22 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Karut, Tiada Rebutan Kuasa MB dan Speaker Selangor - Teng

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim menyangkal dakwaan Ketua Pembangkangnya, Datuk Seri Dr. Muhamad Khir Toyo bahawa wujud rebutan kuasa antara beliau dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim di sebalik isu Selcat sekarang.

"Saya tidak berkuasa... saya cuma Speaker sahaja... itu saja," kata Teng yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang berhadapan dengan kritikan pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pembangkang peringkat negeri sejak minggu lalu.

"Saya tiada kuasa untuk melantik Exco, saya tiada kuasa mengetuai majoriti anggota di DUN, saya tidak melantik ketua-ketua syarikat kerajaan negeri..," kata Teng sambil menegaskan, Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor, sengaja mahu mencetuskan masalah dan mengeruhkan hubungan beliau dengan Khalid.

Sambil mempertahankan perjalanan Selcat yang diwujudkan tahun lalu, Teng memberitahu, idea penubuhan jawatankuasa itu dibawa oleh Khalid selaku Menteri Besar dan ketua kerajaan negeri selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan ekoran keputusan pilihan raya umum 8 Mac 2008.

"Selcat adalah idea, inisiatif Khalid selaku Menteri Besar. Bukan saya bawa idea ini ke DUN," katanya lagi.

"Saya lihat Khir bertindak macam kebudak-budakkan," kata Teng lagi.

Teng mengulas kenyataan Dr. Khir pagi tadi kepada mStar Online yang mendakwa isu terbaru yang menyelubungi Selcat adalah bukti wujudnya perebutan kuasa antara Menteri Besar dan Speaker DUN itu.

"Saya melihat Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) tidak boleh buat apa-apa. Speaker (Teng) memiliki kuasa yang lebih besar berbanding Menteri Besar," katanya.

Selain itu, kata Dr. Khir, BN Selangor juga akan memfailkan kes mempertikaikan status Selcat dan undang-undang DUN yang melarang mana-mana wakil rakyat mempersoalkan Selcat.

Kes akan difailkan awal bulan depan.

Sehubungan itu, Dr. Khir menambah, Selcat digunakan sebagai "instrumen kuasa politik, bukannya untuk memperbaiki pengurusan kerajaan negeri."

"Ia lebih merupakan instrumen politik," katanya.

Tiada ulasan: