8 Ogo 2010

TIRAM Dilancarkan Bantu Pakatan Rakyat Tawan Putrajaya

Tiram Secara Rasmi Dilancar, Bantu PR Tawan Putrajaya

Pakatan Rakyat melancarkan Tabung Impian Rakyat Malaysia atau singkatannya TIRAM bertujuan bagi mengumpul dana menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 dan menawan Putrajaya.

Exco Kerajaan Negeri Kelantan dan juga Penasihat TIRAM Husam Musa berkata tabung tersebut dilancarkan sebagai kesinambungan kepada perjuangan rakyat menuntut perubahan politik di negara ini.

Menurut Husam, langkah pertama TIRAM ialah menanam kesedaran mengenai sistem pilihan raya, pemerintahan dan perlembagaan negara serta berusaha menyedarkan pengundi tentang tanggungjawab mereka sebagai rakyat di sebuah negara demokrasi.

"Permulaan yang baik, dan kita akan turun ke negeri-negeri tertentu dan akan edarkan lagi kupon-kupon derma sehingga kita memenuhi jumlah yang mencukupi bagi membantu persiapan," kata Husam.

Mengulas lanjut mengenai TIRAM ini, Pengarah Majlis Makan Malan Mega TIRAM, Ir Izham Hashim berkata pelbagai program akan diadakan selepas ini untuk memberi kesedaran kepada rakyat terutama kepada golongan muda.

"Ada pelbagai program yang akan dilakukan untuk beri kesedaran demokrasi, antaranya kita rancang untuk adakan kongres impian orang-orang Melayu. Kita juga akan buat kajian mendalam mengenai kecenderungan dan kehendak pengundi muda," kata Izham.

Lembaga pemegang amanah TIRAM terdiri daripada Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaffar, Izham sendiri dan tiga yang lain iaitu Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek, Alex Ong Kiang Yen dan Asmawi Mohamad.

Tabung Impian Rakyat Malaysia (TIRAM) ditubuhkan atas kesedaran betapa perlunya suatu wadah atau platform yang membiayai usaha-usaha pemerkasaan dan memurnikan sistem demokrasi di Malaysia.

Sebahagian daripada usaha ini melibatkan gerakan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang tanggungjawab mereka sebagai rakyat di sebuah negara yang demokratik samada dari aspek perlembangaan sistem pilihanraya dan pemerintahan negara.

Tumpuan juga akan diberikan kepada kerja-kerja penyelidikan dan mempromosikan sistem demokrasi yang sihat kepada seluruh rakyat bagi menyumbang ke arah negara yang lebih demokratik dan adil.

Sementara itu, Majlis Makan Malam Mega TIRAM yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam, yang turut dihadiri oleh orang ramai.

Menteri Besar Kelantan Datu Nik Aziz Nik Mat yang dijadualkan hadir ke majlis itu diwakili Naib Presiden PAS Mahfuz Omar kerana mengalami masalah kesihatan.

Manakala bagi pihak Presiden Parti Keadilan rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim diwakili Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali dan DAP Lim Kit Siang pula diwakili Ahli Parlimen Beruas. -TVS

2 ulasan:

Matketor berkata...

syukur kepada ALLAH kerana tertubuhnya Tabung Amal TIRAM...bagaimanakah rakyat dapat menyumbang kepada tabung ini kerana rakyat juga ingin berbakti demi perubahan..berilah peluang juga kepada rakyat yang mampu untuk sama-sama memberi sumbangan bagi merealisasikan gagasan menawan putrajaya..

Tanpa Nama berkata...

Dimalam pelancaran TIRAM,diStadium Shah Alam,tak kelihat walau seorang pun Geng Perpaduang yang hadir.PJ Selangor pun tak nampak muka.Nak dengar apa alasan dari mereka.