKR Wilayah Persekutuan,” kata Anwar lagi.

Zaid sepatutnya mengadakan sidang media pagi esok untuk memberikan butiran lanjut berhubung keputusannya keluar PKR.

Bagaimanapun maklumat diterima The Malaysian Insider menyebut sidang media itu dibatalkan dan beliau akan mengeluarkan kenyataan menerusi blognya.

Minggu lalu beliau meminta Anwar dan pesaingnya bagi jawatan timbalan presiden Azmin Ali meninggalkan parti selepas menarik diri daripada bertanding kerusi nombor dua itu.

Selasa lalu, Zaid berkata tindakannya keluar PKR bukan kerana beliau mudah mengalah dan suka melompat parti sebaliknya kerana telah muak dengan masalah dalaman parti itu.

Beliau berkata tindakan nekad meninggalkan parti yang dianggotainya kira-kira dua tahun lepas juga kerana berpegang kepada prinsip kebenaran.

Zaid, yang juga bekas penyelaras PKR berkata, tidak wajar bagi sesetengah pihak untuk menyamakan keadaan yang dihadapinya sekarang berbanding ketika beliau berada dalam Umno.

Menurutnya semasa dalam Umno beliau dipecat keahliannya manakala di PKR, beliau secara sukarela menarik diri meninggalkan perjuangan parti yang diterajui oleh Anwar.

Pada akhir 2008, Zaid, yang juga bekas Ahli Parlimen Kota Baru, serta ketua Umno Kota Baru, dipecat daripada Umno kerana tindakannya yang menyalahi Perlembagaan parti, khususnya kerana menghadiri Kongres Nasional PKR.

Mengulas lanjut, Anwar berkata walaupun Zaid mendapat tentangan daripada pihak lain, namun kerana kesungguhannya peluang diberikan sehingga mahu beliau terpilih bertanding untuk jawatan nombor dua parti itu.

“Saya serah kepada beliau untuk keputusan sendiri sama ada apa yang saya tidak tahu kerana beliau tidak maklumkan pada saya,” katanya.

Ditanya kemungkinan kemunculan parti baru iaitu Parti Keadilan Baru, Anwar berkata, beliau dan PKR tidak mempunyai masalah berhubung perkara tersebut dan terpulang kepada Zaid dan beliau bebas untuk berbuat demikian jika itu yang boleh memuaskan hatinya.

“Saya tidak tahu dan kita bebas percaya Umno akan keluarkan kelulusan ... bebas untuk tubuhkan parti dan kalau kita memang tak dapat ... terserah kalau beliau rasa nak tubuh parti, terserah,” katanya.

Dalam perkembangan lain Anwar menafikan pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataannya sebelum ini yang mempertikaikan kejayaan negara mendapat sokongan beberapa negara sebagai suara sumbang dan minoriti.

Anwar berkata, adalah tidak benar jika mengatakan negara luar buta tentang kenyataan sehingga tidak memahami maksud yang ingin disampaikan. -TMI

Ulasan GB

Pokoknya DSAI itu yang sebenarnya yang sudah banyak dilayan.

Maka dengan itu, beliau menjadi diktator, menjadi orang yang cuba mewarnakan kepimpinan PKR mengikut kehendaknya sendiri. Beliau juga cuba untuk mewarnakan Pakatan Rakyat.

Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang menyedari hal tersebut sehingga membuat kenyataan sindiran tajam di dalam Ijtima Tarbawi di Kuala Terengganu bahawa

"Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang"

“Kita perit rasa dizalimi, kalau kita perintah, kita tidak melakukan kezaliman,” ujarnya lagi.

Satu tempelakan khusus kepada DSAI.

Tiada makna Zaid, Mustaffa, CheguBard dan lain-lain yang cuba untuk merebut apa-apa jawatan di dalam PKR kerana penipuan sudah diatur lebih awal untuk pimpinan tertinggi PKR dengan Ketua Umum partinya menjadi dalang.

By the way, jawatan Ketua Umum itu siapa yang beri? Adakah dalam Perlembagaan jawatan tersebut?

Kali ini, para reformis sebenar akan pastikan DSAI tidak dilayan lagi.

1 ulasan:

bunbinban berkata...

aku dah cakap, Anwar ni mabuk dek kena puji dan puja. Apa ke jadahnya, sampai kita tak boleh lansung kritik dia ni. Bukan aku nak hasut sesiapa tapi biar la logik skit. Aku baru je borak dgn member yg baru hilang jawatan sebagai ketua pemuda cabang kerana tewas. Mati2 dia ttp mempertahankan Anwar sebagai ikon dan wajib di patuhi segala sabda sabdi dan titah perintah Anwar. Kalau takde Anwar takde PKR!. Apa punya singkat fikiran mamat ni.
Jadi2lah terlalu memandang tinggi Anwar. Bukan menidakkan dia, semua akui termasuk UMNO haprak sekali pun bahawa Anwar adalah insan yg punya aura dan bijak namun ianya tidak semestinya dia selalu betul dan tidak semestinya dia tidak boleh di kritik maupun di tentang. dia pun manusia biasa. Apa pun, lantak koranglah, undi aku punya, takde sapa boleh paksa aku undi dia...Kak Wan, eloklah Kak Wan letak jawatan sebagai presiden, Kak Wan dah jadi mcm puppet je. Serah je kat Anwar dari dok kat situ tapi takde kuasa. But i prefer kalau Kak Wan kekal dan Anwar yg blah...tak kiralah, kemana..penjara ke apa ke...aman skit PKR!