12 Jun 2010

Jangan Terperangkap Dengan Idea Kerajaan Perpaduan - Perwakilan Kubang Pasu

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menolak tanggapan mendakwa PAS sudah mula kehilangan sokongan pengundi-pengundi Melayu hanya kerana menjalin kerjasama dengan komponen Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu.

Ketika beberapa perwakilan menimbulkan kebimbangan bahawa PAS kemungkinan akan kemerosotan sokongan pengundi Melayu Islam disebabkan kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS, Khalid berkata, hakikatnya undi diterima parti itu terus mengalami peningkatan.

“Ketika kita hendak menggantikan Umno... tanggapan undi Melayu lari daripada PAS kerana bersama Pakatan Rakyat, itu (saya rasa) tanggapan yang meleset,” kata beliau ketika membahaskan usul persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 pada Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di sini petang ini.

Sambil memetik hasil kajian badan pemikir Insap, Khalid berkata, maklumat menunjukkan jumlah undi yang diterima oleh PAS sepanjang tiga pilihan raya umum yang lalu terus meningkat.

Kata beliau, hasil kajian itu mendapati PAS menerima 367,000 undi pada pilihan raya umum 1999 dan ia meningkat kepada 1.1 juta undi dua tahun yang lalu.

“Bermakna undi kepada PAS meningkat tiga kali ganda,”
kata beliau yang juga Yang Dipertua PAS Shah Alam.

Khalid juga berkata, “kita sibuk kata orang Melayu berkata tak perlu sokong PAS sebab Umno memerintah.”

“(Sebenarnya) orang Melayu tak sokong, yang sokong ialah orang Melayu Islam yang mendukung nilai-nilai pentadbiran Islam yang dibawa oleh PAS.

“Jangan makan propaganda Umno-BN,” katanya.

Selain merujuk kepada hasil kajian badan pemikir itu tambah Khalid, kejayaan PAS menembusi Johor menunjukkan sokongan kepada parti itu meningkat kebelakangan ini.

“Kita pernah tanding di Johor tetapi sampai hilang deposit. Tetapi sekarang benda itu sudah tidak berlaku.

“Apa yang berlaku ialah anjakan dalam di mana orang-orang Melayu bergerak kepada PAS kerana kita amalkan dasar politik yang baru... yang memenuhi keperluan masyarakat majmuk dan ia boleh dilakukan dan kita sudah mampu dilakukan, di negeri-negeri yang Pakatan perintah sekarang,” katanya lagi.

Pada pilihan raya umum lalu PAS menang di kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Abong dan Maharani.

“Kalau dengan semangat kebangkitan yang sama, dengan kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat, kita boleh menggantikan dengan Umno.

“Kaedah Islam adalah kaedah yang diinginkan oleh kita.

“Jadi dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, kita jangan pandang kiri, jangan pandang kanan... kita ada landasan yang betul,” kata Khalid.

Usul itu dibawa oleh kawasan Kubang Kerian, Pokok Sena, Kubang Pasu, Jerantut dan Bandar Tun Razak mahu PAS pusat memenangi seberapa banyak kerusi Parlimen bagi menggantikan kedudukan Umno sebagai teras utama politik negara dengn membongkor kepalsuan perjuangan Umno khususnya kepada pengundi Melayu di pedalaman dan merangka strategi gerak kerja pilihan raya dari sudut daftar pemilih, kewangan, latihan kepimpinan jentera pilihan raya secara profesional.

Selain itu usul tersebut juga meminta PAS pusat mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat Pakatan Rakyat mewujudkan polisi pemilihan calon yang ketat, munasabah dan relevan bagi mengelakkan gejala lompat parti dan sekali gus mempamerkan wibawa serta keupayaan calon pada pandangan pengundi.

Dalam pada Taib Ahmad, perwakilan daripada Kubang Pasu berkata, PAS akan kehilangan kerusi-kerusi yang dimenangninya jika terperangkap dengan idea kerajaan perpaduan.

“PAS kini berada di landasan yang betul dan perlu memantapkan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

“Jika PAS terperangkap dengan kerajaan perpaduan, yang sedang cuba dibawa oleh sesetengah pihak, kita akan kalah di keseluruhan kawasan yang kita menang,” katanya.

“Kita kena yakin dengan kedudukan bersama Pakatan Rakyat dan perlu memantapkan terus Pakatan Rakyat supaya matlamat ,” kata Taib beliau sambil berkata usaha untuk “pecah dan perintah” masih berterusan. -TMI

Tiada ulasan: