14 Mei 2010

Kedah Tidak Akan Bubar DUN Sekarang

Kerajaan negeri Kedah pimpinan Pakatan Rakyat mengetepikan amaran wakil rakyat Bebas Zulkifli Noordin tentang kemungkinan episod “Perak Kedua” sambil menegaskan, tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) buat masa sekarang.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat negeri mengakui sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan kesemua 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kekal bersama ikatan itu, sekali gus mengelakkan nasib yang menimpa Perak awal tahun lalu apabila tiga wakilnya keluar parti.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengesahkan beliau tiada rancangan untuk mendapatkan perkenaan Sultan Kedah bagi membubarkan DUN memandangkan tiada tanda-tanda akan wujudnya kemungkinan keluar parti.

“Ia cuma mengadakan perbincangan dengan mereka malam tadi dan saya yakin dengan kesetiaan mereka.

“Tiada masalah dalam Pakatan. Masalahnya hanya daripada Adun dari Barisan Nasional,” kata beliau ketika dihubungi.

Sehubungan itu, Azizan mengetepikan jangkaan Zulkifli, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu bahawa “Perak Kedua” akan wujud tidak lama lagi dan meminta sebuah kerajaan negeri, tanpa merujuk kepada Kedah, supaya bersiap sedia untuk mengelakkan situasi seumpama dengan membubarkan DUN.

“Jika dia mengatakan majoriti Kedah terlalu kecil, jadi bagaimana kerajaan (PAS) Kelantan berjaya kekal dalam kuasa dengan perbezaan satu undi?

“Jika ahli-ahli PKR berfikir macam Zulkifli, maka bukan sahaja beberapa akan keluar parti - dia tidak boleh mengisytiharkan bahawa beberapa orang akan lompat parti macam dia kerana kami mempunyai hubungan baik dalam Pakatan,” katanya.

Sebaliknya Azizan mencabar Zulkifli agar meletakkan jawatan dan bertanding semula di kerusi Kulim-Bandar Baharu jika merasakan mempunyai pengaruh yang besar.

Katanya, orang ramai sudah tidak lagi menyokong Zulkifli, yang sudah pun sudah lagi tidak kredibel di Kedah.

“Jika dia berani, dia harus meletakkan jawatan,” katanya.

Pengerusi PKR Kedah Datuk Johari Abdul mengakui pemimpin-pemimpin Pakatan di negeri itu mengambil langkah cukup berhati untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya bekas pemimpin Umno dan saya mempunyai ramai kawan dalam Umno.

“Kami peka dengan perkembangan dan tiada sebarang petanda buat masa sekarang,” katanya.

“Satu perkara yang pasti, tiada mana-mana wakil rakyat PAS akan lompat parti. Mereka terikat dengan bai’ah yang mereka telah buat,” katanya.

Johari memberitahu, meskipun kesemua tiga Adun PKR keluar parti, BN masih tiada cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Kelmarin, Zulkifli Noordin membayangkan episod Perak tumbang berulang dalam waktu terdekat sambil menasihatkan sebuah “kerajaan negeri Pakatan Rakyat” agar mengambil langkah untuk membubarkan DUN.

Zulkifli memberitahu The Malaysian Insider, dua Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan keluar dalam waktu terdekat.

Tindakan itu menurut wakil rakyat Bebas ini, boleh menyebabkan tumbangnya satu lagi kerajaan negeri mirip Perak awal tahun lalu.

Pakatan Rakyat kini memimpin Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Kini tumpuan menghala ke arah Kedah kerana perbezaan kerusi antara Pakatan Rakyat dan pembangkang termasuk Barisan Nasional (BN) cuma empat.

Daripada 36 kerusi di DUN, Pakatan Rakyat mempunyai 20 kerusi dengan PAS memiliki 16, PKR tiga dan DAP satu manakala BN pula 14 dan dua lagi merupakan wakil rakyat Bebas yang pro-BN.

Bulan lalu, Azizan ada memberitahu bahawa beliau akan memohon pembubaran DUN jika ada lagi yang memutuskan untuk keluar parti. -TMI

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Zul Nordin - peguam berkopiah yang telah menjadi rakan BN yang meluluskan lesen judi ini sudah keluar drpd norma kemanusiaan.

Tapi, apa yang dikatakan ini adalah satu usaha membocorkan maklumat BN yang disampaikan kepadanya atau perang saraf kepada kerajaan Kedah. Hanya Allah yang tahu dan akan membalasnya.

Lebih baik Zul Nordin - buat kerja sendiri daripada menyebokkan diri dengan Pakatan. Kerana anda adalah pembelot dan tiada hubungan lagi dengan Pakatan.

Tanpa Nama berkata...

Ya, saya setuju. Zul tak payah campur. Dia sendiri belot

sb dehlawi berkata...

Walau bagaimanapun, Pas kedah perlu waspada mulai sekarang agar sempat bubar dun sebelum berudu menjadi katak. ramai dah katak-katak sebelum ini nafi untuk keluar parti tetapi akhirnya keluar juga. contohnya wee choo keong.

Tanpa Nama berkata...

teman rasa elok dibubarkan saje DUN Kedah tu sekarang ni sebelum ada katak2 yang akan melompat....jangan ditunggu lagi

anak peghok berkata...

bubarkan saje DUN tu jangan tunggu lagi....bahaya

Tanpa Nama berkata...

Bubar saja sebelum terlambat..nanti jadi mcm Perak, masa tu cakap pun takde guna...lg pun kita tak tahu hati orang..depan kita ckp tak akan lompat..manusia yg tak jujur dan gelap mata bila dgr tawaran jutaan ringgit...