7 Nov 2010

Anwar Guna Proksi Hentam PAS & DAP?

PAS dan DAP menafikan sekeras-kerasnya dakwan ‘keluhan Batu Sapi’ kononnya kedua-dua komponen Pakatan Rakyat (PR) itu tidak memberi bantuan setimpal bagi memastikan kemenangan calon PKR Ansari Abdullah pada pilihan raya kecil baru-baru ini.

Keluhan itu didakwa dibangkitkan oleh Abdul Rahman Yusof, setiausaha politik Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi laman sosial Facebook semalam iaitu sehari selepas pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas.

Tetapi, tinjauan The Malaysian Insider petang tadi di Facebook sendiri mendapati tulisan Abdul Rahman hanya berkisar tentang kritikan umum terhadap Umno dan BN sempena pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas.

Bahkan, komentar terbarunya pada dinding Facebook Abdul Rahman petang ini meminta supaya mana-mana pihak terus menghubunginya untuk mendapatkan maklum balas rasmi.

“Pandangan saya dalam Facebook ini hanya pandangan peribadi. Ia bukan pandangan rasmi mana-mana pihak. Untuk mengambil pandangan dari Facebook saya adalah tidak wajar sama sekali.

“Sekiranya pandangan rasmi ingin diambil, harap dapat hubungi saya secara peribadi,” kata beliau pada akaun Facebook.

Abdul Rahman yang dihubungi The Malaysian Insider kemudian berkata, komentarnya berhubung bantuan PAS dan DAP di Batu Sapi, yang dipercayai menyinggung kedua-dua parti itu, dibuat bukan mempunyai apa-apa niat buruk.

“Tak ada apa-apa lah, tak ada isu apa-apa... saya saja-saja tulis.

“Itu adalah pandangan peribadi saya, tidak rasmi dan boleh jadi betul atau salah, pemerhatian saya boleh jadi salah atau benar.

“Saya sendiri tidak tahu kerja PAS, kerja DAP, saya tidak tahu... itu adalah urusan mereka,” jelas beliau.

Abdul Rahman yang juga bekas Ahli Parlimen Kemaman turut menegaskan, hasil pemerhatian yang ditulisnya dalam Facebook tidak mewakili mana-mana pihak, termasuk PKR.

Terdahulu seorang pembaca The Malaysian Insider yang menamakan dirinya Abdul Aziz Anon menulis bahawa setiausaha politik itu menyatakan rasa tidak puas hati beliau terhadap PAS dan DAP dalam membantu kempen pilihan raya yang melibatkan calon PKR di Batu Sap.

“Abdul Rahman dalam akaun Facebook beliau pada 5 November (semalam) mengatakan bahawa jika PKR membantu kempen pilihan raya yang ditandingi PAS dan DAP, parti itu akan membiayai semua kegiatan kempen mereka walaupun kerusi itu ditandingi parti rakan dalam Pakatan Rakyat seperti di Sibu, Bukit Gantang, Kuala Terengganu, Bagan Pinang mahupun Galas.

“Apabila PKR bertanding di Batu Sapi, PKR dipaksa untuk membiayai jentera PAS dan DAP kerana parti PAS dan DAP langsung tidak memberi peruntukan kepada jentera mereka untuk membantu kempen pilihan raya yang ditandingi PKR.

“Penulis merasakan sebagai setiausaha politik kepada Datuk Seri Anwar tidak perlulah mengeluarkan kenyataan seperti ini kerana boleh mengundang rasa kurang senang rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

“Hubungan baik Pakatan Rakyat mesti sama-sama kita pelihara untuk menawan Putrajaya pada pilihan raya ke-13 nanti,” katanya.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika ditanya tentang ’keluhan Batu Sapi’, mencadangkan PKR membuat bedah siasat dalaman berhubung pilihan raya kecil Batu Sapi dengan memanggil bersama wakil PAS dan DAP.

Langkah itu, kata beliau, membolehkan parti-parti rakan dalam PR mendengar sendiri ’keluhan Batu Sapi’ oleh Abdul Rahman sebelum ini secara peribadi.

‘Keluhan Batu Sapi’ itu selepas calon PKR Ansari Abdullah yang mendapat 3,414 undi, dikalahkan oleh calon BN Datin Linda Tsen yang menerima 9,773 undi manakala Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee hanya mendapat 2,031 undi.

“Saya tak tahulah yang beliau (Abdul Rahman) anggap kita tidak menolong partinya, tetapi kita (PAS) memang ada bilik gerakan di (DUN) Sekong sebab kita diamanahkan untuk tumpu kempen di sini.

“Apa pertimbangan beliau untuk mengatakan yang tidak ada bantuan dan sokongan, tetapi kalau perlu bedah siasat, bersama itulah yang terbaik,” ujar beliau kepada The Malaysian Insider sambil percaya Abdul Rahman berniat baik kepada PAS dan DAP.

Sambil melahirkan rasa pelik, beliau berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri pun beberapa hari sebelum hari penamaan calon telah memberikan arahan khusus supaya ahli-ahli Parlimen PAS menyusun jentera bantuan di sana.

“Apabila dia mendakwa demikian, saya sendiri secara peribadi agak pelik sendikitlah,” kata Mahfuz lagi.

Bahkan, katanya lagi, Abdul Hadi sendiri menyertai siri kempen bersama Ansari.

“Sebelum penamaan calon dan selepas penamaan calon pun, Presiden PAS turun di sana (Batu Sapi), saya pun turun beberapa kali kerana kemenangan Ansari, kita anggap sebahagian daripada kita (PAS),” katanya.

Selain dirinya, Mahfuz berkata, Nasharudin Mat Isa selaku Timbalan Presiden PAS, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria yang mengepalai jentera Dewan Pemuda PAS antara yang bergilir-gilir berkampung di Sekong - salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Batu Sapi.

Pun begitu, beliau berkata, penggemblengan jentera PAS tidaklah ditumpukan di Batu Sapi kerana PAS mempertaruhkan Dr Zulkefli Mohamad untuk mempertahankan kerusi DUN Galas yang pilihan rayanya serentak dengan Batu Sapi.

“Cuma penggemblengan gelombang peringkat nasional dari kita (PAS) tidaklah ramai kerana kita beri tumpuan di Galas,” katanya lagi.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw ketika dihubungi turut menafikan dakwaan tersebut.

“Kita (DAP) memang ada memberi sokongan kuat kepada calon PKR, begitu juga saya lihat PAS,” ujar Dr Tan.

“Macam mana dikatakan tidak memberi sokongan, kita turun di semua tempat (berkempen), jadi itu (dakwaan) tak betul,” tegas beliau lagi.

Selain Penasihat DAP Lim Kit Siang sendiri komited menyertai kempen PKR, Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong memberitahu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chien Jen dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo antara pemimpin utama DAP yang lama berkampung di Batu Sapi.

“Apabila dia mendakwa demikian, saya sendiri secara peribadi agak pelik sendikitlah,” kata Dr Tan. -TMI

Ulasan GB

Kalau PAS dan DAP nak hentam PKR, lagi banyak perkara boleh didedahkan, tetapi kerana kesetiakawanan, ianya tidak dilakukan.

Abdul Rahman menyatakan ia pandangan peribadi. Mungkin benar, tetapi apabila ia ditulis oleh seorang yang berstatus S/U Politik kepada Ketua Pembangkang, sekalipun di dalam facebooknya, namun persepsi ramai memberi interpretasi bahawa rakyat melihat itulah luahan Anwar sendiri melalui seorang proksi.

Jika itu tidak benar, namun apa-apa jua pemikiran Abdul Rahman sepastinya tercerna dan terwarna dari pandangan "majikan"nya sendiri, atau di sebaliknya, pandangan beliau yang kelak mencerna dan mewarnai pendirian Anwar.

Untuk menyatakan tiada lansung sebarang kesan dan pengaruh terhadap salah satunya adalah tidak mungkin sama sekali.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tolong hantar email kpd SU Politik DSAI dan tanya betul kah DS yg suruh dia hentam? Jangan tuduh tanpa bukti..saya akan copy paste posting anda dan hantar ke DSAI dan mintak dia jawab..


TK

Unknown berkata...

Anda tak nampakkah bahawa ada tanda soal di tajuk tersebut?

kalau jadi penyokong Anwar pun jangan jadi penyokong mem"babi buta".

p/s seperkara lagi saya menyatakan tidakan S/U nya itu boleh menyebabkan "persepsi ramai memberi interpretasi bahawa rakyat melihat itulah luahan Anwar sendiri melalui seorang proksi"

Tanpa Nama berkata...

gb, tu namanya bodoh tak boleh diajar... BM SPM fail la tu... tak tau ayat soal...