9 Mei 2010

Rakyat Tetap Kutuk Menteri Dan Polis Yang Lindungi Jenayah

Kes Dua Remaja Ditembak, PDRM Perlu Rombakan

SHAH ALAM 9 MEI: Rentetan dua remaja ditembak polis dalam tempoh dua minggu termasuk seorang daripadanya mati, Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff memcadangkan kepimpinan polis Malaysia dirombak secepat mungkin demi menjamin keselamatan orang awam.

Beliau menyifatkan kes Aminulrashid Amzah, 15, dan Mohd Azizi Aziz, 17, mencalar imej institusi kepolisan yang separutnya dipandang tinggi sekaligus memperlihat kegagalan pihak berkuasa ini dalam menangani isu seperti ini.

"Apabila ia mewujudkan satu trend, ia menggambarkan imej institusi. Imej ini ialah dasar dan dalam hal ini, saya lihat isu sebenar ialah kepimpinan. polis gagal" katanya kepada TV Selangor hari ini.

Justeru, Yusmadi menggesa seluruh pimpinan melakukan perubahan melalui rombakan besar-besaran supaya keselamatan dan keamanan rakyat lebih terjamin pada masa depan.

"Gesaan daripada pimpinan rakyat ke arah mereformasikan isu polis. Isu bukan hanya Tan Sri Musa Hasan letak jawatan. Itu isu yang bagi saya tidak selesaikan. Ini isu institusi perlu rombakan yang besar," katanya.

Pada 26 April lalu, remaja berusia 15 tahun Aminulrashid Amzah mati ditembak polis ketika menaiki kereta di Jalan Mahjung, Seksyen 11 Shah Alam. Empat das tembakan dilepaskan dan satu peluru menembusi kepalanya.

Semalam, Mohd Azizi Aziz yang dua tahun lebih tua daripada Aminulrashid pula ditembak ketika menunggang motosikal di Jalan Seremban-Jelebu. Satu das tembakan dilepaskan dan menembusi perut ke ususnya.

Dalam kes Mohd Azizi, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh memohon maaf kepada keluarga mangsa tetapi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tidak berbuat demikian sebaliknya mendakwa Aminulrashid ahli kumpulan penyamun.

Sebelum kedua-dua kes ini terjadi, kes Norizan Salleh, seorang ibu tunggal yang parah selepas bertalu-talu ditembak polis hingga kini masih belum selesai-selesai. -TVS


Hishammuddin: Usah kutuk polis hanya kerana 2 remaja ditembak

LONDON, 9 Mei — Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar) merayu publik agar membantu mempertahankan institusi polis, bukannya mengutuk pasukan keselamatan ketika negara menyaksikan dua remaja ditembak, termasuk seorang mati dalam dua minggu ini.

Sehubungan itu kata Hishammuddin, daripada terus-menerus menyerang polis, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan sokongan publik memandangkan ia merupakan salah satu tunjang mempertahankan negara.

“Malaysia berada dalam peralihan. Dalam persekitaran perubahan ini, sudah tentu akan ada percubaan untuk memperlekehkan institusi-institusi tanpa asas, tanpa kajian, perbincangan dan tanpa faham (mendalam),” kata beliau dengan merujuk kepada pasukan penguatkuasaan dan kehakiman.

“Saya hendak memberi jaminan kepada setiap orang, moral pasukan polis juga perlu dipertahankan dan diimbangi,” kata Naib Presiden Umno ini sambil menambah, tindakan mengutuk dan memperlekehkan pasukan polis tidak akan membantu sesiapa.

Awal pagi semalam seorang remaja cedera parah di bahagian perut setelah terkena tembakan yang dilepaskan seorang anggota polis peronda dalam

kejadian kejar-mengejar di Jalan Seremban-Jelebu, Negeri Sembilan.

Menurut polis mangsa Mohd. Azizi Aziz, 17, ditembak ekoran enggan memberhentikan motosikal yang ditungganginya selepas diarahkan polis.

Mengulas kejadian itu semalam, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata Kementerian Dalam Negeri dan PDRM tidak bertolak ansur dalam kes tersebut.

Ayah mangsa, Aziz Omar berkata beliau sangat sedih dengan kejadian yang menimpa anaknya itu.

“Saya dihubungi pihak hospital pada pukul 4.20 pagi tadi (semalam) yang menyatakan anak saya mengalami kecederaan dan kini berada di hospital. Saya kemudian bergegas ke hospital dan baru mendapat tahu bahawa anak saya cedera ditembak polis.

“Dalam hal ini saya amat terkilan kerana yang menghubungi saya adalah pihak hospital tapi mengapa tidak polis. Mohd Azizi adalah anak sulung daripada enam orang adik beradik,” katanya.

Kejadian itu berlaku dua minggu selepas Aminulrasyid Amzah meninggal dunia selepas terkena tembakan polis yang mengejar kereta yang dipandunya di Seksyen 11, Shah Alam, Selangor pada awal pagi 26 April lalu.

Kes itu sedang disiasat dengan dipantau oleh sebuah panel ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri.

“Ia kejadian tragis,” kata Hishammuddin dengan merujuk kepada nasib dialami Aminulrasyid.

Hishammuddin berkata, tidak akan ada unsur menutup kes berkenaan memandangkan panel yang ditubuhkan merupakan badan yang berwibawa.

Menteri juga mempersoalkan mengapa anggota pasukan keselamatan Istana Kelantan yang ditembak tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada orang ramai.

“Pada masa yang sama, pembantu (keselamatan) Tengku Mahkota Kelantan ditembak kejam di tengah jalan. Tetapi, dia tidak memperoleh layanan yang serupa daripada orang ramai, yang hanya mahu tahu sama ada ia ada kaitan dengan kontroversi semasa kerabat diraja Kelantan,” kata beliau.

Pengawal keselamatan Istana Kelantan, Ramli Mohamad, 50, ditembak awal bulan ini.

“Hanya kerana dia seorang anggota polis dia tidak berhak menerima simpati? Jadi jangan beremosi (dalam isu ini),” kata Hishammuddin yang mengetuai Kementerian Dalam Negeri sejak April 2009.

Walaupun beliau mengakui sistem semasa perlu diperbaiki tetapi tidak mengutuk tindakan-tindakan yang dilihat sebagai keterlaluan dan di luar lunas perundangan.

Katanya, institusi-institusi perlu dibina dan tiada penyelesaian segera bagi mengatasi kekurangan-kekurangan yang wujud.

“Kami memerlukan rakyat yang diberikan amanah untuk bertanggungjawab bukannya dipengaruhi oleh politik seharian atau ragam semasa. Institusi-institusi ini akan kekal lebih lama berbanding ahli-ahli politik,” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 100 hadirin di Jabatan Pelajar Malaysia di sini semalam.

Hishammuddin mempertahankan pasukan keselamatan dengan berkata anggota polis telah memperlihatkan prestasi yang baik dalam 10 bidang yang anda semua “tidak pernah melihat, tidak pernah mendengar, yang anda tidak akan tahu”, antaranya usaha menangani keganasan.

Bagaimanapun Hishammuddin mengakui dalam soal menangani jenayah jalanan, beliau hanya akan memberi paras enam persepuluh.

Beliau memberitahu, kementeriannya meletakkan sasaran untuk mengurangkan jenayah jalanan sehingga 20 peratus menjelang akhir tahun ini dan jenayah secara keseluruhan kepada lima peratus sepanjang tiga tahun berikutnya.

Hishammuddin juga berkata, beliau ada memaklumkan kepada anggota polis agar tidak luntur semangat apabila publik menyerang mereka. -TMI


Ulasan GB

Mengapa tidak perlu kutuk jika sudah berlaku KEMATIAN?

Rakyat tetap mengutuk menteri dan polis yang melindungi perbuatan jenayah yang dilakukan oleh anggota polis.

4 ulasan:

kembara putih berkata...

Inilah padahnya bila Musa Hassan yang tidak cukup merit dilantik menjadi Ketua Polis Negara. Lain kali kerajaan kena pilih yang berkualiti bukannya pilih yang kuat mengampu dan licik menipu.

sb dehlawi berkata...

setuju ulasan gb

ed berkata...

Nak selesaikan masalah remaja:

1. Banyakan buat movie mat rempit
2. Banyakan buat movie KL-Drift
3. Banyakkan pemimpin sokong mat rempit - Macam Khairy buat.
4. Galakkan ibubapa tak kisah anak-anak remaja nak kemana.

Nak selesaikan masalah polis

1. Banyakkan lagi siri gerak khas yang dok tembak sana-sini.
2. Banyakkan tayangan citer-citer polis fantasi dari hollywood
3. banyakkan pembelaan walaupun dah terang-terang ada fitnah dan kesalahan.

Barulah Malaysia boleh jadi satu!

pelurugetah berkata...

heran pun ade bila berlaku skali lg kes tembak remaja walhal kes arwah aminulrashid tgh panas diperkatakan..agaknya si penembak yg baru ni x amik tau lgsg ttg isu semasa..ataupun beliau tgh 'gila peluru'...cuma kali ni lega ckit bila kp negeri tidak mereka cerita dan mengaku kesilapan polis..x kedengaran lg isu parang dan mangsa cuba merempuh polis..dah tentu kantoi klu kp cakap ade parang sbb mangsa kali ni naik motor..haha