23 Ogo 2010

Isu Khutbah : Bagaimana Kalau Doakan KM/MB Bukan PR?

Sejak seminggu yang lalu isu doa khutbah Jumaat telah menjadi satu perkara hangat yang diperkatakan setelah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kekecewaan beliau selepas mempegerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang di Tasek Gelugor pada 19 Ogos.

Pendedahan beliau yang menyatakan terdapat khatib di dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong telah mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggantikan doa yang sepatutnya dibacakan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Tuan Yang Terutama,Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Namun begitu isu ini dengan spontan mendapat reaksi positif dari UMNO dan Barisan Nasional setelah Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat penafian atas apa yang didakwa berlaku dalam bacaan doa khutbah tersebut.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim dalam kenyataan beliau pada 20 Ogos di pejabatnya telah menafikan dakwaan yang dibuat berdasarkan kepada teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) memang tidak meletakkan nama Ketua Menteri sebagai doa dalam khutbah tersebut.

Manakala dalam sidang media pada 21 Ogos pula, sekali lagi Abdul Malik bersama-sama dengan Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dan Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Pulau Pinang, Mujahid Yusof Rawa telah memberi amaran kepada UMNO supaya tidak menjadikan isu agama sebagai meraih sokongan masyarakat Melayu di Pulau Pinang.

Mujahid: Masalahnya istilah "ganti"

Mujahid dalam kenyataannya juga meminta UMNO supaya mengenal pasti dengan bukti ada khutbah yang menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Dalam kenyataan media tersebut beliau juga berkata, jika doa untuk meminta kesejahteraan adalah "standard" dan tidak boleh diubah kepada nama-nama lain.

"Namun jika doa yang dibaca secara umum untuk diberikah hidayah, saya rasa itu tidak ada masalah kerana ia suatu perkara yang biasa apabila rakyat berdoa untuk diberi petunjuk kepada sesiapa sahaja termasuk Ketua Menteri."

"Apa yang menjadi isu iaitu satu fitnah UMNO terhadap Kerajaan Negeri ialah perkataan 'ganti' yang digunakan dan ia satu pembohongan besar yang sengaja diperbesarkan UMNO untuk menimbulkan kemarahan rakyat di Pulau Pinang," katanya lagi.

MAZA: Tidak salah untuk doakan sesiapa, tapi...

Sementara itu bekas Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dalam kenyataan beliau turut menyatakan pada zaman Rasulullah s.a.w. Baginda turut mendoakan supaya Allah s.w.t.menurunkan hidayah kepada Sayyidina Umar Al Khattab supaya menerima agama Islam.

"Sebenarnya tidak salah untuk mendoakan kepada sesiapa, tetapi kita perlu melihat konteks doa itu sendiri, apakah tujuan dan matlamat doa ini. Pada asalnya di dalam mana-mana khutbah, tidak semestinya perlu menyebut nama sesiapa kerana ia bukan menjadi rukun bagi khutbah."

Beliau menyambung, "Bagaimana pun sekiranya ingin menyebut nama seseorang di dalam khutbah tidak menjadi satu kesalahan."

Masjid Jamek Padang Menora, Tasek Gelugor dan Masjid Jamek Kubang Buaya, Butterworth adalah antara masjid yang telah dikenal pasti berlakunya bacaan doa khutbah oleh ustaz Zakaria Ahmad selaku khatib jemputan.

Turut didakwa berlakunya bacaan doa khutbah yang melibatkan nama Ketua Menteri ialah masjid dalam kawasan Jelutong dan Permatang Pauh. Namun begitu sehingga ini belum ada nama masjid yang tepat dinyatakan.

Rentetan daripada itu dalam sidang media semalam yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman, Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Abul Kassim, Speaker Dewan Undangan Negeri, Abdul Halim Hussain, Exco Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Pulau Pinang, Rosidi Hussain kesepakatan yang dicapai ialah menyarankan supaya tindakan diambil terhadap khatib yang terlibat sekiranya terbukti kebenarannya.

Mansor juga mendakwa tuduhan yang dibuat oleh UMNO terhadap Kerajaan Negeri dalam isu doa khutbah Jumaat ini adalah fitnah jahat seolah-olah arahan dari Kerajaan Negeri untuk menggunakan nama Lim Guan Eng.

Beliau juga berkata, Lim tidak pernah menerima atau mengarahkan mana-mana pihak untuk menggunakan nama beliau dalam teks khutbah Jumaat seperti yang didakwa oleh UMNO.

Bagaimana kalau KM/MB bukan dari PR?

Dalam pada itu sepatutnya semua pihak tidak menjadikan isu agama sebegini sebagai satu modal politik walaupun mempunyai ideologi yang berbeza.

Ulama dan para ilmuan agama harus bangun dan menyatakan hakikat kebenaran isu doa dalam khutbah kedua solat Jumaat ini. Apakah ianya menggugat khutbah Jumaat tersebut dari segi sah atau sebaliknya?

Sudah pasti masyarakat yang kurang mahir dalam ilmu agama dan syarat sah serta rukun khutbah yang tidak mewajibkan doa untuk dibaca kepada mana-mana pemimpin ini akan tertanya-tanya kedudukan sebenarnya.

Apa yang pasti lima rukun khutbah wajib ada. Pertamanya ialah dimulai dengan pujian bagi Allah seperti Alhamdulillah. Keduanya diikuti dengan salawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Yang ketiganya ialah mengandungi pesanan kepada jemaah agar bertaqwa kepada Allah. Yang keempatnya pula ialah membaca satu ayat Al-Quran samada pada khutbah pertama atau kedua. Yang akhirnya ialah mendoakan setiap muslim pada khutbah kedua.

Apabila polemik ini timbul maka kemungkinan besar masyarakat akan bertanya bagaimana pula sekiranya doa dibacakan untuk pemimpin seperti Menteri Besar atau Ketua Menteri yang datangnya dari parti lain selain dari Pakatan Rakyat? Persoalan juga kemungkinan timbul apakah akan wujud juga bantahan sedemikian terhadap khatib tersebut sepertimana yang berlaku kini? -Nazar hashim (MR)

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

doakan saja BN tumbang diganti pemimpin beriman, ikhlas dan adil