12 Okt 2010

Rakyat Berhak Untuk Berasa Bimbang Terhadap Kes Sosilawati

Pembunuhan kejam Sosilawati: Polis tak mahu terburu-buru: Bakri

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara apabila segala fakta dan bukti yang dikumpul sepanjang proses siasatan termasuk penyiasatan kes lain yang dikaitkan dengan suspek, dilengkapkan sepenuhnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, sehubungan itu meminta semua pihak bersabar dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan terperinci kes itu bagi memastikan mereka yang didapati terbabit dihadapkan ke muka pengadilan.

Beliau berkata, polis tidak terburu-buru dalam melengkapkan kertas siasatan kerana proses penyiasatan yang dijalankan perlu dilakukan secara terperinci termasuk mengemukakan bukti dan fakta bagi membantu mengukuhkan proses pendakwaan.

“Kita tidak boleh terburu-buru (menyiapkan kertas siasatan) bagi kami ruang dan jangan ‘push’ kami untuk siapkan siasatan dengan segera kerana kita tidak mahu ada perkara yang mungkin menjejaskan penyiasatan.

“Apabila siap semua siasatan (termasuk kes lain yang terbabit), kita akan serahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk menilainya dan membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Sebelum ini, polis dilapor menubuhkan dua pasukan petugas khas iaitu satu untuk menyiasat kes pembunuhan Sosilawati, manakala satu lagi bagi menyiasat laporan orang hilang yang di-kaitkan dengan suspek.

Sosilawati, 47, yang juga pengasas produk kecantikan, Nouvelle Visages, dibunuh bersama pemandunya, Kamaruddin Shansuddin, 44; peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan perunding kewangannya, Noorhi-sham Mohammad, 38, di sebuah ladang persendirian di Tanjung Sepat, Morib pada 30 Ogos lalu.

Susulan itu, polis menahan reman lapan suspek termasuk dua peguam adik beradik bagi membantu siasatan. Sebaik tempoh reman 14 hari tamat, mereka ditangkap semula bagi membantu siasatan kes bunuh ahli perniagaan India, Muthuraja Allal Kanthan.

Semua suspek ketika ini sedang direman bagi membantu siasatan kes kehilangan kontraktor dari Sungai Petani, Kedah, Shafik Abdullah, 37, bersama rakannya yang dilaporkan hilang sejak lima bulan lalu.

Jabatan Peguam Negara sebelum ini mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan Sosilawati kepada polis pada 21 September lalu untuk diperincikan lagi.

Mengulas lanjut, Mohd Bakri memberi jaminan, akan ada satu keputusan yang diperoleh pada akhir siasatan kes pembunuhan kejam itu.

“Akhirnya nanti akan ada individu didakwa... tetapi tunggulah sehingga kita menyelesaikan sepenuhnya siasatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya sama ada kertas siasatan yang akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara nanti membabitkan tiga kes berasingan atau disatukan semua kes yang disiasat pihaknya.

Tiga Suspek Kes Sosilawati Mohon Perintah Lanjutan Penahanan Mereka Disemak Semula

KUALA LUMPUR: Peguam dua beradik dan seorang suspek kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya pada Isnin memfailkan permohonan supaya perintah lanjutan tahanan reman terhadap mereka yang diperoleh pihak polis, disemak semula.

Permohonan itu difailkan peguam Ravi Nekoo pagi tadi di pejabat pendaftaran jenayah Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Hakem Arabi & Associates.

Dalam permohonan itu, Ravi menyatakan bahawa berbuat demikian selepas mendapat arahan anak guamnya dan isteri suspek ketiga berhubung perintah yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur Ahmad Shakib Ismail pada 8 Okt bagi membenarkan tahanan mereka dilanjutkan.

Beliau meminta Mahkamah Tinggi menyemak perkara itu mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah.

Ketiga-tiga suspek berkata mereka telah ditahan pada 11 Sept di alamat No.109, Jalan cempaka, Taman Seri Teluk Datuk, Banting dan ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan polis berhubung laporan kehilangan Sosilawati dan tiga individu lain.

Bagaimanapun, Ahmad Shakib membenarkan permohonan polis dan memerintahkan tahanan reman ketiga-tiga suspek dilanjutkan sehingga 13 Okt.

Dalam permohonan untuk semakan, Ravi meminta Mahkamah Tinggi meneliti beberapa isu termasuk kegagalan majistret berkenaan menimbangkan permohonan bagi perintah tahanan reman secara individu berbanding "omnibus".

Ravi mendakwa majistret berkenaan telah terkhilaf dalam mengeluarkan perintah lanjutan tahanan reman tersebut, sementara alasan yang diberikan polis adalah tidak relevan.

Sementara itu, ketika dihubungi, Ravi berkata mahkamah belum menetapkan sebarang tarikh untuk mendengar permohonan itu.

Selain Sosilawati, 47, turut menjadi mangsa pembunuhan kejam ialah pemandu peribadi Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawanagn Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas mereka dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Pada 13 Sept, polis mengesahkan keempat-empatnya dipukul sehingga mati, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Banting, Selangor. - BERNAMA



Sukar uji tulang

PETALING JAYA: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain masih belum selesai berikutan terlalu banyak tulang yang perlu dianalisis.

Ini memerlukan masa yang panjang untuk membuat ujian berkenaan.

Difahamkan, serpihan tulang yang dipercayai milik individu yang dibunuh di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, Banting, di sini pada 30 Ogos lalu agak sukar diuji berikutan keadaan tulang yang dibakar selain berada terlalu lama dalam air.

Ketua Pengarah Jabatan Kimia, N Hithaya Jeevan berkata, pihaknya masih menjalankan ujian terhadap kes pembunuhan berprofil tinggi itu dan meminta masyarakat bersabar. “Siasatan kes ini tidak mungkin siap dalam masa terdekat. Masih banyak yang perlu dilakukan. Beri ruang kepada kami (Jabatan Kimia) untuk melakukan tugas supaya hasil diperolehi tepat. “Dakwaan ujian DNA kes pembunuhan itu dapat disiapkan dalam tempoh terdekat tidak tepat. Saya sendiri belum mengetahui tarikh sebenar ia akan dilengkapkan berikutan banyak lagi bukti masih dikumpul polis,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Persaraannya di Jabatan Kimia, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Difahamkan, kes pembunuhan kejam membabitkan Sosilawati, 47, bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, adalah kes paling sukar yang pernah dikendalikan Jabatan Kimia.

Menurutnya, kes itu memerlukan penelitian yang tinggi selain memerlukan jangka masa yang panjang berbanding kes biasa yang mengambil masa tujuh hingga 14 hari bagi mendapatkan keputusan ujian DNA.

Ketika ditanya berhubung proses menjalankan ujian DNA itu, beliau yakin pihaknya akan memperolehi keputusan ujian memandangkan kepakaran dan peralatan yang digunakan jabatannya setanding dengan makmal di luar negara.

“Tidak timbul sebarang masalah berhubung kes ini kerana walaupun serpihan tulang yang ditemui itu terbakar tetapi ujian masih boleh dijalankan bergantung kepada suhu tulang yang dianalisis. “Kami menjalankan analisis mengikut prosedur dan protokol biasa. Apabila semuanya sudah selesai kami akan maklumkan kepada polis,” katanya.

Beliau turut menafikan laporan sebuah akhbar bahawa pihaknya sudah dapat mengenal pasti identiti tiga mangsa pembunuhan kejam terbabit melalui ujian dijalankan terhadap beberapa sampel yang ditemui di lokasi kejadian termasuk serpihan tulang.

Hithaya Jeevan mengharapkan tiada lagi individu yang cuba menimbulkan sebarang spekulasi walaupun beliau sedia maklum semua ternanti-nanti keputusan ujian DNA kes pembunuhan kejam yang akan merungkai seribu satu persoalan mengenai misteri cebisan tulang yang ditemui. -hmetro


Ulasan GB

Rakyat BERHAK untuk merasa bimbang di dalam kes pembunuhan Sosilawati. Apa tah lagi kini sudah ada permohonan oleh peguam suspek untuk disemak penahanan lanjutan reman anak guam mereka yang membawa kemungkinan mereka boleh terlepas.

Sejak awal rakyat mersa cemas dengan kurangnya kecekapan pihak polis dimana dilaporkan sebelum ini polis telah menghidu pembunuhan yang hendak dilakukan oleh suspek apabila pihak polis seperti dilaporkan oleh penduduk tempatan, "telah berkampung" berhampiran tempat kejadian sebelum pembunuhan itu berlaku. Sementelah lagi pejabat guaman suspek di Banting benar-benar berada berhadapan dengan Balai Polis. Ini menimbulkan persepsi negatif rakyat terhadap polis: Apakah polis tidak menyedari kegiatan suspek setelah bertahun-tahun suspek menjalankan kegiatannya di depan sebuah balai polis? Atau apa?

Bekas Ketua Negara pula, Tan Sri Musa Hassan pula hanya mempu mendedahkan kenyataan bahawa wujudnya campurtangan pegawai KDN di dalam siasatan polis yang sehingga kini, belum ada penahanan dan siasatan terhadap pegawai yang dimaksudkan. Penangkapan suspek dibuat di hari terakhir beliau berkhidmat. Penggantinya pula dilihat "slow" walaupun ada mengeluarkan kenyataan-kenyataan keras.

Kini timbul pula wujudnya perlindungan politik yang diberikan oleh seorang ADUN yang juga seorang bekas Exco dari UMNO terhadap kegiatan-kegiatan suspek. Pun tidak ada penahanan dan siasatan. Baca Abdul Rahman Palil Beri Perlindungan Politik Kepada Suspek Pembunuhan Sosilawati?

Pemimpin negara pula seperti acuh tidak acuh dengan kes seberat kes Sosilawati ini apabila Perdana Menteri dan timbalannya sendiri tidak memandangnya sebagai kes penting kerana percaya kes tersebut tidak mampu menggugat kedudukannya. Malah beliau memuji polis kerana kecekapan mereka. Aneh, kes belum selesai dah diberikan pujian oleh PM yang bernama Najib ini.

Justeru itu, memang rakyat wajar berasa bimbang dengan kedudukan terkini kes Sosilawati ini.

2 ulasan:

Lim Penang berkata...

Ravi Nekko, lu patut buat layuan aa supaya aa itu suspek terus luluk dalam lokap lama-lama... haiyaa apa neh.

Tanpa Nama berkata...

apakah penjenayah akan terlepas lagi? pemerintahan BN patut diganti, jenayah bermaharajalela