7 Okt 2010

Koh Buat U-Turn, Terima Perletakan Jawatan "Orang Tua Tak Boleh Pakai"

Gerakan Terima Peletakan Jawatan Keng Yaik

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata hari ini beliau telah menerima peletakan jawatan Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai penasihat parti - keputusan yang dilihat sebagai pusingan-U.

Mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat parti itu semalam memutuskan untuk menolak peletakan jawatan Dr Lim dan menggesa beliau mempertimbangkan semula keputusannya.

"Selepas pertimbangan mendalam, saya memutuskan menerima peletakan jawatan Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai penasihat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM).

"Kami bermesyuarat tengah hari ini membincangkan banyak perkara mengenai parti dan negara," kata Dr Koh dalam satu kenyataan ringkas di sini malam ini.

Dr Koh berkata, Dr Lim akan memainkan peranan lain dalam parti selaku pengerusi Majlis Anggota Seumur Hidup Gerakan bagi pihaknya. Pada masa ini pengerusi majlis itu ialah Dr Koh.

"Beliau telah menerimanya dengan baik. Oleh itu, saya menggesa semua pemimpin dan anggota PGRM di semua peringkat supaya merapatkan barisan dalam semangat Satu Hati dan bergerak bersama ke depan, memberi fokus berkhidmat untuk negara, rakyat dan parti," kata Dr Koh.

Dr Lim, bila dihubungi berkata, beliau akan hanya mengulas perkara itu selepas melihat sendiri kenyataan itu.

"Tunggu sampai saya lihat kenyataan itu dulu. Cuba hubungi saya lagi esok," katanya.

Dr Lim, yang telah bersama Gerakan selama 36 tahun, menyerahkan teraju parti itu kepada Dr Koh pada April 2007.

Isnin lepas, Dr Lim mengeluarkan kenyataan menggemparkan mengatakan beliau melepaskan jawatan penasihat Gerakan kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dr Koh. - BERNAMA


Keng Yaik Dianggap Sudah Tua, Nasihatnya 'Tak Boleh Pakai Lagi'

KUALA LUMPUR, 6 Okt (Bernama) -- Parti Gerakan Wilayah Persekutuan menganggap apa jua dakwaan bekas presiden Tun Dr Lim Keng Yaik terhadap kepimpinan penggantinya Tan Sri Dr Koh Tsu Koon sebagai tidak wajar dan tidak mengikut perkembangan semasa.

Bendaharinya Alan Chan Fui Gan berkata kemungkinan Lim semakin berusia dan nasihatnya "tidak boleh diguna pakai lagi".

"Saya rasa Tun Lim sudah tua, mungkin cara beliau tak boleh diguna pakai lagi," katanya pada satu sidang akhbar yang turut dihadiri anggota-anggota Jawatankuasa Perhubungan Negeri Gerakan Wilayah Persekutuan di sini pada Rabu.

Beliau mengulas tindakan Lim meletak jawatan sebagai penasihat parti dan mengecam kepimpinan Koh yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Chan berkata pemimpin atasan sememangnya bertanya pendapat dan nasihat daripada Lim tetapi tidak semestinya kesemua nasihat itu perlu diambil dan diikuti sebaliknya perlu dinilai terlebih dahulu.

Setiausaha Gerakan Wilayah Persekutuan Dr Wong Ruen Yuan pula berkata Gerakan Wilayah Persekutuan menyokong penuh kepimpinan Koh kerana telah memberi peluang kepada golongan muda untuk menjadi pemimpin yang berdedikasi di bawah kepimpinannya.

"Sebelum dia jadi presiden parti, mesyuarat bulanan hanya dua bulan sekali tetapi sekarang di bawah kepimpinannya, setiap bulan kami ada mesyuarat," katanya.

Mengenai krtikan Lim terhadap Koh kerana memilih menghadiri perasmian mesyuarat agung MCA daripada menghadiri mesyuarat agung luar biasa Gerakan Pulau Pinang yang membincangkan isu kepimpinan parti di negeri itu, Wong berkata Koh mungkin ada sebab-sebab tertentu berbuat demikian.

"Dr Koh bukannya takut untuk (pergi) seperti mana Dr Lim kata. Ini bukan soal takut tapi soal menghormati mesyuarat tersebut," katanya. -- BERNAMA


4 ulasan:

idzaney berkata...

jadi ahli seumur hidup, tp nasihat tak boleh pkai?...ahli lelap kot

Waris berkata...

Org tua umno yg masih dok memekak tu boleh pakai ke?

Tanpa Nama berkata...

najib dan muhyidin pun patut letak jawatan, serah kepimpinan negara kepada pakatan rakyat

Tanpa Nama berkata...

ada orang tua macam TGNA boleh pakai, untuk urusan dunia dan akhirat insyaallah. wallahhualam