19 Nov 2009

Era Najib Altantuya : PR Mahu Lantik Ku Li Pengerus Kaukus Royalti Minyak

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang mengadakan pertemuan dengan Tengku Razaleigh Hamzah semalam mahu beliau mempengerusikan satu kaukus mengenai pertikaian wang royalti minyak membabitkan kerajaan persekutuan dan Kelantan.

Ahli Parlimen Gua Musang itu mengadakan perbincangan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen kira-kira 30 minit.

Turut menyertai perbincangan itu ialah Ahli Parlimen Machang dari PKR Saifuddin Nasution, Salahuddin Ayub (Kubang Kerian-PAS) dan Tian Chua (Batu-PKR).

Kemudian Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan ketika ditemui pemberita berkata beliau akan mempertimbangkan tawaran itu.

Bagaimanapun beliau tidak menetapkan bila akan mengumumkan keputusannya.

“Mereka ada mengesyorkan mahu membentuk satu kaukus mengenai minyak kerana ia menjadi isu panas yang dibahaskan antara kerajaan khususnya perwakilan negeri.

“Mereka berpendapat bahawa melalui kaukus ini akan ada alasan-alasan logik untuk mencapai penyelesaian terbaik terhadap masalah ini.

“Jadi mereka memutuskan untuk meminta saya mengetuai kaukus, saya belum memberikan jawapan lagi. Saya akan timbangkan dan memikirkan tentang ini,” kata beliau.

Bekas Naib Presiden Umno ini berkata, beliau akan mempertimbangkan permintaan memandangkan pernah terlibat dalam “urusan minyak” sejak penubuhan Petronas dan penggubalan undang-undang yang berkaitan.

Sehubungan itu katanya, beliau akan memainkan peranan bagi menyelesaikan isu itu “jika ia benar-benar adalah satu masalah.”

Razaleigh telah terlibat secara langsung dalam menggubal Akta Pembangunan Petroleum 1974 bersama Tun Salleh Abas.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS tiada hak untuk menuntut bayaran royalti hasil petroleum.

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan, Nazri menjelaskan, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein tidak secara khusus menggunakan istilah “royalti” semasa membahaskan Rang Undang-undang Pembangunan Petroleum 1974, yang membuka laluan kepada penubuhan Petronas dan perjanjian perkongsian lima peratus hasil dengan negeri-negeri mengeluarkan minyak.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pemberian wang ihsan petroleum daripada kerajaan persekutuan.

Pemimpin-pemimpin Pakatan khususnya PAS bagaimanapun masih mempertahankan hak Kelantan untuk mendapatkan royalti daripada hasil petroleum, bukannya wang ihsan.

Terengganu juga pernah diberikan wang ihsan selepas ia ditawan PAS pada pilihan raya umum 1999. -MI

Tiada ulasan: