11 Jun 2010

RMK-10 Sediakan Tapak PR Mengambil Alih Kerajaan Pusat Pada PRU-13

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata retorik dan ucapan politik yang menarik tidak cukup untuk membawa perubahan sosio-ekonomi sebenar yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang dibentangkan di Parlimen semalam.

Dr Dzulkefly menegaskan tidak cukup sahaja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui wujud kepincangan dan kesilapan dalam RMK yang lalu tetapi kesedaran itu perlu disusuli dengan satu rancangan agar tidak mengulangi kesilapan tersebut.

"Memang bagus Perdana Menteri mengakui kesilapan tetapi ucapan sebegini telah biasa kita dengar, bukan baru. Kalau kenyataan Najib dibiarkan sahaja tanpa tindakan sewajarnya, saya bimbang RMK-10 ini juga akan memberikan keputusan yang serupa seperti RMK-9 yang tidak memanfaatkan rakyat seperti sepatutnya", tegas beliau.

Menurut beliau, kerajaan Umno-Barisan Nasional telah menperuntukkan sebanyak RM230 bilion di mana RM160 bilion daripadanya akan digunakan untuk tujuan pembangunan sektor ekonomi, keselamatan dan sektor lain yang berurusan terus dengan rakyat.

"Secara ringkasnya, kerajaan Umno-BN mensasarkan pembangunan model insan yang mana akan membawa kepada individu berprestasi tinggi sejajar dengan strategi Model Ekonomi Baru dalam membangunkan rakyat dan menjadikan negara berpendapatan tinggi.

"Tetapi, kewujudan ketirisan dan kronisme yang menghalang pembangunan sebegini perlu dibendungkan dan ini bergantung kepada sejauh mana Najib sanggup merealisasikan dengan kemahuan politiknya," tegas beliau lagi.

Dr Dzulkefly menekankan ungkapan Najib untuk mewujudkan 'Bumiputera Commercial and Industrial Community' adalah bagus sekadar dalam ucapan tetapi realitinya kerajaan perlu bersikap adil kepada semua masyarakat Bumiputera.

"Bercakap mengenai pembangunan Bumiputera, saya bimbang ini hanya akan kembali kepada kronisme dan nepotisme, di mana kerajaan Umno-BN memberikan keutamaan kepada segelintir Bumiputera sahaja dengan menggunakan alasan BCIC ini," katanya lagi.

Tambah beliau, usahawan Bumiputera harus dibiarkan bertanding dan memenangi projek kerajaan atas dasar merit dan prestasi bukan kerana affliasi politik.

"Ini semua akhirnya kembali juga kepada kemahuan politik Najib, samada beliau mahu atau tidak merealisasikannya.

"Secara keseluruhannya, saya melihat RMK10 sebagai sesuatu yang baik, kerana apabila kita mengambil alih kerajaan nanti, kita mahukan kerajaan yang bagus," tegasnya lagi. -SK

Tiada ulasan: