17 Nov 2010

Benci Kejahatan: Jemaah Haji Melontar Jamratul Aqabah

Jemaah Haji Malaysia sudah bersedia melontar jamrah

Gambar: SIMBOLIK BENCI KEJAHATAN: Berjuta-juta jemaah semalam, menyempurnakan syarat wajib haji iaitu melontar Jamrah di Mina sebelum mereka menunaikan ibadat korban sempena Aidiladha, hari ini.

MEKAH, 16 Nov – Seramai 26,000 jemaah haji Malaysia telah berada di Mina dan bersedia mengerjakan satu lagi perkara wajib haji iaitu melontar jamrah bermula tengah malam ini waktu tempatan 10 Zulhijjah.

Bermula dengan melontar Jamratul Aqabah, jemaah akan melontar diikuti di Jamratul Ula dan Wusta selepas gelincir matahari pada 11 Zulhijjah.

Semua jemaah negara selamat tiba di Mina awal pagi ini selepas bermalam di Padang Arafah pada malam 9 Zulhijjah.

Dalam perjalanan itu mereka bermalam sebentar di Muzdalifah bagi mengutip batu-batu kecil untuk melontar jamrah pada Hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Ritual itu dilakukan bermula selepas gelincir matahari sehingga terbenam matahari.

Semua jemaah Malaysia akan berulang-alik dengan berjalan kaki dari tempat mereka bermalam di Mina ke Kompleks Jamrah sejauh hampir empat kilometer untuk melaksanakan wajib haji itu.

Kompleks Jamrah setinggi lima tingkat terletak kira-kira 21.9 kilometer dari Padang Arafah dan tujuh kilometer dari Mekah.

Selepas selesai, mereka akan mengerjakan tawaf serta sa’ie untuk melengkapkan perkara penting yang menyempurnakan haji seseorang jemaah. – Bernama

Tiada ulasan: