12 Sep 2010

Mangsa Dipukul Hingga Mati Sebelum Dibakar. Siapa "Datuk" Yang Ditahan itu?

Jutawan Sosilawati, tiga lagi dipukul hingga mati dan dibakar

Pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi, amat mengejutkan negara kerana selepas dibunuh dengan kejam, mayat mereka dibakar dan abunya dibuang di sebatang sungai di Tanjong Sepat dekat sini, sekali gus mengakhiri misteri kehilangan keempat-empat mangsa selama dua minggu.

Tambah memeranjatkan lagi, berikutan kejadian itu, seorang peguam berusia 41 tahun yang dikenali ramai di kawasan ini dan bergelar “Datuk”, telah ditahan bersama adik lelakinya, dua wanita serta empat yang lain, termasuk pekerja ladang mereka.

Perkembangan terbaru ini menambah senarai kes pembunuhan kejam yang negara pernah saksikan sebelum ini — antara kes bunuh dan rogol penganalisis maklumat, Canny Ong pada 2003 yang turut dibakar.

Kes-kes lain termasuklah bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu yang pernah berkhidmat sebagai wartawan Kumpulan Utusan. Empat tahun lalu wanita Mongolia Altantuya Shariibuu pyla dibunuh dan mayatnya kemudian diletupkan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusof menyifatkan pembunuhan Sosilawati bersama tiga lagi mangsa sebagai satu “pembunuhan kejam.”

Ketika ditemui di Masjid Tanah, Melaka berkata beliau menasihati rakyat supaya mempunyai fikiran lebih waras dan bertindak secara profesional sekiranya menghadapi sesuatu kemelut dan diselesaikan secara baik.

Selepas dinantikan lebih 12 jam sejak malam tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua suspek mengaku membawa mangsa ke ladang seluas empat hektar itu sebelum dipukul sehingga mati dan mayat mereka dibakar.

Abu mayat mangsa kemudian dibuang ke dalam sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat, kata Mohd Bakri pada sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Kuala Langat hari ini.

Beliau berkata keluarga mangsa telah dimaklumkan mengenai perkara itu, bagaimanapun, polis masih memerlukan pengesahan daripada bahagian forensik dan Jabatan Kimia.

“Apa yang boleh saya sahkan sekarang ialah selepas pengakuan suspek, peluang kesemua mangsa ditemui masih bernyawa adalah sangat tipis,” kata beliau dipetik Bernama.

Polis telah menghantar pasukan forensik dan kimia bagi mencari bahan bukti di kawasan tersebut, selain pakar patologi serta unit anjing pengesan.

Seorang kakitangan forensik yang enggan dikenali berkata mereka tercium bau petrol di kawasan di mana keempat-empat mangsa dipercayai dibunuh dan dibakar.

Selain pengasas syarikat kosmetik Nouvelle Visages (NV) tersebut, turut dibunuh ialah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Kampung Baru Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Jutawan wanita berusia 47 tahun itu yang juga bekas isteri penyanyi rock Nash dan tiga yang lain dilaporkan hilang sejak 30 Ogos, selepas datang ke kawasan ini untuk urusan pembelian tanah.

Seminggu selepas itu, polis menjumpai kereta BMW Sosilawati di Apartmen Angsana di USJ 1, Subang Jaya serta kereta BMW Ahmad Kamil di kawasan perumahan di depan sebuah hotel di Subang Jaya.

Mohd Bakri berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, dan polis Kuala Lumpur akan menjalankan siasatan memandangkan kali terakhir kesemua mangsa dilihat adalah ketika mereka meninggalkan pejabat Sosilawati di Kuala Lumpur.

Mengenai motif kejadian tragis itu, beliau berkata ia lebih menjurus kepada persaingan perniagaan di antara kedua-dua peguam dengan Sosilawati.

Peguam berkenaan, yang dipercayai pernah digantung amalan guaman selama setahun pada 2007, dikenali sebagai broker tanah di kalangan penduduk setempat dan dipercayai mengendalikan beberapa urus niaga bernilai jutaan ringgit bagi pihak Sosilawati.

Kesemua suspek yang berusia lingkungan 19 dan 41 tahun, kini ditahan di Balai Polis Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dan difahamkan polis telah mendapat perintah tahanan reman selama tujuh hari terhadap mereka bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kes membabitkan Sosilawati dan tiga yang lain itu juga bakal merungkai misteri di sebalik tembok besar yang mengelilingi kawasan ladang kelapa sawit yang turut menempatkan beberapa kandang lembu dan kambing.

Malah menurut Mohd Bakri, suspek turut mengaku pernah menggunakan modus operandi serupa sebelum ini, dan polis sedang menyiasat kehilangan empat individu lain di kawasan tersebut sejak setahun lalu.

Menurut seorang penduduk tempatan, peguam berkenaan amat dikenali di kawasan itu kerana dia membantu pekerja asing yang ditipu gajinya oleh majikan mereka.

“Dia juga dikenali sebagai broker tanah. Tetapi kami amat terkejut apabila dia ditahan,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik tanah yang terletak berhampiran kawasan kejadian berkata, ladang tersebut dilengkapi pintu elektronik dan tiada sesiapapun dibenarkan masuk. -TMI


Konflik Perniagaan Motif Pembunuhan Sosilawati

KUALA LANGAT: Konflik perniagaan dipercayai menjadi motif kehilangan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga individu lain sejak 30 Ogos lalu yang kemudiannya ditemui mati dipercayai dibunuh dan dibakar sebelum abu mereka dibuang di sebatang sungai berhampiran lokasi kejadian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, motif pembunuhan juga disebabkan hal berkaitan kewangan.

“Kami sedang menyiasat mengenainya sama ada motif adalah masalah persaingan, hutang atau mungkin juga melibatkan perjanjian-perjanjian tertentu dalam perniagaan mereka,” katanya pada sidang media di sini, Ahad.

Berdasarkan pengakuan empat daripada lapan suspek yang ditahan polis termasuk seorang peguam bergelar Datuk, Sosilawati bersama tiga individu lain mati dibunuh sebelum dibakar dan abu mayatnya dibuang di sebatang sungai berhampiran Ladang Gadong, Tanjong Sepat di sini.

Pengakuan itu merungkai penemuan empat mayat di lokasi kejadian pada Sabtu namun masih belum dipastikan ia adalah Sosilawati dan lain-lain berikutan Jabatan Forensik PDRM dan Jabatan Kimia kini masih menjalankan siasatan.

Berhubung wang tunai RM4 juta yang dipercayai dikeluarkan mangsa bagi membeli sebidang tanah di Pulau Pinang sebelum mereka dilaporkan hilang, Mohd Bakri berkata, polis akan menyiasat mengenainya.

Ini kerana katanya, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap suspek yang ditahan.

“Namun kemungkinan dipercayai berkaitan dengan urusan jual beli tanah,” kata Mohd Bakri.

Selain Sosilawati, tiga individu terbabit adalah pemandunya Kamaruddin Shamsudin, 44, serta pegawai bank CIMB Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.-mstar



Nash Terkejut Sosilawati Dibunuh

Penyanyi Nasharuddin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash (gambar) terkejut apabila menerima berita pembunuhan bekas isterinya, Datuk Sosilawati Lawiya, 47.

Nash berkata, beliau mengetahui berita sedih itu melalui laporan media pada Ahad.

"Seperti rakyat negara yang lain, saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku. Mangsa-mangsa tidak sewajarnya dibunuh secara kejam.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada anak-anak Sosilawati dan waris keluarga tiga mangsa yang lain," katanya kepada mStar Online.

Media pada Ahad, melaporkan Sosilawati dan tiga rakan lelakinya dibunuh dengan kejam sebelum mayat mereka dibakar dan abu mereka dibuang di sebatang sungai di Tanjung Sepat, Banting.

Nash berdoa semoga roh keempat-empat mangsa ditempatkan di kalangan orang yang beriman.

"Saya sedekahkan al-Fatihah kepada beliau dan yang lain," katanya yang berada di Sabah atas urusan kerja.



Bekas peguam didakwa pecah amanah lebih RM200,000

BUTTERWORTH: Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan pecah amanah wang pampasan insurans milik anak guamnya sebanyak RM277,141.61 kira-kira lapan tahun lepas.

Pathmanathan a/l M.Kumarasamy, 40, yang menetap di Kuala Lumpur, didakwa gagal menyerahkan wang pampasan itu kepada AVR Menon antara 8 Dis dan 19 Disember 2001.

Sebagai peguam yang dilantik menjadi pemegang amanah wang berkenaan oleh Menon, dia dituduh melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang itu dengan gagal menyerahkannya kepada anak guamnya.

Kesalahan menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di pejabat Tetuan Mawar, Nathan & Co di Jalan Todak 3, Pusat Bandar Seberang Jaya. Tertuduh kini merupakan seorang pensyarah sambilan selepas berhenti menjadi peguam pada tahun 2003.

Penolong Pendakwa Raya Khairul Anuar Ahmad menawarkan jaminan RM50,000 kepada Pathmanathan sementara menunggu tarikh perbicaraan memandangkan kesalahan yang dilakukannya itu serius dan melibatkan jumlah wang yang besar.

Bagaimanapun, tertuduh yang mewakili dirinya sendiri memohon supaya jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM15,000 berikutan beliau terpaksa menanggung kedua-dua ibu bapa yang sakit dengan pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan sebagai pensyarah sambilan.

Sambil memohon agar pasport antarabangsanya tidak diserahkan kepada mahkamah kerana ini akan menjejaskan pekerjaannya sebagai pensyarah di luar negara, Pathmanathan memberi jaminan bahawa beliau akan hadir pada setiap prosiding dan tidak akan melarikan diri.

Pathmanathan juga meminta agar mahkamah memberikannya masa sekurang-kurangnya empat bulan sebelum tarikh perbicaraan bagi membolehkan dia menyediakan pembelaan memandangkan kes itu didakwa dilakukan pada 2001 tetapi laporan polis dibuat pada 2004 dan dia hanya ditangkap dua hari lepas.

Hakim Amernudin Ahmad kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan pada 28 dan 29 Mei ini serta mengingatkan tertuduh supaya menghadiri setiap prosiding. – Bernama


Ulasan GB

Rakyat mencari jawapan. Siapa pegiam yang bergelar "Datuk" yang dikenali ramai itu?

Maklumat dari twitter menyatakan Datuk itu ialah Patmanathan. Hanya polis yang boleh mengesahkannya.


4 ulasan:

Awanama berkata...

dedahkan sama siapa VVIP kenalan datuk kejam ni?

Awanama berkata...

bagaimana yang disyaki pembunuh kejam boleh dapat gelaran datuk?

Lizamblack5602 berkata...

datuk ini mesti yg terlibat dgn dtuk yg dikatakan terlibat dgn gangterisim tu...

Awanama berkata...

Dipercayai dua penama ini, mereka bersaudara (adik-beradik);
1. EN. PATHMANABHAN A/L NALLIANNEN (NO K/P : 690211-10-5525)
2. EN. SURENDREN A/L NALLIANNEN (NO K/P: 720801-10-5773)

Si adiklah yang menjadi mastermind, juga pemilik ladang terbabit.

Heran ya, baru berumur 41 tahun dengan rekodnya pernah menipu dan pernah pula menghilangkan empat individu sebelum kes ini, dianugerahi pangkat "Datuk"? Apa kriterianya? Adakah kerana dia pernah berkawan dengan orang kenamaan seperti digembar-gemburkan? Siapakah pula orang kenamaan itu? polis kena siasat sehabis rapi!