13 Jul 2010

Stadium Sultan Zainal Abdidin Runtuh, Mengapa Tiada Pihak Didakwa?

Kor Ming pertikai kenapa tiada pihak didakwa

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming memohon penjelasan daripada pihak berkenaan berhubung insiden runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu, tidak lama dahulu.

Kor Ming berkata, perkara berkenaan telah berlalu selama hampir setahun setelah pembukaan rasminya pada 10 Mei 2008 sempena penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) di Terengganu, namun sehingga ke hari ini tidak ada satu pun dakwaan yang dibuat terhadap mana-mana pihak berikutan runtuhan stadium yang dianggarkan bernilai RM292 juta itu.

Menurutnya, kejadian runtuhan stadium yang mampu memuatkan 50,000 penonton pada satu-satu masa itu juga telah sedikit sebanyak menjejaskan imej negara di rantau ini.

“Kerajaan tidak pernah mengambil iktibar daripada beberapa siri kejadian projek-projek kerajaan yang menjejaskan imej negara.

“Sebagai contoh, bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta Bangunan Parlimen yang mengalami kebocoran di bahagian bumbung, keretakan di Jejantas Kepong dan juga pelbagai masalah lain di bangunan-bangunan sedia ada,” katanya.

Kor Ming berkata demikain bagi mengulas jawapan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor di Parlimen, baru-baru ini.

Katanya, kontraktor utama projek berkenaan juga telah diarahkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan stadium berkenaan kerana ianya masih dalam tempoh jaminan (warranty) ketika kejadian runtuhan tersebut berlaku.

Bagaimanapun, kontraktor berkenaan enggan melaksanakan kerja-kerja tersebut walaupun beberapa surat peringatan telah dikeluarkan kepada mereka (kontraktor).

“Oleh sebab itu, kerajaan terpaksa menawarkan tender baru pada 22 Mac 2010 bagi tujuan pembersihan di situ dan tender itu telah pun ditutup pada 19 April 2010 lalu.

“Difahamkan juga, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK), telah menggantung lesen pendaftaran kontraktor utama projek tersebut selain menyenaraihitamkan Ahli Ahli Lembaga Pengarahnya serta Pengarah Sahamnya daripada mengambil bahagian dalam mana-mana tender kerajaan mulai 4 September 2009,” katanya.

Sementara itu, Kor Ming turut mengesyorkan agar semua projek pembinaan awam dipilih menerusi sistem tender terbuka yang telus demi membela kepentingan awam.

Katanya, pemilihan menerusi kaedah berkenaan dilihat dapat membantu mengelakkan kos pembinaan yang melambung tinggi hingga mengakibatkan kerugian besar kepada negara.

“Malaysia mengalami kerugian bernilai RM28 bilion setiap tahun selain menanggung hutang berjumlah RM378.3 bilion, setakat 31 Mac tahun ini.

“Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini,” katanya.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tak kan UMNO nak dakwa UMNO, kalau Suruhanjaya bebas mungkin boleh

Tanpa Nama berkata...

klau melibatkan peminpin PR hari ini runtuh esok sprm akan buat siasatan entah berapa orang pula yg akan terjun bangunan bunuh diri.

Tanpa Nama berkata...

pasir yang mereka curi pun nak dijadikan isu.. kerja sendiri, bangunan runtuh, nak tutup...bangkai gajah.

Tanpa Nama berkata...

selama ini pun inilah juga yg berlaku dimana2... bila umno bee end memerintah... berbagai2 masalah yg timbul.. tapi tak ada apapun tindakan yang diambil... pejamkan mata aje.. tutup telinga... butakan hati... tapi bila kena kat pakatan rakyat.... satu malaysia.. cerita yang tak betul dihebahkan.... MAKANYA.... MARILAH KITA SAMA2 JATUHKAN UMNO BEE END PADA PILIHANRAYA YANG AKAN DATANG DEMI MENYELAMATKAN MALAYSIA DAN RAKYATNYA YANG KITA SAYANGI...

Tanpa Nama berkata...

SPRM buat tak dengar dan buat tak faham.Bukan SPRM tak tahu,lebih 1/2 dari dana tender yang diluluskan,cicir ditengah jalan.Kemana cicirnya? Itulah kerja SPRM untuk menyiasat,bukan minta orang awam beri bukti.Kalau semua kes rasuah orang awam beri bukti,apa pulak jadahnya kerja SPRM?Bukti-bukti yang sudah diberikan pun tak mau siasat,kena tunggu "lampu hijau" dari Gani Patail.Tak payahlah ada SPRM,membuang boreh saja.