10 Apr 2010

Tuduhan Anwar Benar, Hishamuddin dan Musa Hassan Perlu Letak Jawatan

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin menggesa individu yang terlibat menyorok maklumat mengenai penyusupan perisik Israel-Zionis di Bukit Aman, harus sekurang-kurangnya memohon maaf kepada rakyat.

Malah, beliau menyifatkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sepatutnya mengambil tanggungjawab penuh dengan meletak jawatan.

Ia berikutan tindakan pro-aktif yang dilakukan KDN mahupun PDRM hanya dibuat selepas pendedahan dilakukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

"Maknanya, kita bukan buat pendedahan kosong. Akhirnya, dengan bukti yang kita bagi, Musa Hasan dan Hishamudin sendiri terpaksa mengakui memang Asiasoft itu wujud.

"Kontrak dan tender itu wujud dan lebih dari itu, keselamatan negara tergadai apabila ejen perisikan telah masuk.

"Sekarang, seseorang harus bertanggungjawab. Kalau bukan Ketua Polis Negara, orang yang harus bertanggungjawab ialah Menteri Dalam Negeri. Paling tidak, dia kena minta maaf secara terbuka.

"Kalau lebih bermaruah, dia harus meletakkan jawatan," katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Ibarat terantuk baru tengadah, begitulah gelagat Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia yang kelam kabut melakukan tindakan wajar selepas pendedahan dibuat Anwar.

Mengikut Malaysiakini, Hishammudin mengakui wujudnya masalah dengan Asiasoft yang didedahkan Anwar sebagai syarikat yang membawa masuk dua perisik Israel Zionis bagi mengendalikan perisian komputer di Bukit Aman.

Sepupu Perdana Menteri itu bagaimanapun menyatakan Asiasoft sudah ditamatkan perkhidmatannya dan mahu mengambil pendekatan bagi menyiasat pendedahan penyusupan dua perisik Israel Zionis itu.

Empat pendekatan itu ialah mengarahkan pegawai khasnya membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia, selain membawa isu ini ke Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen. - TVS




'Perisik Israel' di Bkt Aman: Hisham arah siasat

Kementerian dalam negeri akhirnya mengakui bahawa wujudnya masalah dengan firma komputer yang mengendalikan perisiannya di Bukit Aman dan telah mengarahkan perkhidmatan berkenaan ditamatkan.

"Sebagai rekod, kontrak dengan syarikat Asiasoft telah ditamatkan,” kata Menterinya, Datuk Seri hishamuddin Hussein di Putrajaya, hari ini.

Selain itu, katanya, kerajaan akan mengambil empat pendekatan bagi menyiasat dakwaan bahawa perisik Israel berjaya menembusi maklumat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Hishammuddin berkata sebagai langkah permulaan pegawai khasnya telah diarahkan untuk membuat laporan polis.

Laporan yang sama juga dibuat kepada Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara yang sama juga akan dibawa ke Majlis Keselamatan Negara dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

"Tuduhan yang dibuat oleh Anwar Ibrahim adalah serius. Justeru, kita mesti menyiasat bagi menentukan kesahihannya," katanya.

6 April lalu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar mendedahkan perisik Israel wujud di Bukit Aman.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu membuat pendedahan berkenaan ketika membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat dengan mengemukakan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaannya itu.

Menurut Anwar penglibatan syarikat berkenaan adalah melalui subkontrak daripada sebuah syarikat tempatan untuk menaiktaraf sistem komunikasi analog PDRM kepada sistem digital.

Kontrak yang dikenali dengan nama APCO 425 itu disubkontrakkan kepada syarikat bernama Asiasoft Malaysia pada tahun 2008.

Dakwanya lagi, dua pemegang saham dalam syarikat berkenaan ialah B System Sdn Bhd dan Asiasoft PLC. -mk




Tiada ulasan: