29 Jun 2010

Mengapa KDN Tidak Bertindak Ke Atas JAKIM Yang Mencabarnya?

Wahabi: Jakim pertahan Zamihan, tak kisah ‘protes’ tokoh tertentu

KUALA LUMPUR, 29 Jun — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakan agensi agama kebangsaan itu termasuk pegawai kanannya dari Institut Latihan Islam Malaysia dalam isu kontroversi berkaitan amalan wahabi dan kemunculan kumpulan ekstremis Jemaah Islamiah (JI).

Ketika ditemui The Malaysian Insider, Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) menjelaskan, agensi itu hanya menjalankan tugas sebagaimana diminta kerajaan demi memastikan ajaran Islam tidak terancam manakala kepentingan setiap kaum dan keharmonian negara dipelihara.

“Jakim hendak memastikan negara kita harmoni, melakukan apa sahaja yang boleh membawa ketidakharmonian, kita ambil langkah supaya jangan sampai ada yang menyemarakkan ajaran sesat dan melampau,” kata beliau.

Wan Mohamad juga berkata, meskipun tindakan pihaknya kadangkala dilihat tidak popular tetapi tidak akan tunduk sehingga ada “pihak mengambil kesempatan mahu menghidupkan aktiviti pelampau.”

“Kami tidak akan membiarkan walaupun tindakan kami (dilihat) tidak popular, walaupun orang tidak suka, tugas kami ialah menjaga keharmonian.

“Walaupun satu atau 100 orang tokoh tidak suka dengan tindakan kami, pada Jakim itu tidak penting.

“... yang penting ialah negara kita ini aman, bila negara aman kita boleh amalkan agama kita dengan baik, beramal dengan baik tidak kira Islam atau bukan Islam,” kata beliau mengulas perkembangan isu semasa berkaitan amalan wahabi dan kaitan dengan kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI).

Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa isu semasa ini timbul kerana masalah peribadi antara Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin dengan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Wan Mohamad berkata, “itu tanggapan pihak-pihak tertentu.”

“Dia (Zamihan) seorang pegawai kerajaan, pihak yang mengundang beliau (untuk memberi taklimat) adalah agensi keselamatan... itu amalan biasa. Kita perlu bekerjasama dengan agensi-agensi lain.

“Dia pegawai kanan, dia ada pengalaman dalam program pemulihan tahanan (khususnya tahanan ISA),” kata Wan Mohamad.

Oleh itu jelas beliau, sekiranya ada pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan Zamihan, Jakim merasakan perbezaan itu boleh dibincang secara profesional dan ilmiah.

“Negara kita membolehkan setiap orang bebas berfikir, bebas memberi pandangan... kita tidak boleh kata jangan tidak bersetuju, terima pandangan,” kata beliau sambil menambah, Jakim sentiasa mengadakan pertemuan dengan semua pihak.

Ketika ditanya sama ada empat tokoh agama dan politik berkenaan ada kaitan dengan kumpulan JI sebagaimana didakwa ada dinamakan pada taklimat Isnin lalu, Wan Mohamad berkata, Jakim tidak pernah menuduh mereka.

“Bukan kami untuk menentukan tetapi agensi keselamatan yang menentukan,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui jika benar mereka terlibat dalam kaitan dengan kumpulan pengganas atau pelampau sudah tentu telah lama ditahan oleh pihak berkuasa.

“... dan (sudah tentu) mereka tidak boleh berada dalam kerajaan negeri, tidak boleh menjadi pemimpin di Parlimen...,” jelas beliau.

Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider Khamis lalu, Zamihan berkata, beliau tiada masalah peribadi dengan Asri sebaliknya mengakui wujud “pergolakan pemikiran” sehingga banyak pihak yang melihatnya sebagai serangan terhadap tokoh agama itu.

Pada masa yang sama, Zamihan juga mempertikaikan tindakan Timbalan Menteri Pengajian Datuk Saifuddin Abdullah dalam mengendalikan isu semasa berkaitan fahaman wahabi dan kumpulan pengganas JI sebagai tidak profesional.

Malah Zamihan memberitahu, beliau tidak mengaitkan Asri dengan fahaman wahabi dan melontarkan pemikiran keras semata-mata untuk mencantas bekas mufti Perlis itu daripada arus perdana Islam negara ini.

Zamihan menjadi tumpuan isu kontroversi dikaitkan empat tokoh politik dan agama iaitu Asri, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa mempunyai kaitan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat Khamis lalu Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.


Menteri: Wahabi tidak boleh dikait dengan pengganas, ekstremis

KUALA LUMPUR, 27 Jun — Fahaman Wahabi tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan pengganas atau golongan pelampau kerana perbuatan keganasan bukannya berpunca daripada fahaman agama sesuatu kelompok tetapi ekoran penyelewengan fahaman serta pelbagai punca yang lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata apabila kefahaman terseleweng, mereka mengambil pendekatan yang berbeza daripada orang lain sehingga ada yang sanggup membunuh orang awam dengan bom dan sebagainya.

“Akibat terpesong daripada landasan Islam sebenar, maka berlakulah kejadian orang ramai yang tidak bersalah dibunuh dan dibom,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Dewan Huffaz Kebangsaan di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya kerajaan sentiasa memantau keadaan supaya tidak berlaku penyelewengan ajaran Islam kerana ia boleh merugikan negara dan masyarakat.

Oleh itu, katanya orang ramai jangan menuduh mana-mana pihak sebagai pengganas atau golongan pelampau melainkan telah dinyatakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Sementara itu ketika ditanya mengenai 40 ulama muda menganggotai Umno beliau berkata ia dapat membantu kerajaan menterjemahkan dan melaksanakan pengertian 1 Malaysia kepada masyarakat.

Katanya ia juga dapat mengikis pandangan pihak tertentu yang selama ini menganggap ulama tidak mempunyai peranan dalam pembangunan negara.

Jumaat lepas 40 ulama muda dari seluruh negara menyerahkan borang keanggotaan Umno kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno. — Bernama


Ulasan GB

Hanya satu soalan daripada saya kepada Datuk Pengarah JAKIM: Mengapa sebelum ini JAKIM membisu di dalam isu Lesen Judi yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia dan hanya bising-bising di dalam isu wahabi?

Dan kepada KDN, mengapa tiada tindakan ke atas pegawai-pegawai JAKIM yang ternyata membelakangkan arahan menteri KDN yang meminta jangan kaitkan wahabi dengan pelampau dan pengganas yang seolah-olah mencabarnya?

5 ulasan:

FaridShah berkata...

"..Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz (gambar) menjelaskan, agensi itu hanya menjalankan tugas sebagaimana diminta kerajaan.."

oooo..patut la. ingatkan menurut Al-Quran dan Hadis!

Tanpa Nama berkata...

KDN mana mau makan sahabat

Tanpa Nama berkata...

Ya....betul, mereka perlu mengikut arahan jika ingin kekal pada jawatan disandang, jika sebaliknya good bye la....

Al-Qur'an dan sunnah rasanya boleh kita lihat kemudian selepas ikut arahan dulu (pada merekala).Dan inilah standard ulama yang ada...ulama cap ayam....

Rakyat Untuk Rakyat berkata...

Pulus, jawatan dan pangkat. Itulah yang lebih diutamakan. Hukum hakam diketepikan bukan kerana takut pada tuhan tapi takut pada najid. Itulah realitinya. Ambil beberapa juta orang pun ulama tak ada gunanya jika ulama dijadikan boneka dengan hanya untuk kepentingan politik tapi ulama dibiarkan menjadi barang2 hiasan..

Tanpa Nama berkata...

Ketua Pengarah JAKIM kata:"Memastikan negara kita harmoni...jangan sampai ada yang menyemarakkan ajaran sesat".

Kalau polis mula tangkap sana,tangkap sini,tuduh sana,tuduh sini kata orang JI,adakah ini dikatakan negara harmoni?Dan yang jadi sumbernya adalah Zamihan dari JAKIM.Apa kata Ketua Pengarah JAKIM?
" menyemarakkan ajaran sesat" Adakah Wahabbi tu ajaran sesat?Kalau Wahabbi tu ajaran sesat,maka sudah tak sahlah solah orang Malaysia yang pergi keMakkah bersolat diMasjidil Haram dan juga diMasjidil Nabawi,diMadinah kerana semua imam-imam kedua mesjid ini adalah dari gulungan Wahabbi.Ketua Pengarah JAKIM hendak mempertahankan pegawainya Zamihan.Hebat sungguh JAKIM ni yang terlalu wala kepada UMNO.