13 Sep 2009

Era Najib Altantuya : 300K Akan Ikut Subra

Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memerlukan platform politik baru untuk menyatupadukan masyarakat India termasuk bekas ahli MIC ekoran kekalahan kedua berturut-turut dalam pemilihan parti semalam.

Penyokongnya juga mendakwa kira-kira 300,000 ahli MIC akan keluar jika Subramaniam memutuskan untuk meninggalkan parti itu.

Sehubungan itu penyokong-penyokong Subramaniam menanti tindakan susulan beliau ekoran kekalahan semalam.

"Subramaniam harus mengambil platform lain... beliau harus memutuskan platform lain untuk menyatupadukan mereka (masyarakat India).

"Untuk menyatupadukan komuniti India, beliau memerlukan satu platform," kata salah seorang penyokong kuat Subramaniam, K.P. Samy yang memenangi kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pemilihan semalam.

K.P. Samy mengatakan demikian ketika ditemui pada hari kedua Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di sini hari ini.

K.P. Samy menambah, walaupun beliauSubramaniam tewas sebanyak dua kali dalam perebutan jawatan nombor dua parti, namun lebih 500 perwakilan memberi sokongan padu kepada bekas Timbalan Presiden itu manakala Palanivel, calon diiktiraf Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu, hanya memperoleh kira-kira 35 peratus sokongan.

Sehubungan itu kata K.P. Samy, pihaknya menanti keputusan Subramaniam untuk menentukan masa depan dalam MIC.

K.P. Samy menambah, sebelum ini beliau dan Subramaniam ada mengadakan pertemuan bersama dua pemimpin Hindraf dalam usah menarik mereka menyertai MIC.

"Saya tidak mahu sebut siapa pemimpin Hindraf itu... mereka pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. "... kita juga mengadakan perbincangan bersama bekas ahli Barisan Progresif India (IPF) dan Parti Progresif Penduduk (PPP).

"Perbincangan ini diadakan bertujuan untuk menarik kembali minat mereka menyertai MIC. Bagaimanapun, mereka menyatakan pertimbangan akan dilakukan selepas melihat keputusan pemilihan MIC," katanya.

Bagaimanapun katanya, keputusan pemilihan semalam menunjukkan suasana yang berlainan. Pada perhimpunan parti itu semalam, calon Pasukan Presiden direstui Samy menyapu bersih semua jawatan tertinggi parti manakala 19 daripada 27 calon pilihann beliau memenangi kerusi CWC yang dipertandingkan.

K.P. Samy berkata, selepas melihat kepada keputusan pemilihan MIC itu, beliau tidak pasti sama ada usaha atau perbincangan bersama kumpulan terbabit akan berjaya atau tidak.

"Saya akan terus bekerja untuk menyatupadukan masyarakat India.

"Kini saya tidak tahu apakah keputusan Subramaniam yang seterusnya. Kita tunggu dan lihat," katanya. -mstar


BERITA TERDAHULU

Dipecat?: Lagi kes ke atas Subra, umum Presiden MIC

Oleh G. MANIMARAN

KUALA LUMPUR: MIC tetap akan mengambil tindakan disiplin - kemungkinan dipecat dari parti - ke atas bekas Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam yang tewas pemilihan jawatan itu buat kali kedua semalam.

Selain itu, beliau juga bakal berhadapan dengan tindakan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana membawa kumpulan penyokong - dianggarkan 500 orang - yang disifatkan sebagai "samseng" oleh Samy bagi mencetuskan kekecohan ketika pemilihan semalam.

Bagaimanapun sebagaimana telah diputuskan oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada Selasa lalu, Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin untuk menentukan bentuk tindakan ke atas Subramaniam.

"Ya, ya... sudah tentu (tindakan diambil)," kata Samy Vellu ketika ditanya sama ada tindakan disiplin tetap akan diambil ke atas Subramaniam meskipun beliau sudah tewas dalam percubaan mendapatkan semula jawatan Timbalan Presiden.

Beliau ditemui ketika waktu rehat di sisi Perhimpunan Agung MIC Ke-63 di PWTC pagi tadi.

Mengulas lanjut, Samy Vellu berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat dan bukti berhubung insiden membawa kumpulan samseng oleh Subramaniam pagi semalam.

Kata beliau, mereka merupakan anggota kumpulan yang sengaja mahu menimbulkan keadaan tidak senang semasa perhimpunan agung dan pemilihan, semalam.

"Saya kenali orang-orang ini, pihak berkuasa juga tahu siapa mereka ini.

"Kami sedang mengumpulkan maklumat dan akan ambil tindakan (ke atas Subramaniam)... tindakan juga akan diambil kerana isu ini," katanya.

"Saya tidak pernah menyaksikan insiden seperti ini sebelum. Ini kali pertama situasi ini dihadapi parti.

"Mereka, kira-kira 500 hingga 600 orang masuk ke dalam Dewan Merdeka untuk membuat kacau. Kami terpaksa bersusah payah untuk membawa mereka keluar dewan," katanya.

Selasa lalu, CWC memutuskan untuk merujuk beliau kepada Jawatankuasa Disiplin berhubung laporan dakwaan penipuan undi pada 1977.

Subramaniam yang bertanding untuk mendapatkan kembali jawatan Timbalan Presiden MIC menghadapi cabaran penyandang, Datuk G. Palanivel dan Datuk S. Sothinathan yang juga Naib Presiden.

Samy Vellu menyatakan sokongan terbuka kepada Palanivel sebagaimana dilakukan tiga tahun lalu.

Surat tunjuk sebab kemungkinan akan dikeluarkan minggu depan.

Sebelum ini Samy Vellu berkata, parti akan mengambil tindakan disiplin ke atas Subramaniam dan tindakan undang-undang terhadap bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindaraj berhubung laporan media bahawa pemimpin itu memenangi pemilihan Timbalan Presiden MIC pada 1977 dengan taktik kotor.

Samy Vellu menewaskan Subramaniam dengan perbezaan 26 undi pada ketika itu.

Govindaraj mendakwa, beliau telah membawa 30 undi dalam poketnya ke bilik pengiraan undi, yang akhirnya membantu kemenangan Samy Vellu.

Subramaniam pula membuat kenyataan mengesahkan apa yang dinyatakan oleh Govindaraj dengan berkata "saya menyedari dakwaan tersebut." Mengenai kenyataan Subramaniam bahawa beliau kalah semalam kerana politik wang, Samy Vellu memberitahu, beliau mempunyai bukti yang bekas timbalannya itu menggunakan wang untuk mencari sokongan.

Tegas Samy Vellu, Subramaniam yang menggunakan politik wang untuk mendapatkan undi ketika berkempen.

"Saya ada bukti yang beliau pergi ke bahagian dan menjanjikan wang, saya ada bukti," katanya.

Palanivel menang dengan memperoleh 629 undi manakala Subramaniam pula 547 undi dan Sothinathan mendapat 280 undi.



Tiada ulasan: