4 Sep 2009

Era Najib Altantuya : SPR Ultra Vires Sekat Pilihanraya Kecil - Ambiga (updated)

Suruhanjaya Pilihan Raya telah bertindak di luar bidang kuasa dan peranannya kerana enggan mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Jumaat.

Peguam Datuk S.Ambiga menyifatkan sebagai tidak sah dan tidak rasional keputusan SPR bahawa ketiga-tiga kerusi itu tidak kosong akibat pelantikan jawatan ketiga-tiga penyandangnya seperti yang diputuskan oleh Speaker ketika itu, V.Sivakumar.

"Responden keempat (SPR) telah mengambil kuasa dan hak Speaker bagi menentukan bahawa peletakan jawatan berlaku," katanya di hadapan Hakim Lau Bee Lan di kamar.

Ambiga, yang juga bekas Presiden Majlis Peguam, berhujah mewakili Sivakumar dalam permohonannya bagi satu semakan kehakiman untuk mengarahkan SPR supaya mengisytiharkan kerusi Behrang, Changkat Jering dan Jelapang kosong dan mengadakan pilihan raya kecil.

Sivakumar menamakan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu, Adun Jelapang, Hee Yit Foong, dan SPR sebagai responden.

Dalam hujahnya, Ambiga berkata bahawa menerusi sepucuk surat kepada Sivakumar pada 5 Feb 2009, SPR telah menyatakan bahawa ia tidak dapat menentukan yang ketiga-tiga kerusi itu kosong, dan dengan itu, tidak boleh mengadakan pilihan raya.

"Setelah menetapkan yang ia tidak dapat memastikan bahawa kekosongan telah berlaku, SPR telah membuat keputusan bercanggah bahawa ketiga-tiga kerusi itu masih disandang oleh responden pertama hingga ketiga," katanya.

Sivakumar, 38, memohon perintah mahkamah bagi membatalkan keputusan SPR itu dan mengarahkan suruhanjaya itu mengadakan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi itu.

Beliau juga memohon agar mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee daripada menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing.

Mahkamah menetapkan 9 Sept ini bagi mendengar hujah balas SPR yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaludin Md Said.



Tiada ulasan: