6 Nov 2009

Era Najib Altantuya : Pemikiran Bunuh Diri Dalam PAS

Perasaan ini lama mendap dalam benak. Dan setiap kali membaca tulisan seperti ini, rasanya ini perlu dibidas dengan segera. Namun itu tak pernah dibuat kerana penulis berpendapat ini bukanlah pandangan umum ahli-ahli PAS. Tapi bila terlalu kerap menemui tulisan/respons begini, terfikir juga: Inikah pemikiran tipikal ahli-ahli PAS?

Begini, profilnya:

Rata-rata mereka berhujah dengan menggunakan istilah, terminolgi, frasa/ungkapan dalam bahasa Arab. Kalaulah pembacanya buta bahasa itu (macam saya) dia akan berhenti membacanya.

Rasanya fenomena ini bukan saja berlaku dalam kalangan orang-orang PAS yang ramai berpendidikan Arab, bersekolah di Timur Tengah dan akhirnya dikategorikan sebagai kumpulan ulamak (?) tetapi orang-orang Melayu yang pernah ‘disekolahInggeriskan’ juga begitu telatahnya. Hujah dan pandangan seolah-olah tidak mantap kalau tidak diselitkan dengan istilah dan lain-lainnya dalam bahasa Inggeris.

Apakah ini trend atau penyakit? Ia mungkin trend kerana penulisnya pernah terdidik dan dididik dalam bahasa-bahasa Arab/Inggeris, maka dia lebih selesa dengan istilah Arab/Inggeris. Atau apakah mungkin kerana penulisnya tidak begitu mantap penguasaan bahasa Melayunya?

Tak apa kalau ia sekadar trend atau tidak mantap bahasa Melayunya. Cuma agak malang, hujah-hujah yang telah dibentang oleh penulis-penulis seperti ini tidak diikuti mereka yang hanya menguasai satu bahasa, bahasa Melayu.

Apa yang lebih membimbangkan ialah jika ini bukanlah masalah trend atau masalah penguasaan bahasa Melayu tetapi ia disebabkan oleh penyakit. Penyakit rendah diri dan penyakit bersembunyi di sebalik istilah.

Mari kita lihat satu contoh yang cukup nyata. Rasanya masih ramai orang yang beranggapan bahawa keupayaan berbahasa Inggeris itu ‘sinonim’ dan melambangkan penguasaan ilmu.

Orang hanya baru tersedar dan menjadi waras penilaiannya bila ditunjukkan bahawa ‘parking attendant’ yang berair bahasa Inggerisnya belum tentu lebih berilmu daripada seorang profesor Jepun/Korea/Cina yang hanya tahu berbahasa ibundanya.

Si profesor hanya mampu membaca dan memahami bahasa Inggeris tetapi tidak dapat bertutur dalam bahasa tersebut dengan petah sekali jika dibandingkan dengan si parking attendant.

Itu isu pertama, isu keduanya ialah: Kenapakah bijak pandai PAS (pemimpin, ahli, aktivis dll) akhir-akhir ini begitu gemar meniru kerja buat Umno? Mereka juga mulai bersembunyi di sebalik istilah-istilah. Mari kita lihat contoh-contoh berikut:

Para pemimpin Umno, lebih-lebih lagi menterinya kerap berhujah, misalnya dengan berhujahkan ‘jangan politikkan isu itu dan ini’.

Soalan kita ialah: Kenapakah mahu mengelak/menepis sesuatu persoalan itu dengan bersembunyi? Sesuatu isu itu menarik perhatian kerana ada pelbagai masalah yang timbul dan ini telah menyusahkan rakyat.

Kenapakah si menteri mesti lari dari memberikan penjelasan?

Bukankah menteri itu memegang jawatannya oleh sebab politik?

Sekali sekala rakyat mungkin memaafkan. (Bukankah rakyat negara ini cukup pemaaf?). Namun jika ia (senjata melarikan diri) ini terlalu kerap digunakan, rakyat ....akan me... itu dan me....ini!

Pas (bersama-sama DAP dan PKR) sejak berjaya di sana sini dalam PRU12 yang lalu, kini juga kelihatan mulai dijangkiti sindrom mencari perlindungan di sebalik istilah dan ungkapan. Contohnya:

‘Pintu UG telah tertutup rapat’. Anehnya, sudah ada yang secara sinis menambah, “Tuan, pintu belakangnya belum berkunci!”

Satu lagi contoh, “Janganlah kita sampai memberikan peluru kepada musuh!”. Dan sudah ada yang terus membalas, juga sinis, “Tuan, kenapa masih macam belum mahu berpisah dengan musuh?”

Ada lagi istilah untuk berlindung diri: “Kita telah ditarbiah dalam jemaah untuk sentiasa wala’ kepada pemimpin.”

Kalau dibaca dalam bahasa yang mudah ini sama seperti berkata, “Diam kau, dengar dan ikutlah cakap pemimpin!”

Kesimpulannya: Apakah mesej tulisan ini?

PAS belum pun menjadi sebahagian daripada parti yang memerintah negara ini. Malangnya tanda-tanda awalnya tidaklah begitu menyenangkan.

Ada negeri yang bertahan hanya satu penggal. Kegagalan ini bukan semata-mata kerana permainan jahat musuh; di sana ada masalah lain, masalah PAS yang tidak diurus dengan sempurna.

Saya pernah bertemu sahabat yang semacam serik dengan gelagat PAS sebagai pemerintah. Salah satu sebab utamanya ialah harapan yang begitu tinggi pengundi kepada PAS: sebagai pemerintah.

Orang membayangkan dan membina harapan yang melampau tingginya kerana betul-betul percaya bahawa PAS betul-betul istimewa.

Apakah seluruh parti yang katanya Islam ini masih belum melihat mala petaka besar jika tersalah langkah dan masih tidak mahu berdepan dengan masalah-masalah yang belum selesai itu?

Akhir kata:

Tindakan kepimpinan mestilah tuntas, decisive.

Bersilat atau bersembunyi di sebalik apa saja perlindungan tidak akan membantu. Cedera komplot dan tragedi belot itu tak mudah sembuh.

Jangan menipu diri bahawa semua yang telah berlaku telah berlalu dengan aman. Tidak, ia tidak akan berlalu dengan selamat. Ia mesti diurus. Ahli PAS mesti mengurus masalah ini dengan berani dan tegas.

Ahli-ahli PAS janganlah sekali-kali berfikir bahawa hanya merekalah yang telah memenangkan PAS ke posisi yang ada sekarang. Itu pemikiran bunuh diri. PAS berjaya bukan semata-mata kerana ahli-ahlinya yang sentiasa mara di depan saf.

Terlalu ramai yang bukan ahli, yang tidak mengundi atau tidak melantik saf kepimpinan PAS yang berada di luar gelanggang yang turut membantu.

Jangan lupa pengajaran daripada tragedi kepimpinan besar Umno: Di saat pemimpin paling besarnya merasakan dianya adalah segala-galanya, rakyat perlahan-lahan mulai berundur:

Mula-mula mereka berhenti berlanggan Utusan, setelah itu mereka mulai tutup TV tatkala dianya berucap ... akhirnya mereka biarkan dianya berlalu. Namun Umno masih lagi teruja dengan dianya.

Apakah PAS akan bertindak hanya apabila melihat petunjuk-petunjuk seperti itu? Dan sekarang ini PAS masih banyak masa untuk berlindung, mengelak dan bersilat? -Tulang Bukan Besi

Tiada ulasan: