24 Mac 2010

SPR Ikut Telunjuk Najib Tolak Pilihan Raya PBT

Suruhanjaya Pilihan Raya menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk memilih Ahli Majlis.

Permohonan tersebut ditolak melalui surat yang difaks semalam kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng daripada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof .

Surat sepanjang sepuluh muka surat memberikan alasan bahawa semua peruntukan undang-undang telah dimansuhkan dan terhenti berkuatkuasa dengan pemakaian Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dalam satu sidang media di lobi Parlimen, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan kekesalan kerajaan negeri terhadap keputusan tersebut yang dibuat tanpa perbincangan bersama.

"Mengikut Seksyen 113(24) menyatakan jelas bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihan raya dengan menggunakan Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan yang hari ini masih wujud dan tidak dimansuhkan lagi.

"Saya amat kesal kerana SPR membuat keputusan sebelum berbincang dengan kerajaan negeri, kegagalan SPR ini menunjukkan ia telah melanggar prinsip kebebasan dan berkecuali.

"Adakah keputusan ini dipengaruhi oleh keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak bersetuju dengan cadangan Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

"Ini mengambarkan SPR sebenarnya bukan badan bebas tetapi telah dipengaruhi dengan keputusan Najib untuk tidak membenarkan pilihan raya kerajaan tempatan ini diadakan,

"Oleh yang demikian kerajaan negeri akan bermesyuarat dan mengkaji kandungan surat tersebut sebelum mengambil tindakan yang selanjutnya", tegas Lim.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menghantar surat bertarikh 4 Mac 2010 untuk memohon SPR menjalankan pilihan raya Kerajaan Tempatan bagi dua Majlis Perbandaran yang berdasarkan Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. -SK

Ulasan GB

Sandiwara SPR ini telah lama kita tahu. GB telah pun meramalkan bahawa SPR akan menolak syor yang dikemukakan oleh kerajaan-kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor tersebut.

Di dalam tulisan terdahulu GB telah megulas:


SPR tak perlu berlakon atau bersandiwara dengan rakyat. Rakyat semua dah tahu bahawa SPR tidak akan menyetujui pilihanraya PBT. Mana rakyat tahu? PM, Najib sendiri sudah menolaknya.

Dan semua orang tahu sudah lama hilang kredibilitinya sebagai badan bebas dan profesional. Mana tahu, Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sendiri yang dah lama di dalam SPR tahu mengapa rakyat sudah tidak yakin dan percaya peranan yang dimainkan oleh SPR.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bila SPR bebas dan telus?