26 Sep 2009

Era Najib Altantuya : Anggota MIC Dakwa Perhimpunan MIC 12 Sep Tidak Sah

Setelah dikejutkan dengan penubuhan Parti makkal Sakti, kini MIC menerima tamparan lagi bila tujuh anggotanya menubuhkan jawatankuasa penaja yang dikenali sebagai "Pro-Tem MIC 2009 Election Irregularity Committee', mahu pemilihan parti diadakan semula kerana mendakwa terdapat penyelewengan pada pemilihan MIC 12 Sept lepas.

Setiausaha jawatankuasa penaja itu N. Saaran berkata pihaknya telah membangkitkan beberapa isu dalam surat aduan yang telah dihantar kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC Datuk K. Vijayanathan termasuk salah guna kuasa Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu ketika pemilihan itu berlangsung.

"Kami merumuskan bahawa Jawatankuasa Pemilihan yang mengendalikan pemilihan MIC adalan tidak bebas dan tidak telus. Kami dapati berlaku beberapa penyelewengan.

"Kami sebenarnya telah menghantar notis kepada pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, kami memohon penjelasan mengenai kenapa penyelewengan berkenaan berlaku," katanya pada sidang media di sini pada Sabtu.

Turut hadir pada sidang media itu ialah barisan jawatankuasa penaja tersebut termasuk Pengerusinya, P. Subramaniam yang tewas pada pemilihan lepas bagi merebut jawatan naib presiden.

Saaran mendakwa antara penyelewengan yang berlaku pada pemilihan itu ialah tindakan Samy Vellu membatalkan larangan penggunaan telefon bimbit sedangkan Vijayanathan telah mengeluarkan peringatan kepada semua perwakilan sebelum pengundian berlangsung.

"Seorang daripada perwakilan didapati menggunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar kertas undi, perkara ini telah dibangkitkan oleh seorang calon kepada jawatankuasa pemilihan, bagaimanapun tiada tindakan diambil," dakwanya.

Subramaniam pula berkata antara aduan lain yang telah dikemukakan kepada pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MIC dalam surat yang dihantar pada 18, 23 dan 25 Sept lepas adalah tindakan barisan calon pilihan Samy Vellu yang didakwa melanggar peraturan berkempen.

"Calon-calon dilarang berkempen selepas 12 tengah hari 11 Sept, tetapi peraturan ini tidak dipatuhi, masih terdapat mereka yang berkempen selepas 12 tengah hari di mana kempen berlangsung di Sentul Curry House oleh Pemuda, Wanita dan Puteri, di mana mereka berkumpul untuk berkempen".

"Dan bukan itu sahaja, pada hari pemilihan, akhbar Tamil Nesan, diedarkan kepada semua 1,400 perwakilan dalam dewan, dalam akhbar itu dilampirkan bahan kempen oleh barisan (pilihan Samy Vellu) yang jelas melanggar peraturan kempen," dakwanya.

Subramaniam mempersoalkan kenapa tidak ada tindakan dikenakan sedangkan pengerusi Pemilihan MIC sebelum itu telah mengeluarkan amaran bahawa mana-mana calon yang ditangkap berkempen selepas waktu yang ditetapkan, secara automatik tidak layak bertanding.

Beliau berkata pihaknya menunggu penjelasan daripada Vijayanathan sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Ditanya apakah tindakan mereka jika keputusan tetap tidak berubah, beliau berkata mereka mungkin mempertimbangkan untuk menyertai parti lain.

Tiada ulasan: