4 Ogo 2010

Sistem Lantikan Peguam Negara, Hakim Perlu Dirombak

Pakatan Rakyat Desak Rombak Sistem Lantikan Peguam Negara, Hakim

Bekas Pengerusi Transparency International (TI) Malaysia, Senator Tunku Abdul Aziz mencadangkan agar kerajaan mempertimbang dan mengkaji untuk membuat pindaan berkaitan pelantikan Peguam Negara.

Menurut beliau kaedah pelantikan Peguam Negara yang diamalkan masa kini mewujudkan prasangka diminda rakyat bahawa dibuat bermotifkan politik dan pilihan calon menurut kehendak siapa yang berkuasa dan bukannya berdasarkan kelayakan serta keyakinan orang ramai.

"Fungsi Peguam Negara adalah untuk memberikan nasihat kepada kerajaan berkenaan isu-isu Perlembagaan. Urusan pendakwaan pula patut dijalankan oleh Pejabat Pendakwa Raya Am yang diketuai oleh seorang Pengarah.

"Jadi tidak timbul perkara seperti mana sekarang ini di mana kes dibuang dan gagal di bawa ke mahkamah atas arahan Peguam Negara," kata Tunku Abdul Aziz selepas sesi perbahasan untuk meluluskan Rang Undang-undang Anti Pemerdagangan Orang (Pindaan) 2010 di lobi Parlimen semalam.

Beliau memberikan contoh pemisahan peranan seperti ini dilaksanakan di Britain di mana fungsi Peguam Negara adalah berbeza dengan Pejabat Pendakwa Raya Am yang dibentuk oleh satu pasukan atau panel profesional untuk memerhati dan memantau setiap kes dan perjalanan perundangan.

"Bermakna kuasa Pengarah Pendakwa Raya Am ini tidak mutlak. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya membuang kes dengan alasan kekurangan bukti atau saksi, kerana ada satu pasukan yang turut bersamanya,"
jelas beliau lagi yang merupakan Naib Presiden DAP.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia supaya berani melakukan perubahan dan reformasi, terutamanya membabitkan institusi penting seperti sistem perundangan dan kehakiman.

Ini berikutan persepsi rakyat dan masyarakat antarabangsa yang semakin memberikan kesan terhadap imej negara.

Tunku Abdul Aziz berkata salah satu perubahan penting yang perlu dilakukan ialah berhubung sistem pelantikan para Hakim.

Prosedur sekarang menurut Tunku Abdul Aziz didakwa bersifat kontroversi apabila semua pemilihan dan lantikan hakim dibuat secara langsung oleh badan eksekutif.

"Saya ucapkan tahniah kepada kerajaan kerana memperkenalkan bil yang dijangka akan menjadi undang-undang bagi menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Pindaan ini merupakan halatuju yang betul kerana sebelum ini, apabila orang bercerita tentang pelantikan Hakim, ia menjadi cerita-cerita jenaka yang sinikal,"
kata beliau

Tunku Abdul Aziz berkata langkah tersebut sekurang-kurangnya mampu memberikan kesan positif terutamanya kepada sektor perniagaan untuk kembali yakin dan melabur di Malaysia.

Beliau menjelaskan apa yang diinginkan oleh rakyat Malaysia ialah sebuah sistem kehakiman yang meyakinkan dan berfungsi untuk melindungi kepentingan setiap warganegaranya.

Ini kerana pelantikan hakim yang adil, profesioanal dan bebas diperlukan untuk memartabatkan kedaulatan undang-undang di negara ini. -SK



4 ulasan:

Matketor berkata...

Bukan perlantikan hakim yang perlu dirombak tetapi kerajaan UBN yang korup, zalim dan pembohong perlu terlebih dahulu dikuburkan kerana selagi mereka berkuasa ubahlah apapun pastinya rakyat yang akan merana, teraniaya dan dizalimi..kerana bagi mereka RAKYAT DIDAHULU kelentongKAN, PENCAPAIAN poket kroni DIUTAMAKAN.

Tanpa Nama berkata...

tak perlu rombak hanya perlu ganti pemerintahn BN keadaan lebih adil dan telus

Tanpa Nama berkata...

rombakan yg boleh memberi kuasa kepada hakim memehak kepada umno/bn berok matyes,untok mengekang PR supaya tidak boleh bergerak dan senang umno/bn berok matyes nak bemeharajalela sesuka hati dalam negara.

Tanpa Nama berkata...

Diakui hakikatnya Kerajaan UMNO/BN yang wajar dirombak @ tukar.Pandangan ini elok juga diberi perhatian sebab dewasa ini kuasa AG ni terlalu besar(dia saja yang boleh menentukan sama ada sesuatu kes itu boleh dibawa kemahkamah atau tidak).Sepatutnya keputusan yang begitu penting wajar diputuskan oleh satu panel atau jawatankuasa,bukan AG seorang.Pemilihan AG juga wajar dihalusi,bukan boleh ikut cakap Lingam aja atau untuk balas budi.Sistem perlantikan AG wajar diperbaiki.