6 Mei 2010

Bawa Isu Serah Padang MInyak Ke Parlimen - Zaid

Ahli Majlis Pimpunan Pusat KEADILAN, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia menyerahkan dua blok padang minyak L dan M kepada Brunei ketika di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi secara sulit sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan.

Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah kerajaan pimpinan Abdullah menjelaskan perjanjian yang dimeterai kerajaan dengan pihak lain berkaitan hak dan aset negara perlu dibentang, dibahas dan diluluskan di dalam Dewan Rakyat.

"Masalahnya apabila tak ada manusia di Malaysia ini yang tahu soal Petronas selain Perdana Menteri. Kita cuma dapat berita selepas tindakan atau keputusan diambil hanya melalui media. Jadi perkara berkaitan Petronas ini patut dibentang dalam Parlimen supaya ia diketahui oleh rakyat," jelas beliau kepada Suara Keadilan pada majlis kesyukuran pasca pilihan raya kecil Hulu Selangor di sini semalam.

Dalam pada itu Zaid juga menyelar tindakan kerajaan menyekat hak royalti minyak kepada Kelantan, sedangkan pada masa yang sama melepaskan dua blok padang minyak yang dipercayai memiliki simpanan minyak bermutu tinggi berjumlah 1 bilion tong.

Beliau mendedahkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang digubal sewaktu pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein membolehkan Perdana Menteri untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat kepada umum.

Ia bertujuan bagi mengelakkan eksploitasi dan salahguna kuasa oleh ahli politik.

"Almarhum Tun Razak mengambil pengalaman dari skandal Pertamina di Indonesia sebagai pengajaran. Kita juga akur pada waktu itu agar maklumat Petronas dirahsiakan," kata Zaid.

Kematian mengejut Abdul Razak pada tahun 14 Januari 1976 menyebabkan akta tersebut tidak sempat dipinda dan seterusnya telah disalahgunakan oleh Perdana Menteri selepas beliau sehingga hari ini.

Zaid memberikan contoh arahan menyelamatkan syarikat kroni oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika krisis ekonomi 1997 dengan menggunakan dana Petronas sebagai satu tindakan penyalahgunaan kuasa.


"Kita tak boleh buat apa-apa, sebab kuasa ada pada tangan Perdana Menteri. Kalau hari ini Najib nak jual blok lain pun mungkin kita tak tahu," kata Zaid lagi.

Beliau berpendapat jalan penyelesaian kepada isu ini hanyalah melalui perundangan dan perundingan.


Namun rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui kandungan perjalanan dan pengurusan aset negara khususnya syarikat berkepentingan awam seperti Petronas.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sbb itulah kita kena berjuang untuk pakatan rakyat dapat mentadbir negara. jika dibiarkan kepada umno bee end takut2 nanti akhirnya malaysia tergadai angkara menteri2 yang durjana seperti mereka ini.
rakyat malaysia kini mungkin akan kehilangan segala hartanah milik kita sendiri. lihat ajelah rumah2 di johor tidak sepatutnya dijualkan kepada warga singapura. sekarang apadah jadi pada johor... rasanya... johor bakal tergadai sebelum negeri2 lain. begitu mudah kerajaan malaysia menjual aset kepada warga asing. tidak seperti brunai.... rakyat asing tidak dibenarkan membeli aset mereka....