13 Dis 2009

Nostalgia : Wawancara DETIK Bersama "mahazalim"

Semua tuan web (webmaster) hompej yang menyokong Anwar atau yang anti-kerajaan menyembunyikan identiti dan operasi mereka. Kebanyakan laman ini ditempatkan di pelayan di luar negara (termasuk cermin web); manakala e-mel yang percuma dijadikan alat komunikasi interaktif dua hala antara pengunjung dengan tuan web.

Laman web reformasi yang paling popular, Laman Reformasi atau dikenali juga "mahazalim" - kerana alamat URL-nya, barangkali - berjaya dikesan dan tuan webnya ditemubual oleh Editor DETIK pada 2 Januari lalu. Ikutilah pandangan "mahazalim" melalui wawancara eksklusif di bawah:

DETIK: Apakah anda rasa selamat merekabentuk laman-laman web ini? Atau, anda selalu berhati-hati agar tidak dikesan oleh SB, pihak keselamatan negara?

Membina laman web yang ada kaitannya dengan kes Datok Seri Anwar memang mempunyai risiko yang tinggi kerana dikejar dengan rasa takut sekiranya identiti kami diketahui. Apatah lagi, selama ini Laman Reformasi telah banyak mendedahkan "x-files" di dalam usaha kami mendedahkan konspirasi yang berlaku. Kami menyedari bahawa pembikinan laman web kami dimantau oleh pihak berkuasa, namun apalah ertinya sebuah perjuangan seperti membina sebuah rumah ditepi pantai jika takut menghadapi gelombang!

Apakah yang anda ingin capai (matlamat) apabila anda membangunkan laman web ini?

Matlamat utama kami ialah untuk mendedahkan konspirasi yang berlaku dan selama ini rakyat nampaknya tidak berupaya untuk menentang kezalimanPM. Kami yang memiliki ilmu I.T. ini merasa terpanggil dan berkewajipan untuk menggunakan internet sebagai medan baru perjuangan, untuk menentang media massa yang bersekongkol dengan PM di dalam menjayakan konspirasi mereka, apatah lagi mereka selama ini menginjak-injak falsafah kebebasan rakyat untuk bersuara. Ringkasnya perjuangan kami ialah mengembalikan hak pemerintahan kepada Al-Khalik (Maha Pencipta) supaya negara diperintah dengan hukum-hukum luhur yang terpancarmelalui Al-Quran dan hadis. Selagi ia tidak tercapai, selagi itu perjuangan ini akan diteruskan.

Apakah komen anda terhadap kebebasan media/maklumat di Malaysia?

Baik akhbar mahupun siaran TV/Radio utama, kesemuanya telah dikuasai oleh kerajaan (PM)yang merupakan jarum halus yang masuk ke dalam benak rakyat di dalam usaha mereka menyebarkan maklumat palsu untuk menjayakan konspirasi mereka. Maruah mereka kini berada di dalam tong najis layaknya kerana membiarkan mereka dilacuri untuk mengembangkan satu sistem ala Ataturk, yang jauh dari nilai-nilai kebenaran dan taqwa.

Apakah komen anda terhadap Dr. Mahathir & gaya kepimpinannya?

Diakui atau tidak, Mahathir sebenarnya adalah seorang Diktator zaman baru. Tiada siapa yang boleh membantah atau menentang pendapatnya dan tiada siapa yang selamat jika menjadi Timbalannya. Beliau menjadikan agama sebagai senda-gurau dan mainan bibir tanpa takut serta jauh dari meletakkan agama sebagai dasar pemerintahannya. Malah di beberapa ketika, agama diperalat dan diletakkan sama dan sebaris dengan isme-isme ciptaan manusia dan akibatnya, negara diperintah dengan nafas sekularisma yang tebal yang jauh dari barakah dan rahmat dari langit.

6. Mungkinkah Anwar dibebaskan (boleh menang kesnya)? Kenapa?

Sukar untuk Anwar dibebaskan kerana Mahathir masih hidup dan oleh itu konspirasinya akan terus berjalan. Rangkaian (networking) di antaraJPM, Polis, Peguam Negara, Hakim dan Media Massa terlalu kukuh sehingga rakyat kadang-kala terpukau dengan sandiwara semasa sehingga kelihatan seolah-olah kebatilan menjadi benar dan kebenaran menjadi menjadisalah. Mahathir adalah sebenarnya seorang munafik di peringkat yang paling tinggi (hypocrite at the highest level).

Apakah yang rakyat patut lakukan untuk menjatuhkan Mahathir?

Pertama, wajar Mahathir di"ajar" supaya menerima hakikat bahawa beliau tidak boleh "menipu" selama-lamanya. Rakyat perlu jatuhkan beliau dengan apa cara sekalipun asalkan dibenarkan oleh syarak. Samada melalui pilihanratya atau desakan reformasi, beliau mesti diturunkan segera agar kesejahteraan rakyat di dalam segala seginya dapat dimartabatkan semula. Kedua, rakyat perlu menadah kelangit, memohon dan merayu kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam agar Mahathir segera diambil atau dicabut pemerintahan negara darinya supaya rakyat terselamat dari cengkamannya. Hanya Dia kini yang boleh menolong dan sesungguhnya Dia memang sebaik-baik Penolong. wassalam.

Wawancara ini dipetik dari majalah DETIK (Februari, 1999) di halaman 54 dan 55


SURAT DARI MAHAZALIM

Bersua kembali

Peminat Laman Reformasi tercinta,

Semenjak tiga hari yang lepas, tiada sebarang pengemaskinian dilakukan ke atas laman web Laman Reformasi dan sepastinya menimbulkan pelbagai persoalan di hati semua peminat laman ini.

Saya juga menerima beratus-ratus email khusus menanyakan akan hal tersebut, dan tiba-tiba hati ini menjadi sebak serta merasakan berkewajipan untuk menerangkan hal yang sebenar.

Benar, semenjak Laman Reformasi ini dibina pada dua bulan yang lalu, ia tidak putus-putus menerima kunjungan dari pengunjung-pengunjung di dalam negeri manhupun di luar negeri sehingga mencecah angka 5 juta pada penghujung bulan November lalu.

Laman Reformasi menjadi laman yang yang amat digemari dan telah dijadikan laman web utama pada browser-browser di makmal-makmal universiti. Serama lebih dari 100, 000 pengunjung Laman Reformasi sehari dan jika cuma satu peratus sahaja dari pengunjung ini menghantar email kepada mahazalim, ini bererti mahazalim menerima 1,000 pucuk email dan sepastinya tidak mencukupi kantong surat yang berada di hotmail.

Dan sdra/i dapat membayangkan isi kandungan yang diterima oleh mahazalim, tentunya ada yang memuji dan ada juga email yang tak diundang dari pihak di sebelah sana.

Pernah beberapa ketika Laman Reformasi cuba diceroboh. Mahazalim menerima jawaban "password" dari Hotmail menandakan ada pihak yang telah cuba menerjah masuk ke kantong surat Mahazalim dan menekan butang "forgot password". Sehinggakan ada pihak yang menghantar surat/email kepada Tripod supaya membuang terus Laman Reformasi. Mahazalim telah menerima surat dari Tripod dan telah meyakinkan Tripod supaya Laman Reformasi diteruskan dan telah berjaya mendapat tambahan ruang.

Namun itu semua adalah cabaran yang terus memasyurkan dan menguatkan iltizam pembina Laman Reformasi. Dan perlu diketahui Laman Reformasi dibina hasil dari tenaga "seorang" insan yang selama ini berhempas pulas meneruskan agenda perjuangan reformasi melalui alam siber yang kadang-kadang diundang ketakutan dan keresahan apabila menerima kunjungan dari mereka yang tidak dikenali.

Bukan semua email dan tetamu perlu dilayan. Untuk, makluman ada email sehingga mengajak kepada membuat "dating" dengan mahazalim sedangkan surat itu diketahui adalah SB yang menyamar sebagai penyundal!

Tiada sesiapa mengenal mahazalim sekalipun rakan karibnya.

Dan oleh kerana Mahazalim berbulan-bulan bersendirian menulis, menyunting, menterjemah dan menyusun laman web ini setiap hari, maka pada malam tiga hari yang lepas mahazalim terpaksa dipapah ke klinik untuk menerima rawatan. Kesihatan Mahazalim terganggu kerana terlalu lama menghadap komputer dan terlalu lama berada di bilik sejuk! Itulah berita yang kurang enak ditulis namun terpaksa diluahkan agar pengunjung Laman Reformasi tidak menjadi hampa.

Saya akur dengan sunnatullah, bahawa manusia ini bersifat lemah, rupa-rupanya semangat yang waja juga tidak mencukupi jika keperluan jasmaniah tidak diindahkan. Muga Allah mengembalikan kesihatan saya dan mengurniakan kekuatan untuk meneruskan agenda perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan. Dan internet ini adalah medan terkini pertarungan.

Meskipun begitu, perjuangan ini belum berakhir. InsyaAllah, saya akan terus membina laman web ini dengan kadar yang termampu dan memohon agar ada yang bersimpati terutama dari kalangan webmaster yang lain untuk membantu meneruskan Laman Reformasi ini. -petikan dari lamanweb mahazalim.



KHAS buat ~mahazalim.

Memang hilang sedikit kemeriahan reformasi tanpa pengemas-kinian Laman Reformasi oleh saudara/ri ~mahazalim.

Saya berdoa ~mahazalim selamat dan akan dapat meneruskan perjuangan yang ikhlas dan murni ini. Perjuangan saudara bukan calang-calang perjuangan. Cuba bayangkan sebuah laman persendirian tempatan berupaya melepasi 6 juta kunjungan dalam jangka waktu sesingkat ini! Sebetulnya ~mahazalim telah mencipta sebuah rekod tanahair (ada can masuk Malaysian Book of Records tak?) Malah Laman Reformasi cukup masyhur sehingga turut mendapat liputan berita antarabangsa!

Dan semua ini dicapai dan dikecap sedangkan identiti saudara/ri langsung tidak dikenali/anonymous! ~mahazalim mungkin seorang abang, kakak, adik, pakcik ataupun makcik(?) yang berselisih dengan kita sewaktu berjalan-jalan tadi. Cuba bayangkan perasaan ~mahazalim ketika itu, mungkin terdetik di dalam hatinya, "kalau kau nak tahu, akulah Tuan Laman Reformasi!"

Sememangnya naluri manusia begitu. Ingin dihargai akan kejayaan. Namun saya dapat rasakan beliau bukanlah pengemis publisiti murahan. Berbeza dengan ahli politik kita yang ceramahnya hanya dihadiri dua-tiga kerat manusia secara terpaksa, tetapi diulang tayang berkali-kali di kaca tv semata-mata untuk memuaskan nafsu politik masing-masing; bergaji besar, bermotokar besar, beristana besar, berperut besar,, ~mahazalim sekadar yang kecil-kecilan, selera makan pun mengecil sehingga terpaksa mendapat rawatan perubatan tempoh hari. Namun percayalah, pengaruh anda jauh melebihi mereka itu semua, anda tidak perlu menjaja agenda ke pelusuk negara. Bahkan rakyat yang mengerumuni Laman anda tanpa dipaksa. Dan semua ini tanpa ganjaran material.

Sebagai akhir bicara, saya berdoa ~mahazalim akan dapat mengatasi kesulitan yang sedang dihadapi. Ingatlah, sesungguhnya kita semua berada dalam peliharaan Allah SWT.

(Saya berharap satu hari nanti, setelah tamat mimpi ini, tergari sudah tangan-tangan para pengkonspirasi, kita semua akan mengenali juga siapa sebenarnya... ~mahazalim.)

dari Red Dragon.


Jawapanku:

Surat di atas diterima dan dibaca dengan cucuran airmata oleh saya… sekembali menghadap komputer kecil saya bersebelahan dengan katil.

Benar, Laman Reformasi kehilangan sengatnya, Laman Reformasi telah tidak bertuan sejak empat hari yang lalu. Laman Reformasi tiba-tiba telah menghampakan pengunjung-pengunjungnya tanpa sebarang pengemaskinian.

Itu sebabnya tiba-tiba airmata saya mengalir, kerana rasa bersalah membiarkan pengunjung tertanya-tanya: apa dah jadi dengan Laman Reformasi. Air mata terus mengalir dengan ulasan Red Dragon di atas yang menyatakan bahawa pengunjung LR sebenarnya tidak mengenali siapa sebenarnya ~mahazalim.

Selepas ~mahazalim mengeluarkan kenyataan pertama tentang kesihatan ~mahazalim yang terganggu sedikit hari lalu, selain dari surat Red Dragon di atas, ada berpuluh-puluh pucuk email lain yang tiba ke kantong surat ~mahazalim. Satu demi satu dibaca dan rasa terharu menyelubungi jiwa ini, dan menyedari betapa di luar sana, begitu ramai yang simpati akan diri kerdil ini sehingga ada yang bangun bersembahyang hajat agar ~mahazalim segera pulih.

Demikian hebat sokongan yang diberikan dan saya sedar bahawa sokongan itu bukan semata-mata kerana Laman Reformasi itu membawa kelainan laporan atau diri ~mahazalim yang terlalu masyur. Tetapi sokongan itu adalah sokongan terhadap missi yang ~mahazalim perjuangkan, "menegakkan kebenaran dan keadilan".

Mungkin tiada siapa yang mengenali ~mahazalim, biarlah, namun di sisi Tuhan, saya menyedari bahawa diri saya hanyalah seorang hamba kerdil yang cuba berjuang dengan cara tersendiri…. Biar diri ini tidak dikenali, asalkan perjuangan ini diterima dan diakui …. Dan muga Tuhan merestui serta menerima amal kecil ini…

Ya, ~mahazalim dinasihatkan oleh seorang doktor pakar supaya berehat lagi sehingga benar-benar sembuh. Hari itu, tatkala cuba berjogging, saya terjatuh lagi, akibat terlalu berat kaki ini untuk melangkah dan telah terus di bawa ke klinik.

Demi Allah, perjuangan ini tidak dibayar dan diupah oleh sesiapa, meskipun ada juga hamba yang bersimpati untuk menghulurkan bantuan material.

Ibu pula menasihatkan saya supaya berehat dan dia kurang faham tentang sikapku yang dua-tiga bulan lalu asyik menghadap komputer. Sekali-kali terjengah juga dia melihat Laman Reformasi yang saya kendalikan… dan katanya agar saya berhenti dulu….

Lantas saya teringat akan kata-kata nabi tatkala ayahnya menyuruh beliau berhenti dari perjuangan menegakkan Islam di kalangan Quraisy. "..Sekalipun mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku untuk aku berhenti di dalam perjuangan ini.. sekali-kali tidak!…"

Itulah ajaran yang telah saya terima dan itulah sikap saya sekalipun menerima ujian Tuhan ini… dan hanya airmata mengalir kerana saya menyedari siapa diri saya ini di sisiNya!

InsyaAllah, saya akan menyerahkan tugas pengendalian LR ini kepada seorang sahabat sementara menunggu kesihatan saya benar-benar pulih. Saya akan tetap menulis untuk laman web ini dengan kadar yang termampu.

Teruskan sokongan saudara/i dan marilah kita berdoa agar perjuangan suci menegakkan haq dan keadilan ini akan termakbul jua akhirnya serta mereka yang melaksanakan konspirasi jahat itu akan dilemparkan ke lembah yang paling hina…

Untuk Red Dragon, maaf kerana menyiarkan suratmu di atas tanpa izinmu.

Wassalam.

ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR ALLAHUAKBAR

Ulasan GB Kini

Kini, Lutfi terpaksa melalui satu zaman kritikal di dalam hidupnya, sama yang pernah GB harungi satu ketika dahulu. Bezanya waktu itu, GB menanggung sakit sendirian. Apakah ini meungkin dilalui Lutfi juga. Tidak, usah biarkan seorang amilin ini menderita. Sekalipun, GB pernah merasa terlalu "manis"nya perjuangan sekalipun tiada manusia sekeliling membantu. Kerana pada ketika itu Allah menguji kita dan menguji hamba-hambaNya yang lain juga.

Mengikut laporan terkini dari SongkokPutih:

"Ahmad Lutfi belum lagi membuat pembedahan yang sepatutnya dilakukan pada 11/12/200. Atas sebab - sebab tertentu pembedahan tersebut terpaksa ditangguh. Beliau dijangka akan menjalani pembedahan pada Isnin 14/12/09, Teruskan berdoakan keselamatan beliau..."

Dari seorang sahabat, kudoakan Allah segera menyembuhkan Lutfi. Marilah bersama untuk kita hulurkan bantuan. Sumbangan boleh dilakukan terus melalui akaun Maybank anak Sulong Ahmad Lutfi Othman iaitu Ahmad Luqman Hakim bin Ahmad Lutfi bernombor 162179670906.

Tiada ulasan: