16 Jan 2010

"Tuhan" Di Barat "Allah" Di Timur, Strategi UMNO Ditolak

Langkah kerajaan UMNO BN yang berstrategi untuk mengguna dua undang-undang yang berbeza di antara Malaysia Barat dan Malaysia Tmur di dalam isu kalimah Allah telah menerima tentangan beberapa pihak teretentu, dari kelompok Islam dan Kristian.

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam bahawa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak untuk merujuk Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Kenyataan Nazri itu, yang dilihat sebagai usaha terbaru berkompromi untuk mengurangkan ketegangan kaum, juga dikritik pemimpin-pemimpin gereja dari Semenanjung serta dari Sabah dan Sarawak. Pandangan itu muncul ketika Sarawak sedang bersiap sedia untuk mengadakan pilihan raya negeri bila-bila masa dari sekarang walaupun mandat semasa hanya akan berakhir Julai 2011.

Namun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tetap berpendirian bahawa masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak tidak harus menggunakan lagi kalimah “Allah” di gereja masing-masing untuk merujuk kepada Tuhan dalam bahasa kebangsaan.

Sehubungan itu Jakim juga berpandangan tidak harus ada dua set undang-undang dan peraturan dalam menguatkuasakan soal larangan penggunaan kalimah tersebut.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata semua pihak perlu menghormati undang-undang sedia ada bagi mengelakkan perkara-perkara yang bermasalah berlarutan, Malaysian Insider dipetik.

Jelas Wan Mohamad, oleh kerana sudah ada peraturan mengenai perkara sedemikian, maka adalah tidak wajar kalimah “Allah” digunakan oleh pihak gereja.

“Dalam apa pun dasar kita, kita seharusnya menghormati keputusan jemaah menteri walaupun ada undang-undang peringkat negeri.

“Kalau ikut semangat menghormati undang-undang, keputusan sudah ada di peringkat nasional, mereka tidak sepatutnya gunakan (kalimah Allah),” kata beliau.

Wan Mohamad memberitahu keputusan hanya membenarkan gereja di Sabah dan Sarawak tidak akan menyelesaikan masalah ekoran mobilisasi dan penghijrahan rakyat dari Sabah dan Sarawak ke Semenanjung dan sebaliknya.

“Itu pun tidak menyelesaikan masalah... kita di negara yang kecil ini perlu ada undang-undang dan peraturan yang standard seperti mana dalam semua urusan yang lain.

“Kita perlu lebih sistematik... tidak patut ada dua set undang-undang. Selain daripada undang-undang negeri, ada peraturan peringkat nasional (keputusan Kabinet) dan kita kena lihat aspek ini secara lebih menyeluruh,” katanya.

Jakim yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri berperanan sebagai agensi pusat dalam perancangan pengurusan hal ehwal Islam. Nazri pula merupakan salah seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Gereja Malaysia membantah keputusan kerajaan yang hanya membenarkan penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah namun menghalang penggunaannya di Semenanjung.

Presidennya, Rev. Dr Thomas Phillips berkata, tidak logik untuk memperkenalkan dua undang-undang berbeza dalam sebuah negara.

"Sekarang kita amalkan konsep 1Malaysia, kenapa pula perlu ada undang-undang berbeza bagi menangani satu isu yang sama?

"Apa bezanya Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung? Pelik rasanya kita perlu adakan undang-undang yang berlainan,"
katanya.

Mengulas lanjut, Dr Thomas yang juga Pengerusi Majlis Perunding Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao berkata, kerajaan perlu mengkaji semula keputusan berkenaan kerana isu tuntutan penggunaan kalimah Allah itu bukan hanya meliputi skop Sabah dan Sarawak sahaja.

"Isu yang sebenarnya ialah bagi gereja-gereja yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perantara serta beberapa bahagian dalam penerbitan Herald (Herald-The Catholic Weekly) yang diterjemah ke Bahasa Malaysia.

"Kita memang tak ada masalah bagi gereja yang guna bahasa Inggeris, kita memang tak guna perkataan Allah... tapi yang kita tuntut penggunaannya ialah apabila ia diterjemah ke bahasa Malaysia, jelas sekali ia melibatkan semua negeri di Malaysia," katanya.

Isu penggunaan kalimah Allah telah mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk kemarahan umat Islam apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya atas alasan ia mempunyai hak dalam Perlembagaan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan menegaskan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah bertindak secara salah ketika mengenakan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan itu.

Bagaimanapun, pada 6 Januari lalu, Lau membenarkan permohonan Menteri Dalam Negeri untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan awalnya sementara menunggu Mahkamah Rayuan membuat keputusan rayuan menteri.

Selain itu, Dr Thomas berkata, pihaknya tetap mahu menunggu keputusan mahkamah berhubung perkara berkenaan.

"Lebih baik kita serahkan perkara ini kepada mahkamah, kita nantikan apa keputusannya nanti," katanya.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sabah & sarawak bukan 1malaysia kut..

Tanpa Nama berkata...

Gagasan 1 Malaysia semakin bercelaru! Kini peranan NGO digerakkan. Gapena adalah salah satunya. Dulu bila isu PSMI suara Gapena semacam tidak dipedulikan langsing.