21 Apr 2010

Nazri Keterlaluan Dan Kurang Ajar

Inkues Teoh Beng Hock bersambung hari ini dengan peguam Karpal Singh menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz sebagai “kurang ajar” kerana melabelkan pakar pathologi Thailand, Dr Pornthip Rojanasunand ‘pembohong’.

Karpal yang mewakili keluarga Teoh, minggu lalu mengemukakan permohonan bagi mendakwa Nazri menghina mahkamah berhubung kenyataannya itu.

"Ini adalah kesalahan yang serius kerana beliau cuba campur tangan dalam pelaksanaan keadilan,” Karpal memberitahu inkues.

"Menteri itu ‘bermulut besar’ dan ini bukan kali pertama beliau membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu.”

Semasa disoal di Dewan Rakyat, semalam, Nazri bertegas mempertahankan kenyataannya itu.

Koroner Azmil Muntapha Abas akan memutuskan pada 26 April ini sama ada akan mendengar permohonan Karpal bagi mendakwa Nazri atas tuduhan menghina mahkamah.

Pada perbicaraan hari ini, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memaklumkan inkues bahawa pihaknya telah menulis surat kepada Kementerian Undang-undang Thailand pada 13 April lalu memohon kehadiran Pornthip bagi memberi keterangan.

Inkues juga dimaklumkan bahawa Kementerian Undang-Undang Thailand telah memberitahu kerajaan Selangor dalam sepucuk surat bertarikh 8 April lalu yang Pornthip tidak dapat hadir kerana sibuk dengan tugasan lain.

Bagaimanapun kerajaan Selangor belum menerima surat itu.

Menurut Malik, beliau juga tidak dapat mengesahkan sebab sebenar Pornthip tidak dapat hadir memberi keterangan.

Pada 11 April lalu, Pornthip berkata dia tidak akan hadir memberi keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock apabila ia bersambung semula kerana ‘tekanan politik’ dari kerajaan Malaysia.

Pornthip memberitahu Malaysiakini bahawa beliau telah "dinasihatkan" oleh pegawai-pegawai tinggi Jabatan Kehakiman Thailand – tempat beliau bertugas sebagai ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat – supaya jangan ke Malaysia minggu depan untuk menghadiri inkues tersebut.

Beliau berkata, kementerian kehakiman telah menerima maklumat daripada kementerian luar Thailand bahawa beliau mungkin menghadapi masalah jika ke Malaysia, termasuk kemungkinan dihalang memasuki negara ini.

Menurutnya, kementerian luar Thailand telah menarima "isyarat" dari kerajaan Malaysia melalui "saluran tidak rasmi" bahawa kehadiran beliau dalam inkues tersebut, adalah tidak disenangi. - Malaysiakini

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nazri,hishamudin dan noh memang jenis kurang ajar